Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan berkenaan rukun solat Qiyam?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَمِنَ اللَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِ نَافِلَةً لَّكَ عَسَىٰ أَن يَبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَّحْمُودًا
Maksudnya: Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah (sembahyang tahajjud) padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.
(Surah al-Isra’: 79)
Salah satu rukun solat ialah qiyam. Disebut dalam al-Fiqh al-Manhaji (1/283-284):
Berdiri Sekiranya Mampu Ketika Solat Fardhu: Wajib berdiri bagi mereka yang mampu melakukannya.[1] Hal ini berdasarkan hadith, daripada Imran bin Husain RA katanya, aku menghidap penyakit buasir lalu aku bertanya kepada Rasulullah SAW tentang solat. Baginda bersabda:
صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ
Maksudnya: “Bersolatlah secara berdiri, jika tidak mampu lakukanlah secara duduk dan jika tidak mampu juga lakukanlah secara mengiring.”
Riwayat al-Bukhari (1066)
Seseorang itu dianggap berdiri apabila dia berdiri tegak.[2] Sekiranya dia membongkok tanpa sebab yang dimaafkan (عُذرٌ) hingga tapak tangannya menyentuh lutut, solatnya batal disebabkan tiada rukun berdiri pada satu bahagian solat tersebut.
Orang yang mampu berdiri pada sebahagian solatnya dan tidak berdaya pada sebahagian yang lain, hendaklah berdiri setakat yang termampu dan bolehlah duduk pada semua bahagian yang lainnya.
Berdiri bagi yang mampu hanya wajib pada solat fardhu, manakala solat sunat boleh dilakukan secara duduk sama ada seseorang itu mampu berdiri atau pun tidak kerana hukum berdiri pada semua solat tersebut hanya sunat. Hal ini berdasarkan hadith, Nabi SAW bersabda:
من صَلَّى قَائِمًا فهو أَفْضَل ومَنْ صَلَّى قَاعِدًا فَلَهُ نِصْفُ أَجْرِ الْقَائِمِ، وَمَنْ صَلَّى نَائِمًا فَلَهُ نِصْفُ أَجْرِ الْقَاعِدِ
Maksudnya: “Sesiapa yang bersolat secara berdiri itulah yang afdhal, dan sesiapa yang bersolat secara duduk dia mendapat separuh pahala solat berdiri dan sesiapa yang bersolat secara mengiring dia mendapat separuh pahala solat duduk.”
Riwayat al-Bukhari (1065)
Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”
[1] Sepakat Ulama dan Fuqaha bahawa qiyam adalah rukun dalam solat fardu bagi mereka yang mampu. Ia berdasarkan nas al-Quran dan al-Hadith. Lihat al-Mausu`ah al-Fiqhiyyah (34/106-107)
[2] Sepakat Fuqaha dikehendaki dengan qiyam yang dituntut oleh Syarak dalam solat ialah berdiri secara tegak dan tidak mengapa jika sedikit condong yang tidak sampai kepada tahap sama seperti rukuk sekira-kira jika dia menjulur tapak tangannya tidak sampai ke lutut. Lihat al-Durr al-Mukhtar (1/414); Hasyiah al-Dusuki (1/231); Nihayah al-Muhtaj (1/347); Mughni al-Muhtaj (1/153); dan al-Mughni (1/463).