Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah kita disarankan untuk mengurus perbelanjaan dengan baik?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ

Maksudnya: Makanlah serta minumlah dan jangan melampau. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampau.

(Surah al-A’raf. 31)

Sesungguhnya Allah SWT tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas kerana pembaziran dibenci oleh Allah, merugikan tubuh dan kehidupan seseorang, bahkan mungkin menyebabkan seseorang tidak mampu menanggung perbelanjaan yang wajib ke atasnya. Maka, dalam ayat ini terdapat perintah untuk makan dan minum, serta larangan meninggalkannya dan larangan melampaui batas dalam kedua-dua hal itu. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al-Mannan, 1/287).

Dalam mengatasi isu kemiskinan yang dihadapi, setiap individu juga perlu belajar dalam menguruskan kewangan dengan baik. Nabi SAW pernah memberi tunjuk ajar yang praktikal dalam pengurusan kewangan supaya seseorang mengutamakan perbelanjaan yang lebih utama. Baginda SAW menunjukkan contoh di mana wang yang ada perlu dibelanjakan untuk membeli alatan pekerjaan terlebih dahulu. Maka dengannya seseorang dapat menggunakannya untuk bekerja mencari sumber pendapatan secara berterusan. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A, katanya:

أَنَّ رَجُلًا مِنْ الْأَنْصَارِ جَاءَ إِلَى النَّبِيِّ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – يَسْأَلُهُ، فَقَالَ: لَكَ فِي بَيْتِكَ شَيْءٌ؟ قَالَ: بَلَى، حِلْسٌ نَلْبَسُ بَعْضَهُ وَنَبْسُطُ بَعْضَهُ، وَقَدَحٌ نَشْرَبُ فِيهِ الْمَاءَ، قَالَ: ائْتِنِي بِهِمَا قَالَ: فَأَتَاهُ بِهِمَا، فَأَخَذَهُمَا رَسُولُ اللَّهِ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – بِيَدِهِ، ثُمَّ قَالَ: مَنْ يَشْتَرِي هَذَيْنِ؟ فَقَالَ رَجُلٌ: أَنَا آخُذُهُمَا بِدِرْهَمٍ، قَالَ: مَنْ يَزِيدُ عَلَى دِرْهَمٍ؟ مَرَّتَيْنِ أَوْ ثَلَاثًا، قَالَ رَجُلٌ: أَنَا آخُذُهُمَا بِدِرْهَمَيْنِ، فَأَعْطَاهُمَا إياه، وَأَخَذَ الدِّرْهَمَيْنِ فَأَعْطَاهُمَا للأَنْصَارِي، وَقَالَ: اشْتَرِ بِأَحَدِهِمَا طَعَامًا فَانْبِذْهُ إِلَى أَهْلِكَ، وَاشْتَرِ بِالْآخَرِ قَدُومًا فَأْتِنِي بِهِ. فَفَعَلَ، فَأَخَذَهُ رَسُولُ اللَّهِ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ -، فَشَدَّ فِيهِ عُودًا بِيَدِهِ، وَقَالَ: اذْهَبْ فَاحْتَطِبْ، وَلَا أَرَاكَ خَمْسَةَ عَشَرَ يَوْمًا فَجَعَلَ يَحْتَطِبُ وَيَبِيعُ، فَجَاءَ وَقَدْ أَصَابَ عَشْرَةَ دَرَاهِمَ، فَقَالَ: اشْتَرِ بِبَعْضِهَا طَعَامًا وَبِبَعْضِهَا ثَوْبًا، ثُمَّ قَالَ: هَذَا خَيْرٌ لَكَ مِنْ أَنْ تَجِيءَ وَالْمَسْأَلَةُ نُكْتَةٌ فِي وَجْهِكَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، إِنَّ الْمَسْأَلَةَ لَا تَصْلُحُ إِلَّا لِذِي فَقْرٍ مُدْقِعٍ، أَوْ لِذِي غُرْمٍ مُفْظِعٍ، أَوْ لِذِي دَمٍ مُوجِعٍ

Maksudnya: Seorang lelaki Ansar datang kepada Nabi SAW dalam keadaan meminta sesuatu kepada Baginda. Lalu Baginda bertanya: “Adakah kamu memiliki sesuatu di rumah?” Lelaki itu menjawab: “Saya ada sehelai hamparan yang separuhnya kami jadikan alas duduk dan separuhnya lagi kami jadikan selimut, serta ada sebuah bekas yang kami gunakan untuk minum.”

