Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah solat sunat selepas Isya’ akan digandakan pahala seperti Lailatul Qadar?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan ya. Hal ini berdasarkan kepada hadith Nabi SAW: Daripada Anas bin Malik berkata: Rasulullah SAW telah bersabda:
أَرْبَعٌ قَبْلَ الظُّهْرِ كَعِدْلِهِنَّ بَعْدَ الْعِشَاءِ، وَأَرْبَعٌ بَعْدَ الْعِشَاءِ كَعِدْلِهِنَّ مِنْ لَيْلَةِ الْقَدْرِ
Maksudnya: “Empat rakaat sunat sebelum Zuhur menyamai selepas Isyak dan empat rakaat sunat selepas Isyak menyamai malam qadr.”
Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (2733). Al-Haithami dalam Majma’ al-Zawaid (2/233) menyatakan bahawa pada sanad ini terdapat Yahya bin Abi al-‘Airaz, dan dia seorang perawi yang sangat dhaif
Terdapat sebuah hadith yang lain, yang menggambarkan berkenaan dengan kelebihan solat Isyak berjemaah dan disertai dengan empat rakaat ba’diah Isyak. Daripada Ibn Umar R. Anhuma telah berkata: Rasulullah SAW telah bersabda:
مَنْ صَلَّى الْعِشَاءَ الْآخِرَةَ فِي جَمَاعَةٍ وَصَلَّى أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ قَبْلَ أَنْ يَخْرُجَ مِنَ الْمَسْجِدِ كَانَ كَعِدْلِ لَيْلَةِ الْقَدْرِ
Maksudnya: “Siapa yang solat Isyak secara berjemaah dan solat empat rakaat sunat sebelum keluar daripada masjid nescaya samalah seperti malam qadr.”
Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (13800). Hadith ini dinilai dhaif berdasarkan Dhaif al-Targhib (337)
Jelas menunjukkan kepada kita bahawa dalam bab Fadha’il al-A’mal, selayaknya kita boleh mengamalkannya kerana balasan dan janji kepada yang melakukannya adalah besar di sisi Allah. Sesungguhnya sifat melazimi solat sama ada yang wajib mahupun yang sunat sudah tentu mendapat keistimewaan dan kelebihan termasuklah dinyatakan sebagai ciri orang-orang yang mendapat kejayaan sebagaimana surah al-Mu’minun:
وَالَّذِينَ هُمْ عَلَىٰ صَلَوَاتِهِمْ يُحَافِظُونَ
Maksudnya: “Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya.”
(Surah al-Mu’minun: 9)
Antara maksud ‘يُحَافِظُونَ’ adalah memelihara solat dalam waktunya. Ibn Mas’ud, Masruq, Ikrimah dan Said bin Jubair berkata: “Yakni, orang-orang yang memelihara solatnya, dan menjaga waktu-waktu solat.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/714)
Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”