Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah sifat-sifat sewajarnya dan juga tanggungjawab bagi seorang Imam di masjid?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّمَا جُعِلَ الْإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ فَلَا تَخْتَلِفُوا عَلَيْهِ فَإِذَا رَكَعَ فَارْكَعُوا وَإِذَا قَالَ سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ فَقُولُوا رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ وَإِذَا سَجَدَ فَاسْجُدُوا وَإِذَا صَلَّى جَالِسًا فَصَلُّوا جُلُوسًا أَجْمَعُونَ

Maksudnya: “Imam (di dalam solat) itu dijadikan untuk diikuti. Jangan kalian bercanggahan dengan imam. Apabila dia rukuk maka rukuklah. Apabila dia menyebut سمع الله لمن حمده (Allah Maha Mendengar sesiapa yang memuji-Nya) maka katakanlah ربنا لك الحمد (Tuhan kami bagi Engkau segala pujian). Apabila dia sujud maka bersujudlah. Apabila dia solat secara duduk maka solatlah kalian semua secara duduk.”

Riwayat al-Bukhari (722) dan Muslim (962)

Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini beliau menyebut bahawa makmum wajib untuk mengikut imam ketika takbir, qiyam,rukuk, sujud dan lain-lain. Makmum perlu mengangkat takbir sejurus selepas imam melakukannya. Jika makmum melakukan apa-apa pergerakan solat sebelum imam selesai maka tidak sah solatnya. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 4/131)

Ibn Rusyd dalam kitabnya Bidayah al-Mujtahid wa Nihayah al-Muqtasid menyatakan telah berlaku khilaf dalam kalangan ulama, siapakah yang layak untuk menjadi imam.

  • Imam Malik mengatakan orang yang menjadi imam adalah mestilah seorang itu faqih dalam ilmu agama.
  • Manakala Imam Abu Hanifah, Syafie, Al-Thauri dan Ahmad berpendapat, seorang imam itu hendaklah seorang yang fasih dan alim mengenai ilmu al-Quran. (Lihat Bidayah al-Mujtahid wa Nihayah al-Muqtasid, 1/351)

Seseorang imam itu juga seharusnya mengetahui dengan sebaiknya mengenai perkara-perkara yang menjadi kesepakatan dan perselisihan alim ulama. Hal ini kerana untuk memastikan solat yang dijalankan itu menjadi sempurna dan segala permasalahan yang timbul dapat diselesaikan dengan ilmu pengetahuan. (Lihat al-‘Aziz bi Syarh al-Wajiz, 2/154)

Menurut al-Ghazali imam diutamakan kepada mereka yang faqih dalam ilmu, beramal soleh, wara’ dan sangat baik bacaan al-Quran (terutamanya surah al-Fatihah). Dan sekiranya terdapat beberapa orang yang mempunyai sifat seperti ini, maka pilihlah dari kalangan mereka itu orang yang elok wajahnya dan baik pakaiannya. (Lihat al-Wajiz fi Fiqh al-Imam al-Syafi’e, 1/182)

Dalam al-Fiqh al-Manhaji menyebut sifat yang sangat digalakkan bagi seseorang imam antaranya adalah lebih alim, lebih fasih, lebih soleh dan lebih tua di kalangan mereka. Apabila sifat-sifat ini terdapat kepada seseorang imam, maka bersolatlah di belakangnya adalah lebih baik dan pahalanya lebih diharapkan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/179)

Hal ini berdasarkan hadis, daripada Ibn Mas’ud, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

يَؤُمُّ الْقَوْمَ أَقْرَؤهُمْ لِكتَابِ اللَّهِ، فَإِنْ كَانُوا في الْقِراءَةِ سَواءً، فَأَعْلَمُهُمْ بِالسُّنَّةِ، فَإِنْ كَانُوا في السُّنَّةِ سَوَاءً، فَأَقْدمُهُمْ هِجْرَةً، فَإِنْ كانُوا في الهِجْرَةِ سَوَاءً، فَأَقْدَمُهُمْ سِنًّا.

