Soalan

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum bagi seorang suami yang tidak memenuhi ajakan isterinya untuk bersama di tempat tidur? Adakah terdapat dalil yang menunjukkan bahawa suami juga akan dilaknat sebagaimana disebutkan dalam hadith tentang isteri yang menolak ajakan suami?

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga hari kiamat.

Kewajipan Isteri untuk Memenuhi Ajakan Suami ke Tempat Tidur

Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 إِذَا دَعَا الرَّجُلُ امْرَأَتَهُ إِلَى فِرَاشِهِ فَأَبَتْ فَبَاتَ غَضْبَانَ عَلَيْهَا لَعَنَتْهَا الْمَلَائِكَةُ حَتَّى تُصْبِحَ

Maksudnya: “Jika seorang lelaki mengajak isterinya ke tempat tidur lalu dia menolak sehingga suaminya tidur dalam keadaan marah kepadanya, maka malaikat melaknatinya hingga pagi.”

Riwayat al-Bukhari (3237) dan Muslim (1736)

Namun, hadith ini tidak menunjukkan bahawa lelaki akan mendapat laknat jika dia menolak ajakan isterinya. Bahkan, ia menunjukkan bahawa wanita diperintahkan untuk memenuhi ajakan suaminya kecuali jika ada uzur syarie, manakala lelaki tidak diperintahkan untuk memenuhi ajakan isterinya dengan cara yang sama.

Walaupun lelaki mempunyai kewajipan untuk menjaga keperluan isteri dari segi hubungan intim, ia tidak bermakna lelaki mesti memenuhi setiap ajakan isterinya. Dalam konteks ini, tidak ada dalil yang bersifat umum yang menyatakan kedua-duanya sama, dan lelaki tidak boleh disamakan dengan wanita dalam hal ini kerana terdapat perbezaan yang ketara antara keduanya, sebagaimana akan dijelaskan.

Majoriti ulama berpendapat bahawa suami tidak wajib memenuhi hubungan intim dengan isterinya kecuali sekurang-kurangnya sekali dalam setiap empat bulan. Sebahagian ulama berpendapat bahawa suami wajib memenuhi keperluan hubungan intim isterinya mengikut kadar keperluannya dan kemampuan suami, namun mereka tidak menyatakan bahawa suami akan dilaknat oleh malaikat jika tidak melakukannya, kerana tiada dalil yang menyebut demikian.

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah ketika ditanya mengenai seorang lelaki yang tidak bersama isterinya selama sebulan atau dua bulan, adakah dia berdosa kerana berbuat demikian dan adakah dia wajib memenuhi keperluan tersebut? Beliau menjawab: “Wajib bagi seorang lelaki untuk menyetubuhi isterinya dengan cara yang ma‘ruf, kerana itu adalah salah satu hak isteri yang paling utama ke atas suami, bahkan ia lebih besar daripada kewajipan memberi makan kepada isterinya. Berkenaan kadar hubungan intim yang wajib, terdapat dua pandangan:

  1. Ia wajib dilakukan sekurang-kurangnya sekali setiap empat bulan.
  2. Ia wajib dilakukan mengikut kadar keperluan isteri dan kemampuan suami, sebagaimana memberi makan mengikut kadar keperluan dan kemampuan. Pandangan kedua ini adalah yang lebih tepat.” (Lihat Majmu‘ al-Fatawa, 32/271).

Perbezaan antara lelaki dan wanita dalam isu ini dijelaskan oleh Abu al-’Abbas al-Qurtubi mengenai penjelasan terhadap hadith ini dalam kitabnya al-Mufhim lima Asykala min Kitab Talkhis Muslim: “Ini adalah dalil tentang haramnya seorang wanita menolak permintaan suaminya untuk bersama jika dia menghendakinya, dan tiada khilaf dalam hal ini. Hal ini merujuk kepada firman Allah SWT:

وَلِلرِّجَالِ عَلَيْهِنَّ دَرَجَةٌ

Maksudnya: “Dan para suami mempunyai satu darjat kelebihan atas isterinya.”

(Surah al-Baqarah: 228)

Namun, wanita dalam hal ini berbeza daripada lelaki. Jika seorang wanita mengajak suaminya untuk bersama, suami tidak wajib memenuhinya kecuali jika tujuannya adalah untuk menyakiti isterinya dengan sengaja, maka perbuatannya haram. Perbezaan ini timbul kerana beberapa sebab:

  • Lelaki adalah pihak yang memberikan mahar untuk isterinya dan menjadi pemilik yang sah kepada hak perhubungan intim (al-budh‘), dan darjat kelebihan lelaki terhadap wanita adalah hak autoriti yang diberikan Allah SWT kepada suami melalui akad perkahwinan.
  • Lelaki mungkin tidak berada dalam keadaan yang sesuai untuk memenuhi permintaan isterinya, seperti tidak mempunyai ghairah yang cukup atau tidak dalam keadaan bersedia untuk melakukan hubungan intim, berbeza dengan wanita yang tidak menghadapi halangan fisiologi serupa. (Lihat Al-Mufhim lima Asykala min Kitab Talkhis Muslim, 4/160).

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa tidak terdapat dalil yang menunjukkan bahawa suami akan dilaknat seperti isteri jika dia menolak ajakan untuk bersama. Namun, suami tetap bertanggungjawab untuk memenuhi hak isterinya dalam hubungan intim berdasarkan kemampuan dan keperluan isterinya. Ini adalah salah satu bentuk tanggungjawab suami sebagai pemimpin keluarga yang adil dan bertimbang rasa. Dalam Islam, perkahwinan adalah ikatan yang dibina atas dasar kasih sayang, kerjasama, dan saling memenuhi hak serta tanggungjawab. Oleh itu, walaupun tiada ancaman khusus seperti yang disebutkan kepada isteri, suami perlu menyedari bahawa memenuhi keperluan isteri dalam hubungan ini adalah sebahagian daripada tanggungjawabnya untuk memelihara keharmonian rumah tangga.

Setiap pasangan disarankan untuk saling memahami dan menghormati keperluan masing-masing, serta berusaha untuk mengelakkan perkara yang boleh menimbulkan kebencian atau ketegangan dalam hubungan mereka. Dengan menjaga hak-hak pasangan dan mempraktikkan kasih sayang, sesebuah perkahwinan akan lebih diberkati dan diredhai oleh Allah SWT.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua‘lam.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”