Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah ada hadith berkenaan mengembala kambing? Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَسَخَّرَ لَكُم مَّا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مِّنْهُ ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ
Maksudnya: “Dan Ia memudahkan untuk (faedah dan kegunaan) kamu, segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, (sebagai rahmat pemberian) daripadaNya; sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kemurahan dan kekuasaanNya) bagi kaum yang memikirkannya dengan teliti. ”
Ibn Jarir al-Tabari menyebutkan bahawa: Allah Ta‘ala berfirman: Dan Dia telah menundukkan untukmu apa yang ada di langit, seperti matahari, bulan, dan bintang-bintang, dan apa yang ada di bumi, seperti haiwan, tumbuh-tumbuhan, gunung-gunung, benda-benda tidak bernyawa, dan kapal-kapal, untuk manfaat dan kepentinganmu. Semuanya berasal daripada-Nya. (Lihat Jami’ al-Bayan, 22/65)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas, membela kambing adalah salah satu pekerjaan para anbiya’ yang menjadi teladan mulia bagi umat Islam. Pekerjaan ini bukan sahaja melibatkan usaha yang halal, tetapi juga mendidik jiwa dengan sifat sabar, kasih sayang, dan rasa tanggungjawab. Terdapat beberapa hadith yang menceritakan perihal mengembala kambing antaranya ialah hadith yang diriwayatkan daripada daripada Abu Hurairah R.A, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:
مَا بَعَثَ اللَّهُ نَبِيًّا إِلَّا رَعَى الغَنَمَ. فَقَالَ أَصْحَابُهُ: وَأَنْتَ؟ فَقَالَ: نَعَمْ، كُنْتُ أَرْعَاهَا عَلَى قَرَارِيطَ لِأَهْلِ مَكَّةَ
Maksudnya: “Tidaklah Allah mengutus seorang Nabi, melainkan dia (pernah) mengembala kambing.” Lalu para sahabat Baginda bertanya: “Dan engkau?” Baginda bersabda: “Ya, aku dahulu pernah mengembala kambing dengan upah beberapa qirat (keping dinar) milik penduduk Makkah.”
Riwayat al-Bukhari (2262)
Al-Hafiz Ibn Hajar dalam menjelaskan hadith ini menyebut seperti berikut: Para ulama berkata, “Hikmah mengapa para nabi diberikan ilham untuk mengembala kambing sebelum diangkat menjadi nabi adalah agar mereka dapat melatih diri dengan mengembala kambing tersebut untuk menghadapi beban yang akan dipikul oleh mereka, iaitu meluruskan urusan umat mereka.
Selain itu, berada di tengah-tengah kumpulan kambing dapat melahirkan sifat santun dan kasih sayang. Kerana apabila mereka dapat bersabar menggembalakan kambing, mengumpulkannya setelah terpisah-pisah di tempat penggembalaan, memindahkannya dari satu tempat ke tempat lain, melindunginya daripada musuh seperti binatang buas atau pencuri, mengetahui perbezaan tabiatnya, mengetahui sifat kambing yang sering ingin berpisah-pisah walaupun keadaannya lemah dan sentiasa memerlukan pengawasan, nescaya mereka akan terbiasa bersabar menghadapi masyarakat, mengenali perbezaan tabiat serta tahap pemahaman mereka.
Dengan itu, mereka akan menutupi kekurangan, berlaku lembut terhadap yang lemah, dan mengawasi umat dengan baik. Memikul semua beban ini akan terasa ringan bagi mereka berbanding jika dibebankan tanpa latihan terlebih dahulu. Dengan adanya latihan awal seperti menggembala kambing, beban yang ada terasa dipikul sedikit demi sedikit
Latihan ini dikhususkan untuk kambing kerana kambing merupakan haiwan yang paling lemah berbanding haiwan lain. Selain itu, kambing lebih cenderung untuk berselerak berbanding unta atau lembu kerana unta dan lembu mungkin boleh ditambat dengan tali, berbeza dengan kambing yang lazimnya tidak ditambat. Akan tetapi, meskipun kambing suka berselerak, namun ia lebih mudah dan cepat untuk digiring berbanding haiwan lain.
