Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, benarkah bersiul itu memanggil syaitan dan adakah terdapat dalil khusus tentang amalan tersebut? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Definisi Bersiul
Menurut Kamus Dewan Edisi ke-4, bersiul ialah membunyikan suara seperti bunyi seruling dengan menggunakan mulut.
Manakala, di dalam bahasa Arab ia disebut sebagai صفر”” (Lihat Lisan al-‘Arab, 8/ 250).
Hukum Bersiul
Allah SWT telah menyatakan dengan jelas bahawa antara tatacara ibadah yang dilaksanankan oleh Musyrikin Mekah ialah dengan cara bersiul dan bertepuk tangan:
وَمَا كَانَ صَلَاتُهُمْ عِنْدَ الْبَيْتِ إِلَّا مُكَاءً وَتَصْدِيَةً فَذُوقُوا الْعَذَابَ بِمَا كُنْتُمْ تَكْفُرُونَ
Maksudnya: “Dan tiadalah sembahyang mereka di sisi Baitullah itu melainkan bersiul-siul dan bertepuk tangan. Oleh itu rasalah kamu (wahai orang kafir) akan azab seksa dengan sebab kekufuran kamu.”
(Surah al-Anfal:35)
Menurut Imam al-Jassas, siulan dan bertepuk tangan dinamakan solat bagi mereka, kerana kedua-duanya dilakukan sebagai pengganti kepada doa dan tasbih. Dan dikatakan juga bahawa mereka bertepuk tangan dan bersiul sewaktu sedang beribadah. (Lihat Ahkam al-Qur’an, 3/76)
Maka dapat difahami bahawa, bersiul dan bertepuk tangan sewaktu beribadah merupakan satu perbuatan yang haram kerana menyerupai perbuatan orang kafir Quraisy. Adapun bersiul di luar ibadah, seperti nyanyian, gurauan dan seumpamanya, maka para ulama telah menyatakan pandangan mereka seperti berikut:
- Bersiul adalah dilarang. Ini merupakan pandangan ulama al-Lajnah al-Da’imah bahawa bersiul itu dilarang kerana ia merupakan tradisi kaum jahiliyyah dan akhlak yang buruk. (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Daimah, 26/390). Dan diriwayatkan juga daripada Ibn ‘Abbas, bahawa bersiul merupakan antara akhlak kaum Nabi Lut A.S. (Lihat Tafsir Ibn Kathir 6/276)
- Bersiul hukumnya makruh. Ia dinyatakan oleh Ibn Muflih yang menukilkan pandangan daripada Syeikh Abd al-Qadir (Lihat al-Adab al-Syar’iyyah, 3/375). Ini juga pandangan Syeikh Ibn ‘Uthaimin yang menyatakan beliau tidak suka akan perbuatan bersiul dan menyebutnya sebagai makruh zatiyyah bukan makruh dari sudut syarak. Namun beliau sendiri mengakui bahawa beliau tidak mempunyai dalil yang jelas untuk menyokong pandangannya ini. (Lihat Liqa’at Bab al-Maftuh, 4/119)
- Bersiul hukumnya diharuskan. Ini merupakan kefahaman daripada pandangan-pandangan para ulama tafsir seperti Muhammad al-Amin al-Syanqiti dan Muhammad al-Tohir ibn ‘Asyur yang mengikat celaan Allah SWT terhadap siulan kaum kafir Quraisy atas sebab niat mereka untuk menghalang umat Islam daripada solat dan membaca al-Qur’an dengan cara bersiul di Masjid al-Haram. (Lihat Adhwa’ al-Bayan, 2/162 dan Al-Tahrir wa al-Tanwir, 9/339)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas, kami tidak mendapati mana-mana dalil yang menyatakan secara jelas bahawa bersiul itu adalah memanggil syaitan. Anggota Majma‘ al-Buhuth al-Islamiyyah al-Azhar al-Syarif menegaskan bahawa tiada dalil syar‘i yang menyatakan bahawa bersiul boleh memanggil syaitan. Beliau menasihatkan bahawa adalah lebih baik bagi seorang Muslim, sama ada ketika bersendirian atau dalam kumpulan, untuk menjaga lisannya daripada bersiul agar tidak terbiasa dengannya, kerana ia tidak membawa manfaat dan tidak sesuai dengan disiplin akhlak yang baik.
