Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah kedudukan dan kepentingan solat dalam kehidupan seharian?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Peri pentingnya solat dapat dilihat melalui banyak nas dari al-Quran mahupun al-Sunnah. Antaranya, firman Allah Taala:
وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ وَارْكَعُوا مَعَ الرَّاكِعِينَ
Maksudnya: Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.
(Surah al-Baqarah: 43)
Firman Allah SWT lagi:
إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَّوْقُوتًا
Maksudnya: Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.
(Surah al-Nisa’: 103)
Kedua-dua ayat di atas merupakan antara dalil-dalil pensyariatan solat ke atas setiap orang Islam di atas muka bumi ini. Menunaikan solat merupakan kewajipan dan juga fardhu ‘ain ke atas semua orang Islam yang mukallaf iaitu individu muslim yang baligh berakal dan suci bersih. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/3)
Begitu juga firman Allah SWT:
فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَكُن مِّنَ السَّاجِدِينَ
Maksudnya: “Oleh itu, bertasbihlah engkau dengan memuji Tuhanmu, serta jadilah dari orang-orang yang sujud.”
(Surah al-Hijr: 98)
Syeikh al-Sa’di menyatakan bahawa: Perbanyakkanlah dengan menyebut nama Allah, memuji-Nya, dan bersolat, kerana itu akan melapangkan hati serta membantu dalam segala urusan. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman,hlm.435)
Berdasarkan sebuah riwayat daripada Abdullah Ibn Umar R.Anhuma beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ وَإِقَامِ الصَّلاَةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَحَجِّ الْبَيْتِ وَصَوْمِ رَمَضَانَ
Maksudnya: “Dibina Islam itu di atas lima iaitu kalimah La Ilaaha IllaLlaah dan sesungguhnya Muhammad itu adalah hamba dan Rasul-Nya, dan mendirikan solat, menunaikan zakat, menunaikan haji di baitullah, serta berpuasa pada bulan Ramadhan.”
Riwayat Muslim (16)
Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa: Hukum Islam secara zahirnya disahkan dengan dua syahadah, namun solat dan perkara seumpamanya ditambah kerana ia merupakan syiar Islam. Dengan mendirikannya, seseorang itu telah menyempurnakan keislamannya, dan dengan meninggalkannya akan merasakan terputusnya hubungannya atau ketidaksempurnaan dirinya. Jika dikatakan bahawa bangunan itu mestilah sesuatu yang berbeza daripada bangunan yang dibangunkan atasnya, aku katakan: Islam itu adalah keseluruhan dan keseluruhan bukanlah hanya satu daripada tiang-tiangnya. (Lihat Mir’ah al-Mafatih Syarh Misykah al-Masabih,1/45)
Dalil-dalil di atas juga mengisyaratkan bahawa kewajipan solat itu memiliki rukun-rukun dan kaifiyyat yang tersendiri yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW sebagai pedoman bagi umatnya. Rukun-rukun ini wajib dilaksanakan dengan betul agar menepati kehendak Allah SWT seperti mana yang telah diwahyukan kepada Nabi-Nya. Pun begitu, Syarak tidak menurunkan syariat melainkan mengikut kadar kemampuan manusia dan manusia dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan ibadat sesuai dengan kemampuan dirinya. Allah SWT berfirman:
فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ
Maksudnya: Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu.
(Surah al-Taghabun: 16)
Al-Sa‘di menyebutkan dalam tafsirnya, Taisir al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al-Mannan(1/868), bahawa Allah SWT memerintahkan para hamba-Nya untuk bertaqwa kepada-Nya iaitu dengan mematuhi segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Oleh itu, ayat ini menunjukkan bahawa segala kewajipan yang tidak mampu dilakukan oleh seorang hamba akan gugur daripadanya. Begitu juga, jika seorang hamba itu mampu menunaikan sebahagian kewajipan dan tidak mampu pada sebahagian kewajipan yang lain, maka hendalah dia menunaikan kewajipan tersebut mengikut kadar kemampuannya dan tergugur daripadanya apa yang dia tidak mampu sebagaimana sabda Nabi SAW:
وَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ
Maksudnya: “Apabila aku memerintahkan kamu dengan sesuatu, maka lakukanlah ia mengikut kemampuan kamu.”
Riwayat al-Bukhari (7288)
Solat merupakan santapan bagi akidah dan keimanan kepada Allah SWT yang berterusan dalam hati manusia. Segala pesona dunia dan bisikan syaitan sememangnya menjadikan manusia lupa kepada akidahnya walaupun telah lama terterap di dalam hatinya, kealpaan yang berterusan kerana mengikut gelora nafsu dan rakan-rakan akhirnya akan berubah menjadi ingkar. Ia umpama pokok yang kehabisan air, lambat laun akan layu dan mati kering kemudian menjadi kayu api. Tetapi solat yang dilakukan secara sempurna dan tekun oleh seseorang Muslim akan menjadi santapan iman dan tidak mampu dilemahkan atau dimusnahkan oleh segala pancaroba dunia. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/241)
Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”