Lalu Baginda SAW bersabda kepadanya: “Bawakan kedua-dua barang tersebut kepadaku.” Lelaki itu lalu membawa kedua-dua barang tersebut. Kemudian Nabi SAW mengambil kedua barang itu dan menunjukkan kepada orang yang berada di sisi Baginda sambil bersabda: “Ada sesiapa yang akan membeli kedua barang ini?” Seorang lelaki menyahut: “Saya akan membeli kedua-duanya dengan satu dirham.” Lalu Baginda bertanya lagi: “Ada sesiapa yang akan membeli lebih daripada satu dirham?” Baginda mengulanginya sebanyak dua atau tiga kali. Akhirnya seorang lelaki berkata: “Saya akan membelinya dengan dua dirham.”

Lalu kemudian Baginda memberikan dua dirham tersebut kepada lelaki Ansar itu sambil Baginda bersabda: “Belilah satu dirham makanan untuk keluargamu manakala satu dirham lagi belikanlah sebilah kapak, kemudian bawalah ia bertemu denganku.”

Lelaki itu lalu melaksanakan perintah tersebut dan kemudian datang semula bertemu Rasulullah SAW bersama kapak yang dibeli. Baginda lalu memasang hulu pada kapak itu. Kemudian Baginda bersabda: “Pergilah untuk mencari kayu api dan aku tidak ingin melihatmu selama tempoh 15 hari (dari hari ini).” Lelaki itu lalu pergi mencari kayu api dan menjualnya. Selang beberapa ketika kemudian, dia datang menemui Rasulullah SAW dengan membawa 10 dirham. Baginda SAW lalu bersabda: “Belilah makanan dengan sebahagian dirham itu dan pakaian dengan sebahagian lagi.”

Kemudian Baginda SAW bersabda: “Ini adalah lebih baik bagimu daripada kamu datang dan meminta-minta, di mana ia akan menjadi titik hitam pada wajahmu pada hari Kiamat nanti. Meminta-minta tidak dibenarkan kecuali bagi orang yang sangat fakir, atau bagi orang yang dibelit hutang atau darah yang menyakitkan (untuk membayar denda kerana membunuh orang).”

Riwayat Abu Daud (1643) dan Ibn Majah (2198)

Di dalam kitab Mirqah al-Mafatih dijelaskan, ungkapan sabda Nabi SAW “Dan kami tidak mahu melihatmu selama tempoh 15 hari (dari hari ini),” ertinya janganlah kamu berada di sini sepanjang tempoh tersebut dan ini adalah daripada apa yang didirikan padanya al-musabbab pada tempat al-sabab. Maksudnya ialah Nabi SAW ingin mencegah lelaki tersebut daripada tidak berusaha sepanjang tempoh itu, dan bukannya Nabi mahu mencegah lelaki itu daripada menemui Baginda.

Kemudian dijelaskan lagi: Maksud sabda Nabi SAW “Ini adalah lebih baik bagimu daripada kamu datang meminta-minta” iaitu apabila meminta-minta tersebut bukan pada caranya atau secara mutlak, kerana meminta-minta itu adalah satu kehinaan pada hakikatnya walau dengan apa jua cara.” (Lihat Mirqah al-Mafatih, 4/1314)

Manakala Imam al-Khattabi menyebutkan bahawa pada hadith ini terdapatnya maksud sabitnya berusaha untuk bekerja dan perintah supaya melakukannya. (Lihat Ma‘alim al-Sunan, 1/59).

Selain itu, di dalam kitab Zakhirah al-‘Uqba fi Syarh al-Mujbata turut dinyatakan, al-Hafiz al-‘Iraqi menyebutkan, dijadikan hal ini sebagai dalil bolehnya pemerintah (hakim) menjual barangan orang yang dalam kesusahan. Akan tetapi tidak dinyatakan di sini bahawa ia adalah hutang, sehingga bolehnya pemerintah menjualnya. Dikatakan bahawa nafkah keluarganya adalah wajib ke atas lelaki tersebut, maka ia samalah seperti hutang. Lalu dia ingin mencarinya tetapi dengan meminta-minta. Lantas Nabi SAW tidak menyukai dia meminta-minta dalam keadaan dia mampu untuk berusaha.

Lalu Baginda SAW menjual sebahagian daripada apa yang dia miliki, dan dengan hasil jualan tersebut, Baginda membeli alatan untuk lelaki itu supaya dia dapat berusaha menggunakannya. Dikatakan pengaturan harta lelaki ini adalah dengan kerelaannya, di samping bahawa Nabi SAW itu harus baginya untuk mengatur harta umatnya dengan apa sahaja cara yang dikehendakinya. Maka Baginda SAW mengaturkannya di atas suatu bentuk kemaslahatan. (Lihat Zakhirah al-‘Uqba fi Syarh al-Mujtaba, 34/231).

Oleh itu, setiap individu perlu belajar dalam menguruskan kewangan dengan baik sehingga mampu mengatur kewangannya mengikut keutamaan.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”