Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada dengar kisah kota Bait al-Maqdis dapat dibuka di zaman Salahuddin al-Ayyubi untuk kali kedua sekitar tahun 483 Hijrah. Boleh ceritakan kepada kami?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

إِذَا جَاءَ نَصْرُ اللَّهِ وَالْفَتْحُ (1) وَرَأَيْتَ النَّاسَ يَدْخُلُونَ فِي دِينِ اللَّهِ أَفْوَاجًا (2) فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَاسْتَغْفِرْهُ ۚ إِنَّهُ كَانَ تَوَّابًا (3

Maksudnya: Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah), – Dan engkau melihat manusia masuk dalam ugama Allah beramai-ramai, – Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat.

(Surah al-Nasr: 1-3)

Syeikh al-Sa’di berkata: Dalam surah yang mulia ini, terdapat khabar gembira berserta perintah kepada Rasul-Nya ketika khabar gembira itu menjadi kenyataan. Selain itu, surah ini juga mengandungi isyarat serta peringatan berkaitan beberapa perkara yang timbul daripadanya. Khabar gembira yang dimaksudkan ialah pertolongan Allah kepada Rasul-Nya, pembukaan Kota Makkah, serta masuknya manusia ke dalam agama Allah secara beramai-ramai. Ini kerana kebanyakan daripada mereka akhirnya memeluk Islam dan menjadi pendokong perjuangan baginda, setelah sebelum ini mereka menentangnya. Segala khabar gembira yang disampaikan ini benar-benar terjadi. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 942)

Setelah selesai melaksanakan langkah awal untuk pembukaan Bait al-Maqdis termasuk pengepungan Bait al-Maqdis dan usaha menyekat pasukan bantuan dengan menundukkan terlebih dahulu daerah-daerah sekitarnya, maka Salahuddin mula merancang strategi untuk membuka Bait al-Maqdis.

Dalam misi membuka Bait al-Maqdis, Salahuddin al-Ayyubi menggunakan strategi pengepungan. Beliau menggerakkan seluruh pasukan Islam untuk ikut bergabung dan mengepung Bait al-Maqdis bagi membebaskannya. Disebabkan itu, beliau telah mengarahkan untuk menyebarkan hasrat tersebut kepada seluruh umat Islam. Ibn Kathir menyebut: Ketika umat Islam mendengar berita-berita kemenangan Salahuddin al-Ayyubi dan hasrat beliau untuk meneruskan jihadnya ke Bait al-Maqdis, maka ramai dari kalangan ulama’ dan orang-orang soleh dari seluruh penjuru dunia ikut bergabung dalam barisan jihad tersebut secara sukarela. (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 12/394)

Setelah itu, Salahuddin al-Ayyubi mula menggerakkan tentera laut yang berada di Mesir untuk memaksimumkan pengepungan serta memutuskan laluan kapal-kapal tentera pasukan Salib yang datang untuk memberi bantuan kepada pasukan mereka di Bait al-Maqdis. Beliau juga membawa pelbagai alat dan peralatan tempur bagi tujuan meruntuhkan benteng dan tembok pasukan Salib. Antara peralatan tersebut ialah pelontar batu, minyak, pemotong batu, alat-alat dan peralatan lain bagi menghancurkan dan melubangkan tembok yang telah diperkukuh oleh pasukan Salib itu. (Lihat  Salahuddin al-Ayyubi wa Wujuduhu fi Qadha’ ‘ala al-Daulah al-Fatimiyyah wa Tahrir Bait al-Maqdis oleh ‘Ali Muhammad al-Salabi, hlm. 472)

Pelbagai pihak juga turut dilibatkan selain pasukan tentera, seperti jurutera dan para ulama’ dari Syam dan Mesir. Dengan keberadaan jurutera tersebut, Salahuddin berjaya menemui titik paling lemah dari tembok Bait al-Maqdis dan menempatkan alat-alat berat sesuai pada tempatnya. Manakala dengan kewujudan para ulama, Salahuddin berjaya membangkitkan semangat juang tentera Islam. (Lihat al-Jaisy al-Ayyubi fi ‘Ahdi Salahuddin oleh Muhsin Muhammad Husain, hlm. 102)

Dengan perencanaan taktik dan strategi inilah, maka pembebasan Bait al-Maqdis berjaya dilakukan oleh Salahuddin al-Ayyubi.

Pembukaan Bait al-Maqdis

Pada kemuncaknya, iaitu pada Ahad, 15 Rejab 583 H, Salahuddin bergerak bersama pasukan tenteranya ke Kota Baitul Maqdis dalam misi besar membebaskannya. Setelah itu, berlakulah pertempuran yang amat sengit, yang mengakibatkan ramai tentera Islam syahid.

