Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan secara ringkas berkenaan konsep kerja dalam Islam?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَقُلِ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ ۖ وَسَتُرَدُّونَ إِلَىٰ عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ
Maksudnya: “Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.”
(Surah al-Taubah: 105)
Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam menjelaskan ayat ini menyatakan, maksudnya bekerjalah, sesungguhnya perbuatan kamu tidak akan terlepas daripada penglihatan Allah dan para hamba-Nya, sama ada ia perbuatan baik atau buruk. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 6/42)
Terdapat beberapa istilah yang digunakan dalam al-Quran yang membawa erti kerja, antaranya ‘amal(kerja), kasb (pendapatan) dan sakhkhara (untuk mengguna atau mempekerjakan), ajr (upah atau penghargaan). (Lihat Islamizations of Economics, hlm. 11)
Perkataan kerja atau ‘amal menurut Islam boleh dimaksudkan dengan makna yang umum dan makna yang khusus. Makna yang umum adalah segala ‘amal yang meliputi perbuatan yang baik dan buruk seseorang manusia, sekiranya baik ia disebut sebagai amal soleh manakala sekiranya buruk ia disebut sebagai maksiat. Kerja atau ‘amal dengan kata yang khusus pula ialah melakukan pekerjaan atau usaha yang menjadi salah satu unsur terpenting dan titik tolak bagi proses seluruh kegiatan ekonomi. (Lihat Mafhum al-‘Amal fi al-Islam, 15-17)
Kerja dengan makna yang khusus ini terbahagi kepada dua, iaitu:
- Kerja yang berbentuk jasmani, iaitu yang melibatkan gerakan tubuh badan dalam mencapai matlamat sesuatu pekerjaan dilakukan.
- Kerja yang berbentuk aqli/fikiran, iaitu yang menggunakan minda dan mengerahkan daya pemikiran untuk menyelesaikan sesuatu pekerjaan.
Menurut Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, kerja bermaksud setiap usaha yang dilakukan secara maksimum oleh manusia, sama ada melalui gerakan tubuh badan atau akal fikiran, untuk menambahkan kekayaan, sama ada dilakukan secara persendirian atau berkumpulan, sama ada untuk diri sendiri atau untuk orang lain. (Lihat Musykilatu al-Faqr wa Kaifa ‘Alajaha al-Islam, hlm. 94)
Terdapat dua jenis pekerja iaitu pekerja khas dan pekerja musytarak. Pekerja khas (pekerja tetap) adalah seorang yang bekerja untuk satu majikan dalam tempoh waktu tertentu dan tidak boleh bekerja dengan orang lain. Manakala pekerja musytarak adalah mereka yang bekerja dengan beberapa majikan, tidak terikat dan bebas bekerja dengan sesiapa sahaja. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 5/3836)
Konsep Kerja dalam Islam
Islam menggalakkan dan menyanjung tinggi umatnya yang bekerja supaya tidak perlu meminta-minta kepada orang lain. Hal ini boleh dilihat melalui hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ طلَبَ الدُّنْيَا حلاَلاً اِسْتِعْفَافًا عَنِ الْمَسْأَلَةِ وَسَعْيًا عَلَى اَهْلهِ وَتَعَطُّفًا عَلَى جَارِهِ بَعَثَهُ اللهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَوَجْهُهُ كَالْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ. وَمَنْ طَلَبَ الدُّنْيَا حَلاَلاً مُكَاثِرًا مُفَاخِرًا مُرَائِيًا لَقِىَ اللهَ تَعَالَى يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَهُوَ عَلَيْهِ غَضْبَانٌ
Maksudnya: “Sesiapa yang mencari dunia dengan cara yang halal untuk menjauhkan diri dari meminta-minta, dan sebagai satu usaha untuk keluarganya dan untuk bersikap baik dengan tetangganya, maka dia akan dibangkitkan oleh Allah pada hari kiamat dalam keadaan mukanya bagaikan bulan purnama. Dan sesiapa yang mencari dunia secara halal, namun dengan niat untuk menimbunkan harta, berbangga dan bersikap sombong, maka dia akan bertemu dengan Allah pada hari kiamat dalam keadaan Allah murka kepadanya.”
Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (9890), Ahmad (2/436), Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (7/16) dan al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (3465).
Antara iktibar yang dapat diambil daripada hadith ini ialah, bekerja merupakan satu perkara yang dituntut. Hadith di atas juga jelas menunjukkan bahawa setiap orang perlu berusaha dan bekerja bagi meneruskan kesinambungan hidup.
Di samping itu, seseorang yang berusaha dan bekerja dengan cara yang halal, meskipun dipandang hina oleh manusia, itu adalah lebih baik dan mulia daripada meminta-minta dan menjadi beban bagi orang lain. (Lihat Bahjatu al-Nazirin, 1/598)
Daripada al-Zubair R.A, bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:
لأَنْ يَأخُذَ أحَدُكُمْ أحبُلَهُ ثُمَّ يَأتِيَ الجَبَلَ ، فَيَأْتِيَ بحُزمَةٍ مِنْ حَطَب عَلَى ظَهْرِهِ فَيَبِيعَهَا ، فَيكُفّ اللهُ بِهَا وَجْهَهُ ، خَيْرٌ لَهُ مِنْ أنْ يَسْألَ النَّاسَ ، أعْطَوْهُ أَوْ مَنَعُوهُ
Maksudnya: “Sesungguhnya, jika seseorang daripada kamu mengambil segulung tali, lalu dia pergi ke gunung (untuk mencari kayu api), kemudian dia pulang dengan memikul seikat kayu api di atas belakangnya untuk dijual, sehingga dengan itu Allah menjaga mukanya (kehormatannya), maka ia adalah lebih baik baginya daripada dia meminta-minta kepada manusia, sama ada mereka memberi atau menolak.”