Maksudnya: Yang menjadi imam bagi sesuatu kumpulan ialah orang yang lebih pandai membaca al-Quran. Sekiranya mereka setara dalam bacaan, maka yang lebih alim dalam hadis, jika dalam hadis mereka pun sama maka yang lebih dahulu berhijrah, dan jika dalam hijrah juga mereka masih sama maka yang lebih tua usianya di kalangan mereka”.

Riwayat Muslim (613)

Imam Nawawi menjelaskan makna hadis ini dengan mengatakan ini merupakan dalil bagi mereka yang mengatakan sesungguhnya syarat menjadi imam itu perlulah seorang yang mahir membaca dan memahami ayat al-Quran, walaupun imam itu tidak faqih dalam ilmu agama. Ini merupakan pendapat Imam Abu Hanifah, Ahmad, dan sebahagian ulama mazhab Syafie. Dan berkata Imam Malik, Syafie dan ulama dalam mazhab mereka berdua, sesungguhnya syarat menjadi imam itu mestilah seorang yang faqih dalam ilmu agama, walaupun agak kurang dalam bacaan ayat al-Quran. Hal ini kerana, seseorang imam itu, tidak hanya sekadar membaca, tetapi mestilah memahami makna dan hukum ayat tersebut. Dan solat itu tidak akan sempurna sehinggalah imam itu benar-benar memahami hukum mengenai solat. (Lihat al-Minhaj fi Syarah Sahih Muslim, 5/147)

Menurut Imam al-Asqalani, imam itu adalah seorang yang mendalami makna-makna al-Quran, serta beramal dengan ayat–ayat tersebut. Baik bacaannya dan kuat ingatannya. Di samping itu banyak mengingati hadis Nabi SAW serta memahami makna hadis tersebut. (Lihat Fath Zi al-Jalal wa al-Ikram bi Syarah Bulugh al-Maram, 2/267) Seorang imam itu adalah orang yang paling banyak menghafaz ayat-ayat al-Quran serta beramal dengan hukumnya. (Lihat Subul al-Salam Syarah Bulugh al-Maram, 2/60)

Begitu juga Syeikh Bin Bazz Menyatakan bahawa: Seorang imam mestilah berusaha bersungguh-sungguh dalam meningkatkan bacaan Al-Quran, memberikan perhatian terhadap bacaan, menghafal sebanyak yang mampu, mendalami pengetahuan agama, dan mempelajari hukum-hakam sehingga dia  mengetahui hukum berkaitan dengan solat, sujud sahwi, serta perkara-perkara yang berkaitan dengan seorang imam, sambil memelihara takwa kepada Allah, berpegang teguh pada agamanya, dan menghindari terhadap maksiat.[1]

Keutamaan bagi imam itu adalah untuk memimpin jemaah melaksanakan ibadah sembahyang. Secara tidak langsung, imam itu perlu menguasai ilmu dan juga hukum-hakam mengenai ibadah sembahyang. Hal ini kerana beberapa permasalahan yang timbul, perlu untuk dijawab serta dijelaskan kepada para jemaah. Di samping itu, permasalahan yang dihadapi oleh ahli Jemaah khususnya yang melibatkan hukum-hakam, dirujuk kepada imam.

Oleh itu, para imam perlu memenuhi dirinya dengan ilmu pengetahuan bagi membimbing masyarakat pada jalan yang betul. Antara perkara utama yang perlu diberikan perhatian juga adalah berkenaan kemakmuran masjid. Memakmurkan masjid adalah amalan yang disyariatkan oleh Allah SWT kepada umat Islam dan orang yang beriman iaitu dengan ibadah solat, solat berjemaah, majlis ilmu, tadarus al-Quran dan sebagainya.

