Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah terdapat hadith yang mengatakan bahawa kepala dan pusat kekufuran di sebelah timur? Boleh terangkan maksudnya?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَمَن يَرْتَدِدْ مِنكُمْ عَن دِينِهِۦ فَيَمُتْ وَهُوَ كَافِرٌۭ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ حَبِطَتْ أَعْمَـٰلُهُمْ فِى ٱلدُّنْيَا وَٱلْـَٔاخِرَةِ ۖ وَأُو۟لَـٰٓئِكَ أَصْحَـٰبُ ٱلنَّارِ ۖ هُمْ فِيهَا خَـٰلِدُونَ
Maksudnya: “dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari agamanya (agama Islam), lalu ia mati sedang ia tetap kafir, maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya (selama-lamanya).”
(Surah al-Baqarah: 217)
Murtad atau riddah dalam bahasa Arab merupakan isim masdar (kata nama terbitan) daripada perkataan (اِرْتَدَّ – يَرْتَدُّ – اِرْتِدَادًا) yang bermaksud beralih daripada sesuatu kepada sesuatu yang lain. Secara mudahnya, (الرِّدَّةُ) ini merujuk kepada kembali dari sesuatu kepada yang lain. (Lihat Tahzib al-Lughah, 14/47; Mukhtar al-Sihah, hlm. 121; Maqayis al-Lughah, 2/386; al-Mufradat fi Gharib al-Quran, hlm. 349)
Dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan benar. Hal ini berdasarkan hadith daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
رَأْسُ الكُفْرِ نَحْوَ المَشْرِقِ
Maksudnya: “Pusat kekufuran berada di arah timur.”
Riwayat al-Bukhari (3301) dan Muslim (52)
Imam al-Nawawi berkata: Ini berlaku pada zamannya, ketika keluarnya Dajjal iaitu di mana pada ketika itu ia menjadi tempat munculnya fitnah-fitnah yang besar dan wujudnya sikap balas dendam dan pertumpahan darah yang besar lagi dahsyat. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 4/407)
Dalam sebuah hadith Nabi SAW, daripada Ibn Umar R.Anhuma, menyatakan
قالوا: وفي نَجْدِنا؟ قالَ: قالَ: هُناكَ الزَّلازِلُ والفِتَنُ، وبِها يَطْلُعُ قَرْنُ الشَّيْطانِ
Maksudnya: Mereka bertanya: “Dan pada negeri Najd kami?” Ibn Umar berkata, Baginda bersabda: “Di sanalah berlakunya gegaran-gegaran (gempa bumi) dan fitnah-fitnah, dan di sana juga akan terbitnya tanduk syaitan.”
Riwayat al-Bukhari (1037)
Daripada hadith ini jelas kepada kita, terlalu banyak ujian, huru-hara dan bala yang datang seperti gempa bumi, fitnah dan di sana juga terdapatnya tanduk syaitan. Sebahagian ulama mentafsirkan dengan munculnya pelbagai ajaran yang sesat.
Semoga Allah selamatkan kita dari bala seperti ini apabila muncul. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوْذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ البَلَاءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوءِ القَضَاءِ ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ
Maksudnya: “Wahai Allah! Kami berlindung kepada-Mu daripada ujian yang berat, hinanya kecelakaan, buruknya takdir dan celaan para musuh (atas bala, ujian dan kecelakaan yang menimpa).”