Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah terdapat nas hadith yang menunjukkan bahawa seorang yang telah hebat sebelum Islam, sama ada ilmu atau lain lagi dianggap hebat selepas beliau memeluk Islam?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan ini, kami nukilkan sebuah hadith yang panjang, daripada Abu Hurairah R.A, katanya:

سُئِلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيُّ النَّاسِ أَكْرَمُ؟ قَالَ: (أكرمُهم عِنْدَ الله أتقاهم) قَالُوا لَيْسَ عَنْ هَذَا نَسْأَلُكَ قَالَ: (فَأَكْرَمُ الناس يوسف نبي الله بن نبي الله بن خَلِيلِ اللَّهِ) قَالُوا لَيْسَ عَنْ هَذَا نَسْأَلُكَ قَالَ: (فَعَنْ مَعَادِنِ الْعَرَبِ تَسْأَلُونِي؟) قَالُوا: نَعَمْ قَالَ: (فخيارُكم فِي الْجَاهِلِيَّةِ خيارُكم فِي الْإِسْلَامِ إذا فَقِهُوا)

Maksudnya: Rasulullah ﷺ pernah ditanya: “Siapakah manusia yang paling mulia?” Baginda menjawab: “Orang yang paling mulia di sisi Allah ialah mereka yang paling bertakwa.” Mereka berkata: “Bukan itu yang kami tanyakan.” Lalu Baginda bersabda: “Maka manusia yang paling mulia ialah Yusuf, nabi Allah, anak kepada nabi Allah, anak kepada kekasih Allah (Ibrahim).” Mereka berkata lagi: “Bukan ini yang kami maksudkan.”
Lantas Baginda bersabda: “Adakah kamu bertanya tentang keturunan bangsa Arab?” Mereka menjawab: “Ya.” Maka Baginda bersabda: “Sebaik-baik kamu di zaman Jahiliah adalah yang terbaik di kalangan kamu dalam Islam, jika mereka memahami agama dengan mendalam.”

Riwayat al-Bukhari (3353) dan Muslim (2378)

Al-Tibi berkata:

Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, beliau berkata: Sabda Rasulullah ﷺ: “Siapakah manusia yang paling mulia?”. Soalan ini boleh membawa maksud kemuliaan di sisi Allah secara mutlak tanpa mengambil kira keturunan, walaupun seseorang itu hanyalah seorang hamba dari Habsyah, atau boleh juga merujuk kepada kemuliaan yang melibatkan kedudukan dan keturunan, atau semata-mata kedudukan dalam masyarakat. Para sahabat bertanya demikian kerana sabda Rasulullah ﷺ: “Maka, berkenaan asal-usul bangsa Arab?”, yakni mengenai keturunan dan nasab mereka, lalu mereka menjawab: “Ya”. Maka Rasulullah ﷺ menggunakan pendekatan yang penuh hikmah dengan menyatukan antara kemuliaan keturunan dan kefahaman agama, lalu Baginda bersabda: “Jika mereka memahami agama.” Ketika para sahabat berkata: “Bukan tentang ini yang kami tanyakan.”, maksud mereka ialah: “Pertanyaan kami bukan dalam maksud ini.”, seperti ungkapan seseorang yang bertanya: “Apakah yang engkau inginkan?” lalu dijawab: “Keinginan (hawa nafsu).”

Apabila Rasulullah ﷺ ditanya: “Siapakah manusia yang paling mulia?”, Baginda menjawab dengan menerangkan siapa yang paling sempurna dan paling utama dalam kemuliaan, lalu Baginda bersabda: “Orang yang paling bertakwa kepada Allah.” Ini kerana asas kemuliaan adalah banyaknya kebaikan, dan seseorang yang bertakwa memiliki banyak kebaikan serta manfaat di dunia, selain mempunyai kedudukan yang tinggi di akhirat. Ketika para sahabat berkata: “Bukan tentang ini yang kami tanyakan.”, Rasulullah ﷺ menjawab: “Yusuf”, kerana Baginda Nabi Yusuf عليه السلامmenghimpunkan pelbagai kebaikan dunia dan akhirat serta kemuliaan, menggabungkan kemuliaan akhlak, kemuliaan kenabian dan keturunan, serta ilmu dalam mentakwil mimpi. Selain itu, Nabi Yusuf عليه السلام juga dikurniakan kepimpinan yang kukuh, kebijaksanaan dalam mentadbir rakyat dengan cara yang baik, serta rupa paras yang indah. (Lihat Syarh al-Misykah, 10/3144)

Justeru, jelaslah di sini, orang yang ada potensi dan baik sebelum Islam, apabila memeluk Islam juga berada pada tempatnya yang sesuai. Itulah yang berlaku kepada Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Saidina Ali, Saidina Uthman, Abu Ubaidah al-Jarrah, Khalid al-Walid dan ramai lagi.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”