Salahuddin al-Ayyubi kemudian memutuskan untuk meningkatkan serangan terhadap tembok kota. Tembakan panah pun terus dilancarkan oleh barisan penyerang, kadar lontaran batu ditambah dan para tentera terus cuba maju untuk melewati parit bagi menghancurkan tembok-tembok penghalang. (Lihat  Salahuddin al-Ayyubi wa Wujuduhu fi Qadha’ ‘ala al-Daulah al-Fatimiyyah wa Tahrir Bait al-Maqdis oleh ‘Ali Muhammad al-Salabi, hlm. 472)

Disebabkan dahsyatnya gempuran pasukan Salahuddin dan sudah tidak ada lagi harapan bagi pasukan Salib untuk mencapai kemenangan, lalu mereka segera meminta jaminan keamanan daripada Salahuddin al-Ayyubi, dan sebagai gantinya, mereka akan menyerahkan Bait al-Maqdis kepada Salahuddin al-Ayyubi.

Selepas melakukan perundingan dengan para penasihatnya, Salahuddin al-Ayyubi pun menerima permohonan mereka dengan berlandaskan beberapa syarat, antaranya:

  • Mereka dipersilakan untuk meninggalkan Bait al-Maqdis dalam tempoh 40 hari.
  • Mereka hendaklah membayar tebusan, iaitu 10 dinar bagi lelaki dan 5 dinar bagi perempuan. Manakala, kanak-kanak lelaki dan perempuan adalah sebanyak 2 dinar.
  • Sesiapa yang tidak mampu menebus dirinya, maka dia akan menjadi hamba. (Lihat Salahuddin al-Ayyubi wa Wujuduhu oleh ‘Ali Muhammad al-Salabi, hlm. 475)

Selain itu, ditetapkan bahawa untuk fakir miskin keseluruhannya dikenakan 30,000 dinar Mesir. Setelah penebusan dilakukan, terkumpul jumlah yang besar iaitu sebanyak 300 000 dinar.

Akhirnya pada tanggal yang akan terus dikenang dalam sejarah, pada 27 Rejab 583 Hijrah, al-Quds telah diserahkan kepada pasukan tentera Islam. Hal ini berlaku selepas pengepungan dan serangan yang dilancarkan selama 12 hari. Pemerintah baru kota Bait al-Maqdis, iaitu Balian yang terlibat dalam penyerahan kota itu. Dengan jatuhnya Bait al-Maqdis, maka sebahagian besar daerah-daerah tentera Salib di wilayah Syam juga ikut jatuh. (Lihat al-Jaisy al-Ayyubi fi ‘Ahdi Salahuddin oleh Muhsin Muhammad Husain, hlm. 475)

Pembersihan secara menyeluruh lantas dilakukan ke atas Masjidil Aqsa. Pada 4 Syaaban 583 Hijrah, keseluruhan Masjidil Aqsa telah berjaya dibersihkan dan solat Jumaat pertama telah dilakukan setelah sekian lama ia berada di bawah pasukan Salib.

Salahuddin al-Ayyubi berhasrat untuk mengembalikan kota Bait al-Maqdis sepertimana sebelum dikuasai oleh orang-orang Salib. Beliau pun mengarahkan agar bangunan tersebut dikembalikan seperti dahulu dan menyuruh supaya masjid dan batu Sakhrah dibersihkan daripada kotoran dan najis. (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 12/296) Lalu kemudian, beliau meletakkan minbar Nuruddin Mahmud pada kedudukan minbar yang lama, dan melantik seorang imam tetap bagi Masjid al-Aqsa. Beliau juga mengarahkan supaya lukisan-lukisan Kristian dihapuskan, manakala patung-patung yang berada di sekitar Masjid al-Aqsa dilenyapkan. (Lihat  Salahuddin al-Ayyubi wa Wujuduhu oleh ‘Ali Muhammad al-Salabi, hlm. 476)

Sikap yang ditunjukkan Salahuddin al-Ayyubi menjadikan penduduk yang bukan beragama Islam di situ kagum terhadapnya. Hal ini kerana, beliau tidak sekadar menghormati simbol-simbol bagi agama Islam, malah beliau juga sangat menghormati simbol bagi agama Kristian. Hal ini jelas, apabila beliau tidak menghancurkan gereja dan peninggalan-peninggalan Kristian yang lain, sepertimana juga yang dilakukan oleh Khalifah Umar bin al-Khattab ketika melakukan pembukaan Bait al-Maqdis buat kali pertama pada zaman pemerintahannya. (Lihat  Salahuddin al-Ayyubi wa Wujuduhu oleh ‘Ali Muhammad al-Salabi, hlm. 478)

Semoga Bait al-Maqdis dapat dibuka untuk kali ketiganya. Amin. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir.” 33