Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Kenapa Islam melarang kita memaki masa?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Masa ialah satu konsep asas dalam fizik dan falsafah yang merujuk kepada dimensi di mana peristiwa berlaku dalam satu urutan dari masa lalu ke masa kini dan ke masa hadapan. Ia sering diukur dalam unit seperti saat, minit, dan jam, serta dikaji dalam pelbagai disiplin termasuk fizik, falsafah, dan psikologi.
Dalam fizik klasik, masa dianggap sebagai magnitud mutlak dan linear, seperti yang dihuraikan oleh Isaac Newton, tetapi dalam teori relativiti Albert Einstein, masa adalah relatif dan bergantung kepada pemerhati serta kelajuan sesuatu objek berbanding dengan kelajuan cahaya (Einstein, 1905). Selain itu, dari perspektif falsafah, masa sering dikaitkan dengan kewujudan dan perubahan, seperti yang dibincangkan oleh Aristoteles dalam Physics (Aristotle, 4th century BCE).
Dalam konteks Islam pula, masa dianggap sebagai amanah Allah yang perlu dimanfaatkan dengan baik, sebagaimana yang ditegaskan dalam Surah Al-Asr (103:1-3) yang menekankan kepentingan menggunakan masa untuk beramal soleh dan menasihati dalam kebenaran serta kesabaran.
Berkenaan persoalan di atas, memang benar Islam melarang kita memaki masa. Antaranya berdasarkan hadith Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَا يَقُولَنَّ أَحَدُكُمْ: يَا خَيْبَةَ الدَّهْرِ، فَإِنَّ اللَّهَ هُوَ الدَّهْرُ
Maksudnya: “Jangan seseorang daripada kamu berkata: ‘Hai celakalah masa!’ Kerana sesungguhnya Allah itu adalah masa.”
Riwayat al-Bukhari (6182) dan Muslim (2246)
Al-Munawi berkata: Sabda Nabi SAW: “Janganlah kamu mencela masa, kerana Allah adalah masa.”Maksudnya: Allah-lah yang mendatangkan segala peristiwa, bukanlah masa itu sendiri. Larangan ini berikutan kebiasaan orang Arab yang menyandarkan segala kejadian yang menimpa mereka kepada masa dan zaman. Hal ini tercermin dalam syair-syair mereka yang sering mengeluhkan masa.
Menurut penjelasan dalam al-Kassyaf, mereka beranggapan bahawa setiap musibah yang berlaku adalah perbuatan masa. Al-Munziri pula menambahkan bahawa maksud hadis ini adalah kerana orang Arab, apabila ditimpa sesuatu yang tidak menyenangkan akibat kejadian masa, mereka percaya bahawa masa itulah yang menyebabkan musibah tersebut. Kepercayaan ini disamakan dengan melaknat pelaku, sedangkan tidak ada pelaku bagi segala sesuatu melainkan Allah. Oleh itu, Rasulullah SAW melarang mereka daripada berbuat demikian. (Lihat Faidh al-Qadir, 6/399)
Hadith ini memberi maksud bahawa Allah-lah yang mencipta masa. Apabila kita memakinya bermakna kita tidak redha dengan ketentuan Allah.
Dalam riwayat yang lain, daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لا تسبُّوا الدهرَ فإنَّ اللهَ قال: أنا الدهرُ، الأيامُ والليالي لي أُجدِّدُها وأُبْلِيها، وآتي بملوكٍ بعد ملوكٍ
Maksudnya: “Janganlah kamu mencela masa, kerana sesungguhnya Allah berfirman: ‘Akulah masa (menciptakannya). Hari-hari dan malam-malam itu milik-Ku; Aku memperbaharuinya dan Aku juga yang menghabiskannya, serta Aku mendatangkan para raja satu demi satu (selepas yang lain).’”
Riwayat al-Bukhari (6181) secara ringkas, Muslim (2246) secara ringkas dan Ahmad (10438)
Islam mengajar kepada kita dengan dua sifat iaitu syukur dan sabar. Hasil daripada syukur dan sabar itulah akan menatijahkan sifat redha. Benarlah sabda Nabi SAW:
عَجَبًا لِأَمْرِ الْمُؤْمِنِ، إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ، وَلَيْسَ ذَاكَ لِأَحَدٍ إِلَّا لِلْمُؤْمِنِ، إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ، فَكَانَ خَيْرًا لَهُ، وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ، صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ
Maksudnya: “Ajaibnya urusan seorang Mukmin. Sesungguhnya semua urusannya adalah baik belaka. Dan hal itu tiada bagi seorang pun melainkan bagi orang Mukmin sahaja. Jika dia mendapat suatu perkara yang menyenangkan, dia bersyukur, maka itu ialah kebaikan baginya. Dan jika dia mendapat suatu perkara yang menyusahkan, dia bersabar, maka itu juga ialah kebaikan bagi dirinya.”
Riwayat Muslim (2999)
Imam al-Munawi menukilkan kalam Imam al-Tibi, katanya: “Keadaan seorang mukmin itu semuanya baik. Perkara ini hanya didapati pada seorang mukmin. Ia tidak ditemui pada orang kafir mahupun munafik. Keajaibannya adalah ketika dia diberi kesenangan dalam bentuk kesihatan, keselamatan, harta dan kedudukan, kemudian dia bersyukur kepada Allah atas kurniaan tersebut, maka dia akan dicatat sebagai orang yang bersyukur. Ketika dia ditimpa musibah, kemudian dia bersabar, maka dia akan dicatat sebagai orang-orang yang bersabar. (Lihat Faidh al-Qadir, 4/302)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ أَعْمَارِنَا أَوَاخِرَهَا، وَخَيْرَ أَعْمَالِنَا خَوَاتِمَهَا، وَاجْعَلْ خَيْرَ أَيَّامِنَا يَوْمَ نَلْقَاكَ
Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah sebaik-baik umur kami adalah pada penghujungnya, dan sebaik-baik amalan kami sebagai penutupnya. Dan jadikanlah sebaik-baik hari kami, adalah hari dimana kami berjumpa dengan-Mu kelak.”