Riwayat al-Bukhari (1402), Ibn Majah (1836) dan Ahmad (1410)
Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Pada hadith ini terdapat anjuran untuk menjaga diri dan menghindari sikap meminta-minta, walaupun seseorang perlu merendahkan dirinya dalam mencari rezeki dan menghadapi kesukaran. Jika bukan disebabkan hodohnya meminta-minta dalam pandangan Syariat, sudah tentu mencari rezeki sehingga ke tahap seperti itu tidaklah dianggap lebih utama daripada meminta-minta. Ini kerana seorang peminta akan merasa hina ketika meminta dan ketika ditolak. Begitu juga dengan pemberi, jika akan memberi kepada setiap orang yang meminta, maka dia akan mengalami krisis harta yang dimilikinya.
Adapun ungkapannya ‘lebih baik baginya’, bukan bermaksud perbandingan. Ini kerana tidak ada kebaikan dalam meminta-minta sekiranya dia masih mampu berusaha. Pendapat paling sahih menurut ulama’ mazhab Syafie adalah bahawa meminta dalam keadaan seperti itu hukumnya adalah haram. (Lihat Fath al-Bari, 8/220)
Justeru, setiap individu wajib berusaha dan bekerja untuk mencari rezeki dengan apa jua jenis pekerjaan yang dijalankannya sama ada dalam bidang pertanian, pertukangan, perniagaan atau urusan pejabat dan perkeranian serta menjalankan apa jua profesion yang mendatangkan manfaat.
Maka dengan kerja yang dijalankan itu, dia dapat mengkayakan dirinya dengan sendiri dan memenuhi keperluan dirinya dan ahli keluarganya tanpa memerlukan bantuan dari orang perseorangan atau mana-mana yayasan kebajikan atau kerajaan. Dengan itu juga, dia dapat menyelamatkan dirinya daripada belenggu kemiskinan dan seterusnya memberi sumbangan pula dalam usaha memberi kekayaan kepada masyarakat seluruhnya.
Selain itu, Islam juga memberi kebebasan untuk umat Islam memilih sesuatu pekerjaan yang sesuai dengan kemampuan, kepakaran, keahlian dan pengalamannya. Dalam hal ini, meskipun kebebasan diberikan dalam memilih sesuatu pekerjaan, tetapi jika ia jelas membawa bahaya dan mudarat sama terhadap individu atau masyarakat umum, dalam aspek moral mahupun material, maka pekerjaan yang seperti ini adalah diharamkan oleh Islam. (Lihat Musykilatu al-Faqr, hlm. 43) Selain itu, Islam memerintahkan umatnya agar tidak mengikat sesuatu kontrak kerja dalam perkara kemaksiatan, dan mendorong untuk bekerja dalam ruang yang dihalalkan sahaja, serta tidak melampaui atas. (Lihat al-Fiqh al-Islami, 5/3818)
Kisah Teladan
Abu Laith al-Samarqandi meriwayatkan dengan sanadnya dari Nasir bin Yahya berkata: Bahawa Nabi Daud AS terbiasa keluar dengan menyamar, lalu bertanya kepada seseorang tentang kelakuannya, maka pada suatu hari malaikat Jibril merupakan diri sebagai anak Adam sehingga ditegur oleh Nabi Daud: “Hai pemuda, apakah pendapatmu tentang Daud?” Jawabnya: “Dia adalah sebaik-baik dan hanya ada satu sifat yang kurang baik.” Ditanya: “Apakah itu?” Jawabnya: “Dia makan dari Baitulmal, padahal tiada seorang hamba yang disayangi oleh Allah lebih daripada orang yang makan hasil tangannya sendiri.”
Maka kembalilah Nabi Daud AS ke mihrabnya sambil menangis memohon kepada Allah: “Ya Tuhan, ajarkan kepadaku usaha yang dapat aku kerjakan sehingga aku tidak lagi mengambil belanja dari Baitulmal.” Maka Allah mengajarkan kepadanya membuat pakaian perang, dan membentuk besi di tangannya sehingga bagaikan adunan, maka apabila dia telah selesai dari melayani hajat rakyatnya ia kembali di rumah membuat baju besi dan dijual untuk belanja keluarganya. Demikianlah firman Allah yang bemaksud: “Dan Kami lembutkan besi untuk Daud, dan Kami ajarkan kepadanya membuat pakaian perang dari besi untuk memeliharamu (perisai) dari senjata di waktu perang.” (Lihat Bahr al-‘Ulum oleh Abu al-Laith al-Samarqandi, 2/435)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ
Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”