Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa beza antara seorang muslih dan seorang mujaddid?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

إِنَّا أَرْسَلْنَاكَ بِالْحَقِّ بَشِيرًا وَنَذِيرًا ۚ وَإِن مِّنْ أُمَّةٍ إِلَّا خَلَا فِيهَا نَذِيرٌ ‎

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami mengutusmu dengan (Ugama) yang benar, sebagai pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar); dan tidak ada, sesuatu umat pun melainkan telah ada dalam kalangannya dahulu seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran.”

(Surah Fatir: 24)

Al-Syaukani berkata: Firman Allah, ‘وَإِن مِّنْ أُمَّةٍ إِلَّا خَلَا فِيهَا نَذِيرٌ ‎’, yakni tidak ada umat terdahulu kecuali telah ada Nabi yang memberi peringatan kepada mereka. (Lihat Fath al-Qadir, 3/252)

Menurut Ibn Manzur, perkataan tajdid adalah kalimah Arab yang berasal daripada perkataan jaddada dan yujaddidu. Tajdid bermaksud sebagai sayyarahu jadidan iaitu menjadikannya baru atau bernafas baru. (Lihat Lisan al-‘Arab, 3/111).

Makna al-Tajdid dari segi bahasa berkisar pada menghidupkan (الإِحْيَاء), membangkitkan (البعْثُ) dan mengembalikan (الإِعَادَةُ). Makna-makna ini memberikan gambaran tentang tiga unsur iaitu keberadaan sesuatu (وُجُوْد كَوْنِيَة) kemudian hancur atau hilang (بَلَى أو دُرُوْس) kemudian dihidupkan dan dikembalikan (الإِحْيَاء أو الإعَادَة). (Lihat Mafhum Tajdid al-Din, hlm. 18)

Dr. Yusuf al-Qaradhawi pula menyebut, mentajdid sesuatu bererti upaya mengembalikannya kepada keadaan asal sehingga ia tampil seakan-akan barang yang baharu. Ini dilakukan dengan cara memperkukuh sesuatu yang lemah, memperbaiki sesuatu yang usang dan menampal sesuatu yang retak sehingga kembali mendekati bentuknya yang pertama. Dengan kata lain, tajdid tidak bererti meruntuhkan binaan yang pertama atau menggantikannya dengan yang baharu. Usaha mentajdid agama, bukan bermakna mengubah agama tetapi mengembalikannya menjadi seperti dalam era Rasulullah SAW, para sahabat dan tabi‘in. (Lihat Min Ajli Sahwah Rasyidah Tujaddidu al-Din wa Tanhadhu bi al-Dunya, hlm. 30-31).

Perkataan tajdid juga difahami sebagai satu usaha menghidupkan kembali peninggalan agama yang hilang dan menghidupkan sesuatu yang lenyap daripada ajaran agama. Ia membaiki ciptaan yang merosakkan dalam agama dan keadaan-keadaan buruk serta mengembalikan manusia ke landasan agama yang selamat. (Lihat Tarikh al-Da‘wah ila Allah baina al-Ams wa al-Yaum oleh Adam Abdullah al-Aluri, hlm. 219)

Kemunculan mujaddid dalam dunia Islam ada disebut dalam hadith Rasulullah SAW seperti mana berikut:

إِنَّ اللَّهَ يَبْعَثُ لِهَذِهِ الأُمَّةِ عَلَى رَأْسِ كُلِّ مِائَةِ سَنَةٍ مَنْ يُجَدِّدُ لَهَا دِينَهَا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah akan membangkitkan bagi umat ini pada awal setiap seratus tahun orang yang mentajdidkan bagi (umat)nya, agamanya.

Riwayat Abu Daud (4291)

Erti “memperbaharui (urusan) agama” adalah menghidupkan kembali dan menyerukan pengamalan ajaran Islam yang bersumber dari petunjuk al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW yang telah ditinggalkan manusia, iaitu dengan menyebarkan ilmu yang benar, mengajak manusia kepada tauhid dan sunnah Rasulullah SAW, serta mengingatkan mereka untuk menjauhi perbuatan syirik dan bidaah. (Lihat ‘Aun al-Ma‘bud, 11/260)

Imam Ahmad bin Hanbal berkata: “Diriwayatkan dalam hadith ini bahawa Allah akan bangkitkan pada permulaan seratus tahun orang yang mentajdidkan umat ini dari segi agamanya dan kami dapati pada seratus tahun yang pertama ini ialah Umar bin ‘Abd al-‘Aziz. (Lihat Umar ‘Abd al-‘Aziz, hlm. 100)

Ibnu Kathir menyebutkan, hadith ini meliputi setiap individu pada masa kini yang melaksanakan fardhu kifayah iaitu dengan menunaikan amanah ilmu. (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 9/303)

Begitu juga al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyatakan, tidak semestinya setiap seratus tahun itu akan muncul seorang sahaja reformis, kemungkinan perkara tersebut dilakukan secara berkumpulan. (Lihat Fath al-Bari, 13/295).

Imam al-Zahabi pula berkata: “Aku berpendapat lafaz ‘man’ di dalam hadith tersebut menunjukkan jamak dan bukannya mufrad.” (Lihat Tarikh al-Islam, 7/99).

Menurut Dr. Yusuf al-Qaradhawi, hadith di atas bertujuan membangkitkan rasa optimis pada jiwa kaum Muslimin dan mengingatkan umat Islam bahawa agama Islam tidak akan mati, dan setiap masa tertentu Allah SWT akan mengutus orang yang mampu melakukan tajdid dan Islah terhadap agama. (Lihat Min Ajli Sahwah Rasyidah Tujaddidu al-Din wa Tanhadhu bi al-Dunya, hlm. 11).

Antara pengertian tajdid juga termasuklah:

  • Mengajarkan agama, menghidupkan sunnah-sunnah serta menolak pendustaan atas nama Nabi SAW.
  • Memurnikan agama, membela aqidah yang benar, menjelaskan Sunnah Nabi SAW, membela ahlussunnah serta menghancurkan kebid’ahan.
  • Menghidupkan kembali ma’alim(syiar) agama yang telah melemah dan menghilang. Juga menghidupkan semua sunnah, ilmu aqidah dan ibadah yang mula dilupakan atau bahkan telah dilupakan oleh ramai kaum Muslimin.
  • Menghidupkan ilmu (ihya’ al-‘ilm).
  • Membangkitkan kembali upaya mengamalkan al-Quran dan Sunnah Nabi SAW dalam seluruh aspek kehidupan dan mengukur berbagai hal yang baru dengan al-Quran dan sunnah Nabi SAW.
  • Ta’sil al-‘ilm (membuat kaedah-kaedah dasar ilmu yang benar) dan mengajak orang untuk mengambil agamanya dari sumber yang asli melalui para ulama disertai dengan mendidik manusia di atas pemahaman agama yang benar. (LihatTajdid ad-Din, Mafhum wa Dhawabit wa Atharahu oleh Prof. Dr. Muhammad bin ‘Abd al-‘Aziz al-Ali, hlm 40-49).

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”