Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana cara memperkasakan institusi guru?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ
Maksudnya: “Allah meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu, dan orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dalam kalangan kamu) — beberapa darjat.”
(Surah al-Mujadalah: 11)
Ibn Mas’ud RA menyebut bahawa Allah SWT telah memuji ulama’ di dalam ayat ini iaitu Allah SWT mengangkat orang-orang beriman yang diberi ilmu di atas orang-orang beriman yang tidak diberikan ilmu dengan beberapa darjat. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 17/299)
Guru yang hebat sudah pasti melahirkan murid yang hebat. Kehebatan guru akan memberi kesan yang besar kepada murid. Oleh itu, keperluan untuk memperkasakan guru amat penting penting kerana dengannya, ia akan mencorakkan pemimpin masa depan.
Sasterawan negara yang terkenal, Usman Awang pernah mengungkapkan tentang guru:
Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.
Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.
(Lihat Pelita Bahasa, 18/29)
Kami katakan, ungkapannya penuh seni dan tinggi budi jelas menunjukkan apa yang ingin disampaikan telah sampai maksud dan tujuan dengan bait-bait puisi yang indah lagi mendalam maknanya. Justeru, sewajibnya kita menghargai jasa dan pengorbanan guru dalam menabur bakti sehingga memandaikan manusia dan mengakhlakkannya untuk generasi yang lebih baik.
Persoalannya selain daripada jawapan diatas, terdapat banyak sebab keperluan bahkan kemestian untuk memperkasakan guru, antaranya:
- Guru yang hebat dan berwibawa akan dapat mencorakkan watak murid-murid yang benar-banar cemerlang. Inilah yang dapat dilihat dalam sejarah tokoh-tokoh Islam yang berwibawa. Imam Malik melahirkan murid seperti Imam al-Syafie dan lain-lain.
- Guru yang hebat dan mempunyai jati diri yang tinggi sudah pasti memberi kesan kepada muridnya bahkan tidak pelik jika kita dengar kenyataan tokoh ulama’ dan juga pemimpin dalam ceramah atau pidato mereka akan menyebut kehebatan guru mereka.
- Guru yang hebat pada kebiasaannya memberi kesan yang mendalam kepada sikap pelajar. Inilah yang akan melahirkan generasi yang benar-benar bermaruah dan integriti yang tinggi. Sejarah telah membuktikan hakikat tersebut.
- Guru yang hebat sentiasa mewakafkan diri dalam membina generasi unggul dan beradab serta mengakhlakkan pelajar mengikut lunas yang luhur, yang tinggi nilai budi pekerti.
- Paling penting daripada itu, guru yang memegang watak murabbi sudah pasti melahirkan murid-murid persis gurunya dalam menjaga keaslian manhaj pendidikan yang sebenar, dan akan bersambung dari satu generasi ke generasi yang mendatang. Penyair Mesir terkenal, Ahmad Syauqi pernah bermadah:
قُمْ لِلْمُعَلِّمِ وَفِّهِ التَّبْجِيْلَا كَادَ الْمُعَلِّمُ أَنْ يَكُوْنَ رَسُوْلَا
Berdirilah (untuk menghormati) guru, dan lupakanlah penghormatan (dirimu).
Hampir-hampir seorang guru itu (dianggap) seperti seorang rasul.
(Lihat Soid al-Afkar, 1/26)
Pada saat cabaran yang bersimpang-siur dengan realiti semasa, ia sudah pasti memerlukan sejumlah kekuatan untuk memperkasakan guru dari pelbagai sudut. Antaranya:
- Menjadikan profession perguruan sebagai pilihan utama dalam sektor pekerjaan dengan menyediakan imbuhan yang tinggi seperti yang dilakukan di Korea, Jepun dan Singapura. Inilah yang biasa dilakukan oleh negara-negara maju. Di mana hak kebajikan guru diutamakn dengan ditambah hal yang berkaitan memperkasakan profession guru.
- Tarbiyah yang berterusan sebagai penambahan ilmu kepada guru-guru supaya mereka tidak ketinggalan sumber atau informasi terbaru serta tidak ketinggalan zaman. Kursus-kursus intensif dan professional perlu dipergiatkan dari masa ke semasa. Bukan hanya bersifat ‘melepaskan batuk di tangga’ tetapi kesungguhan amat perlu dalam pelaksanaan skim latihan ini.