Tanggungjawab Imam dan Senarai Tugas

Terdapat pelbagai tugas imam dalam hal ehwal agama di masjid atau surau, termasuk dalam pentadbiran dan pengurusan. Secara umumnya, setiap imam yang dilantik akan memikul tanggungjawab dan tugasan berikut:

  • Menjadi pegawai syarie dalam kariah masjid dan mengimamkan solat fardhu dan apa-apa solat berjemaah yang lain di masjid itu.
  • Mengetuai urusan fardhu kifayah ke atas jenazah orang Islam yang mati di kariah masjid itu sehingga dikebumikannya.
  • Membaca khutbah Jumaat dan khutbah Hari Raya.
  • Memberi nasihat dan tunjuk ajar dalam perkara-perkara tentang agama Islam kepada anak kariah masjid itu sedaya upayanya.
  • Mengetuai, mengawasi dan mengatur pengajaran agama Islam di kalangan anak kariah masjid itu.
  • Membimbing bilal, siak dan anak kariah masjid itu dalam menjalankan tugas-tugas imam.
  • Menghadiri tiap-tiap mesyuarat Pegawai Masjid dan Jawatankuasa kariah Masjid itu.
  • Menerima dan mematuhi apa-apa arahan yang diberikan oleh Jabatan Agama Islam negeri masing-masing.

Di dalam kitab Mas’uliyyah Imam al-Masjid yang dikarang oleh ‘Ali ‘Usairi menyatakan bahawa:  Imam telah diberi tanggungjawab oleh pihak berkuasa untuk melakukan  tugas yang diberikan kepadanya untuk dilaksanakan sebagaimana yang diminta daripadanya dengan diberikannya upah gaji atau elaun. Ini termasuk memimpin sembahyang fardhu, atau sembahyang fardhu dan Jumaat, atau  hanya sembahyang Jumaat, atau sebagai imam ganti jika diperlukan pada bila-bila masa. Yang penting di sini ialah dia telah diberi tanggungjawab dan upah yang ditetapkan untuk tugas tersebut. Adakah dia dibenarkan untuk bersikap tidak serius dalam melakukan tugas ini? Sikap tidak serius dalam menjalankan tugas yang dipercayakan kepadanya dianggap sebagai pengkhianatan terhadap amanah dan kelalaian yang boleh mendatangkan hukuman ke atasnya. Mungkin akan menjadi contoh buruk kepada sesetengah orang dalam mengabaikan tugas dan amanah mereka, maka dia akan memikul dosa atas pengabaian dalam menjalankan tugas dan dosa ke atas orang yang mengikutinya  dalam hal tersebut.

Selain itu juga, seorang Imam mestilah mempunyai ilmu yang mantap kerana Imam yang berilmu bukan sahaja mampu memimpin solat bahkan diambil ilmu dan fatwa daripadanya. Justeru, masjid menjadi tempat berkumpulnya pelbagai golongan masyarakat seperti penuntut ilmu, intelektual, golongan yang  berpengaruh dan lain-lain. Oleh yang demikian, Imam memikul  tanggungjawab yang besar dalam menyebarkan ilmu.  Abdul Malik bin Marwan ditanya kepadanya: Mengapa engkau cepat tua?  Dia menjawab: Bagaimana tidak, sedangkan aku memberikan ilmu dan fikiranku kepada orang ramai setiap Jumaat. Yang demikian  kerana dia mengerti betapa besar tanggungjawabnya. Peranan seorang imam  tidak hanya terbatas pada memimpin solat, tetapi juga sebagai seorang pendidik, pembimbing, mufti, orang yang mengislahkan keadaan, pencegah keburukan sebelum ianya berlaku, serta penggerak kepada penyelesaian masalah yang menimbulkan perselisihan. (Lihat Mas’uliyyah al-Imam al-Masjid, hlm. 27-34)

Kami akhiri dengan doa:

 رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا ۚ أَنتَ مَوْلَانَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.”

[1] Lihat : https://binbaz.org.sa/fatwas/9975/%D8% Diakses pada 28 Disember 2023