Sikap Nabi SAW yang menyebutkan perkara ini setelah diketahui bahawa baginda adalah makhluk paling mulia di hadapan Allah SWT merupakan bukti keagungan sikap tawadhu’ (rendah hati) baginda terhadap Tuhannya serta pengakuan yang tegas akan pemberian Allah kepadanya, serta kepada saudara-saudaranya sesama nabi. (Lihat Fath al-Bari, 13/31)
Antara lainnya juga adalah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
رَأْسُ الكُفْرِ نَحْوَ المَشْرِقِ، والفَخْرُ والخُيَلاءُ في أهْلِ الخَيْلِ والإِبِلِ والفَدّادِينَ أهْلِ الوَبَرِ، والسَّكِينَةُ في أهْلِ الغَنَمِ.
Maksudnya: “Pusat kekufuran berada di arah timur, dan sifat berbangga serta sombong terdapat dalam kalangan pemilik kuda, unta, dan mereka yang bersuara lantang dari kalangan penduduk padang pasir yang hidup dengan bulu binatang. Adapun sifat tenang dan ketenteraman terdapat dalam kalangan pemilik kambing.”
Riwayat al-Bukhari (3301) dan Muslim (52)
Dikatakan bahawa sifat seseorang penggembala bergantung kepada jenis haiwan yang digembalanya. Penggembala kambing biasanya memiliki hati yang lebih lembut kerana sifat kambing yang mudah diuruskan, manakala penggembala unta cenderung bersifat lebih keras kerana unta memiliki sifat yang kasar. Dikatakan juga bahawa pemilik kambing biasanya tinggal berdekatan dengan kawasan penempatan manusia dan bergaul dengan penduduknya, kerana kambing tidak dapat bertahan lama tanpa air dan makanan serta tidak tahan dengan cuaca sejuk. Oleh itu, kedekatan mereka dengan kawasan penempatan menyebabkan mereka lebih cenderung untuk mematuhi pemerintah. (Lihat Syarh al-Masabih, 6/520)
Selain itu, sifat tenang, berwibawa, dan rendah hati (terdapat dalam kalangan pemilik kambing), kerana mereka kebiasaannya lebih sederhana berbanding pemilik unta dalam hal kemewahan dan jumlah harta, yang menjadi sebab kepada sifat berbangga dan sombong. Rasulullah SAW juga pernah berkata kepada Ummu Hani: Peliharalah kambing, kerana padanya terdapat keberkatan. (Lihat Irsyad al-Sari li Syarh Sahih al-Bukhari, 12/350).
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, mengembala kambing bukan sekadar pekerjaan biasa, tetapi ia adalah sunnah para nabi yang penuh hikmah dalam pembentukan akhlak dan persiapan mental. Aktiviti ini mengajarkan nilai-nilai seperti kesabaran, kasih sayang, dan tanggungjawab, yang sangat penting untuk menghadapi cabaran kehidupan, khususnya dalam mengurus masyarakat.
Melalui pengalaman mengembala kambing, para nabi dilatih untuk menghadapi pelbagai tabiat dan sifat makhluk, yang melatih mereka untuk bersikap lembut kepada yang lemah serta mengurus umat dengan bijaksana. Selain itu, sifat tenang dan rendah hati yang sering dikaitkan dengan pemilik kambing menggambarkan keberkatan yang terkandung dalam pekerjaan ini. Rasulullah SAW sendiri menekankan kelebihan ini dalam beberapa hadith, termasuk galakan untuk memelihara kambing kerana sifatnya yang membawa ketenteraman dan keberkatan.
Secara keseluruhannya, mengembala kambing adalah pekerjaan yang mendidik jiwa, memupuk sifat-sifat mulia, dan menjadi contoh teladan dalam menjalani kehidupan yang diredhai oleh Allah SWT.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ فضْلِكَ وَرَحْمَتِكَ ، فَإِنَّهُ لا يَمْلِكُهَا إِلا أَنْتَ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepada-Mu agar diberi kurniaan dan rahmat-Mu. Sesungguhnya tiada yang memilikinya kecuali-Mu.”
Wallahua‘lam