Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan berkenaan tasawwuf atau penyucian jiwa ini?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Daripada Umar ibn al-Khattab R.A, sabda Rasulullah SAW:
قَالَ فَأَخْبِرْنِي عَنِ الإِحْسَانِ قَالَ: أَنْ تَعْبُدَ اللَّهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ
Maksudnya: Kemudian dia berkata lagi: ‘Beritahukan kepadaku tentang Ihsan.’ Lalu Baginda SAW bersabda: ‘Ihsan adalah engkau beribadah kepada Allah seakan-akan engkau melihat-Nya, jika engkau tidak melihat-Nya maka sesungguhnya Dia melihat engkau.’
Riwayat Muslim (8) pada permulaan kitab al-Iman
Hakikat ihsan itu tercapai dengan dua perkara iaitu ibadah yang sempurna lagi berterusan dan kehadiran hati, kesedaran jiwa, serta penyaksian batin terhadap makna-makna ketuhanan (hakikat-hakikat tauhid) dalam ibadah tersebut. Penyaksian batin ini diistilahkan oleh ulama tasawwuf sebagai muraqabah dan musyahadah dan ia mempunyai tingkatan-tingkatan yang tertentu. Makna ihsan juga merujuk kepada amalan batin manusia iaitu penyaksian hati terhadap hadrat Ilahi. Oleh itu Islam melibatkan anggota lahiriah manusia, iman pula melibatkan anggota dalaman manusia iaitu hati, manakala ihsan pula merupakan gerak jiwa manusia. (Lihat Syarah Hadis 40, hlm 15-21)
Menurut Syeikh ‘Abd al-Hafiz Faraghli Ali al-Qarani, Tasawwuf pada hakikatnya ialah akhlak yang tinggi. Ia mengangkat manusia ke martabat yang paling tinggi dan sempurna dengan menghapuskan semua penghalangnya seperti syahwat, suka kepada kelazatan, dan bermalas-malasan dalam perkara ketaatan. Ia akan membentuk sikap tidak menghiraukan perkara remeh-temeh dan memalingkan diri daripada sifat ungkit-mengungkit. Dengan itu, ia akan membawa seseorang kepada agama yang mulia.
Penyucian jiwa pula dalam bahasa Arab disebut sebagai Tazkiyyatun Nafs. Perkataan tazkiyyah memberi maksud pembersihan atau penyucian. Manakala al-nafs pula bermaksud jiwa manusia yang menerima terhadap tubuh, dalam sebarang tindakan yang terdedah kepada unsur kebaikan atau kejahatan. Nafs juga dinisbahkan kepada perasaan dan kehendak untuk mendapatkan (idrak), gerakan (harakiyyah), tindak balas (infi’aliyyah), akhlak atau keluhuran budi (akhlaqiyyah). (Lihat Mafhum al-Nafs al-Insaniyyah fi al-Fikr ak-Tarbawi al-Hadis, hlm. 363)
Menurut Imam al-Ghazali, tazkiyah al-nafs merupakan satu proses penyucian jiwa daripada kekejian dan kekotoran yang berpunca daripada akhlak yang tercela. Ia merupakan salah satu kaedah untuk mendapatkan kekuatan dan ketahanan diri yang mantap bagi melawan musuh-musuh batin ini. Antara caranya adalah dengan memperbanyakkan ibadah dan amalan-amalan sunat, yang boleh membantu mendekatkan diri kepada Allah SWT. (Lihat Ihya’ Ulum al-Din, 3/118)
Syeikh Said Hawwa pula menyebut, tazkiyatun nafs secara ringkasnya bermaksud membersihkan jiwa daripada kemusyrikan dan cabang-cabangnya, mentahqiqkan kesuciannya dengan tauhid dan cabang-cabangnya, menjadikan nama-nama Allah yang baik sebagai akhlaknya, di samping ubudiyyah yang sempurna kepada Allah. Semua itu dengan meneladani Rasulullah SAW. (Lihat al-Mustakhlas fi Tazkiyah al-Anfus, hlm. 173)
Antara cara untuk melakukan penyucian jiwa (tazkiyyatun nafs) adalah dengan:
- Menunaikan segala ibadah fardhu dan kewajiban
- Menunaikan solat-solat sunat rawatib
- Membanyakkan zikir dan istighfar
- Menghadiri majlis ilmu
- Muhasabah diri secara berterusan.