- Penghargaan yang setimpal kepada setiap pencapaian di atas kecemerlangan guru-guru. Inilah yang sepatutnya dilakukan dari semasa ke semasa tanpa terhad kepada waktu-waktu tertentu sahaja seperti Hari Guru.
- Menambahkan lagi skim pembelajaran untuk guru bagi mereka yang ingin menyambung pelajarannya ke peringkat yang lebih tinggi. Bayangkan di negara China pengajar di politeknik sahaja bertaraf PhD. Guru-guru berkelulusan Master mengajar di sekolah rendah di Filipina. Kalaulah guru-guru di Malaysia di peringkat sekolah rendah dan menengah, sudah pasti murid-murid merasa bangga dengan semangat yang ditunjukkan guru-guru mereka.
- Sudah sampai masanya, satu kolaborasi dilakukan antara guru dan pensyarah serta pakar yang ada di universiti untuk menyuntik semangat penambahbaikan maklumat. Sebagai contoh, guru sejarah bertukar maklumat dan mengambil faedah dari professor sejarah yang benar-benar menekuni bidang tersebut.
- Inisiatif kepada guru dengan bekalan bahan rujukan untuk bidang masing-masing amat penting. Begitu juga peruntukan yang lebih bermanfaat dengan penyediaan iPad atau tablet yang boleh membantu para guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PnP).
- Pemberian inisiatif kepada guru-guru yang pakar dalam bidangnya, yang telah ditetapkan pada kedudukan yang tertentu seperti gelaran guru pakar, guru cemerlang dan sebagainya, serta dengan pemberian anugerah tertentu diharap akan memartabatkan lagi seseorang guru pada kedudukan yang lebih ke hadapan.
Ini sebahagian daripada cadangan dan saranan dalam memperkasakan profession guru. Pembekalan bahan bacaan motivasi kepada sekolah amat penting yang sudah pasti mampu mencetuskan pemikiran yang positif dan merangsang diri seseorang guru untuk memperbaiki diri ke arah yang lebih baik.
Guru yang berjaya dan hebat adalah yang bersikap siap siaga dan bersedia. Selain itu, mampu menguasai kawalan penuh tanpa membiarkan mana-mana jiwa pun di kalangan murid-murid yang berusaha lolos dari genggamannya. Ini kerana guru yang mampu mengungkapkan pelbagai mutiara hikmah dengan bahasa yang indah lagi mengesan kepada jiwa akan memberi satu hubungan yang begitu damai dengan muridnya untuk patuh dan taat. Natijahnya, sudah pasti mereka mempunyai sikap dan sifat yang baik seperti ketabahan dan kekuatan hati yang lebih, mempunyai rasa penuh percaya diri, mantap dalam melangkah, tenang dan tidak cepat bermain dengan emosi.
Ketika para murid gementar di hadapan hujahan dan serangan ilmiah yang dilancarkan dalam majlis pengajaran, namun guru yang hebat masih tetap dengan ketenangan yang tinggi tatkala jiwa para pelajar bergejolak kerana intonasi suara guru yang hebat tetapi jiwanya tetap tenang setenang air tasik dalam satu benteng yang kukuh. Justeru, bukanlah sesuatu yang mustahil jika guru dapat menjadi agen perubahan masyarakat dan pembina masa depan negara yang lebih cemerlang dengan generasi madani bersulamkan nilai akhlak yang luhur lagi tinggi pekertinya.
Guru yang hebat bagaikan bah besar jika ada daratan yang tinggi yang cuba menghalang di depannya. Maka, ia langsung menerjang dan naik ke puncaknya. Sebaliknya, jika ada lubang atau lurah dan lembah maka ia akan memenuhinya dengan air. Begitu juga jika ada batu besar yang menghalang di depannya, maka ia menghala ke kanan dan ke kiri. Dan jika tiada pilihan berkemungkinan besar dia akan memecahkan batu tersebut. Itulah ibarat guru yang hebat. (Lihat Warkah buat Cikgu, 7-10 dan 41-46)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”