Bekas Setiausaha Agung Majlis Tertinggi Hal Ehwal Islam juga menjelaskan bahawa bersiul dan berbicara tanpa sebab ketika membuang hajat di dalam tandas adalah perbuatan yang makruh. Kemakruhannya menjadi lebih kuat jika kedua-dua perbuatan itu dilakukan secara serentak.[1]
Namun, sebagaimana yang diketahui, bersiul merupakan amalan yang sering dilakukan oleh golongan jahiliyyah dalam ibadah mereka yang menyimpang, dan perbuatan ini tidak sepatutnya ditiru atau diikuti oleh umat Islam. Hal ini kerana bersiul tidak mencerminkan akhlak yang diajarkan dalam Islam. Allah SWT berfirman:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ وَمَن يَتَّبِعْ خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ فَإِنَّهُ يَأْمُرُ بِالْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ ۚ وَلَوْلَا فَضْلُ اللَّهِ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَتُهُ مَا زَكَىٰ مِنكُم مِّنْ أَحَدٍ أَبَدًا وَلَٰكِنَّ اللَّهَ يُزَكِّي مَن يَشَاءُ ۗ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; dan sesiapa yang menurut jejak langkah Syaitan, maka sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menyuruh (pengikut-pengikutnya) melakukan perkara yang keji dan perbuatan yang mungkar. Dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu, nescaya tidak ada seorang pun di antara kamu menjadi bersih dari dosanya selama-lamanya; akan tetapi Allah membersihkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan (ingatlah Allah Maha Mendengar) lagi Maha Mengetahui ”
(Surah al-Nur:21)
Syeikh al-Sa‘di mengatakan, di antara hikmah Allah dalam menerangkan hukum ini adalah, larangan untuk mengikuti langkah-langkah syaitan dan penjelasan mengenai perkara-perkara yang dilarang daripada perbuatan-perbuatan yang buruk lagi keji. Yang dimaksudkan dengan perbuatan keji itu adalah segala perbuatan yang dianggap keji oleh akal dan syariat seperti dosa-dosa besar disertai adanya kecenderungan hati kepadanya. Manakala perkara-perkara yang mungkar pula ialah segala yang diingkari oleh akal dan tidak diterima sebagai perbuatan yang baik.
Oleh yang demikian, perbuatan-perbuatan maksiat yang juga merupakan langkah-langkah syaitan, ia tidak terkeluar dari lingkungan perkara-perkara yang mungkar. Maka Allah melarang hamba-Nya dari hal tersebut sebagai tanda mensyukuri nikmat dan mengingat-Nya. Hal ini kerana yang demikian bagi menjaga serta memelihara mereka dari kekotoran, kehinaan, dan perbuatan-perbuatan yang keji.
Termasuk dari ihsan Allah SWT ke atas mereka, adalah melarang mereka dari semua perkara-perkara yang keji sebagaimana Allah melarang mereka dari makan racun-racun pembunuh dan seumpamanya. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 563)
Kesimpulan
Tidak terdapat dalil yang secara jelas menyatakan bahawa bersiul adalah perbuatan yang memanggil syaitan. Namun, ia tidak sepatutnya menjadi kebiasaan bagi seorang Muslim kerana bersiul pernah menjadi sebahagian daripada amalan golongan jahiliyyah dalam ibadah mereka yang menyimpang. Walaupun tidak diharamkan secara mutlak, perbuatan ini tidak selaras dengan adab Islam, terutamanya jika dilakukan dalam keadaan yang menyerupai amalan golongan sesat atau bertentangan dengan nilai kesopanan yang dianjurkan oleh syariat. Islam menekankan kepentingan menjaga adab dalam pertuturan dan tingkah laku, serta mendorong umatnya untuk mengisi masa dengan perkara yang lebih bermanfaat seperti berzikir, berdoa, dan melakukan amalan yang mendekatkan diri kepada Allah SWT. Oleh itu, seorang Muslim hendaklah mengutamakan perbuatan yang berfaedah dan menjauhi segala yang tidak membawa kebaikan, kerana setiap perbuatan mencerminkan akhlak dan tahap keimanannya.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami, kurniakanlah kepada kami di dunia dengan kebaikan dan di akhirat dengan kebaikan. Dan selamatkanlah kami dari azab Neraka.”
Wallahu a‘lam
[1] Lihat https://www.elbalad.news/1902096 Diakses pada 30 Januari 2025