- Menziarahi kubur untuk mengambil peringatan
- Menziarahi orang-orang sakit bagi mengetahui nikmat kesihatan itu
- Mengusap kepala anak-anak yatim serta mengasihi dan membantunya
- Membaca al-Quran dengan tadabbur
Dalam konteks pendidik yang berjiwa murabbi, ia akan menatijahkan didikan yang meresap ke dalam jiwa ‘anak didik mereka’. Bacalah sejarah tokoh-tokoh silam yang hebat, yang dididik oleh guru yang berjiwa murabbi. Maka kita akan dapati bagaimana imam yang empat (Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad) serta ramai lagi, di mana guru-guru mereka adalah para murabbi ummah yang hebat.
Matlamat Tasawuf
Antara matlamat tasawuf adalah:
- Ma’rifah dan Allah SWT dengan cara beribadah kepada-Nya bersungguh-sungguh.
- Penyucian, pembersihan dan peningkatan jiwa sehingga ia layak memperoleh ma’rifah
- Membina masyarakat yang sejahtera dengan asas yang baik, akhlak yang mulia, bepegang dengan peraturan-peraturan agama dan jalan-jalan rahsia kesufian yang meningkatkan martabat pengamalnya.
Setiap orang Islam adalah berkewajiban untuk bersama-sama memikul tanggungjawab yang besar ini dalam usaha memajukan agama dan negara. Pembinaan nilai-nilai kerohanian yang mantap merupakan pemangkin kepada asas negara Islam yang kukuh. Setinggi mana pun kemajuan dan pembangunan yang telah dicapai, sekiranya tidak ditingkatkan kekuatan dari aspek kerohanian, maka ia samalah ertinya dengan membina istana pasir. Ia tidak bernilai dan boleh runtuh pada bila-bila masa sahaja.
Maka, di sinilah letaknya fungsi tasawwuf dan tazkiyyatun nafs. Melalui kekuatan rohani atau spiritual, maka kebahagiaan dan ketenangan hidup manusia sejagat akan terjaga dan terpelihara. Malah, ia akan menjadi pemangkin untuk mereka berusaha keras dan merasai kelazatan bekerja. Justeru, adalah menjadi satu kewajipan terhadap guru yang berjiwa murabbi pada masa ini untuk mengembalikan kemuliaan dan kegemilangan ilmu serta proses tazkiyyatun nafs, agar bilangan mereka yang menghayati ilmu ini semakin bertambah, seterusnya mendekatkan orang ramai untuk menerimanya.
Secara ringkasnya, bolehlah dikatakan bahawa menjadi tanggungjawab atas guru atau murabbi untuk memberi gambaran yang betul tentang hakikat ilmu dan juga tazkiyyatun nafs. Mereka juga perlu mengangkat darjat ini tahap yang sewajarnya sehingga dapat mencapai matlamat yang diharapkan. Oleh itu, semua pihak mestilah memainkan peranan masing-masing untuk kemajuan dan keizzahan Islam, terutama para pendakwah dan pendidik yang sewajarnya memainkan peranan yang penting dalam memberi kefahaman kepada masyarakat.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عِلْمٍ لاَ يَنْفَعُ ، وَمِنْ قَلْبٍ لاَ يَخْشَعُ، وَمِنْ نَفْسٍ لاَ تَشْبَعُ ، وَمِنْ دَعْوَةٍ لَا يُسْتَجَابُ لَهَا
Maksudnya: “Ya Allah! Kami berlindung dengan-Mu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, daripada hati yang tidak khusyuk, daripada nafsu yang tidak puas, dan daripada doa yang tidak diterima.”