Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, rahsia ayat Allah SWT dan ibaratnya seperti dalam surah al-Hijr ayat 49-50?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
نَبِّئْ عِبَادِي أَنِّي أَنَا الْغَفُورُ الرَّحِيمُ ﴿٤٩﴾ وَأَنَّ عَذَابِي هُوَ الْعَذَابُ الْأَلِيمُ
Maksudnya: “Khabarkanlah kepada hamba-hambaKu (wahai Muhammad), bahawa Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani (bagi mereka yang bertaubat dan beramal soleh). Dan bahawa azabKu, ialah azab yang tidak terperi sakitnya, (bagi mereka yang tetap dalam kederhakaannya).”
(Surah al-Hijr: 49-50)
Ibn Kathir berkata: Firman Allah: “Khabarkanlah kepada hamba-hamba-Ku bahawa sesungguhnya Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang, dan bahawa sesungguhnya azab-Ku adalah azab yang amat pedih.” Maksudnya, wahai Muhammad, sampaikanlah kepada hamba-hamba-Ku bahawa Aku adalah Tuhan yang memiliki rahmat yang luas, namun Aku juga memiliki azab yang amat pedih bagi mereka yang mengingkari-Ku. Ayat yang mulia ini telah dijelaskan sebelum ini, dan ia mengandungi dua kedudukan penting, iaitu harapan kepada rahmat Allah dan ketakutan terhadap azab-Nya. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 4/284)
Al-Syaukani berkata: Firman Allah SWT: “Beritahulah kepada hamba-hamba-Ku bahawa sesungguhnya Aku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” Yakni, wahai Muhammad, sampaikanlah kepada mereka bahawa Aku memiliki keampunan yang luas atas dosa-dosa mereka serta kasih sayang yang melimpah ke atas mereka. (Lihat Fath al-Qadir, 3/281)
Syeikh Abu Bakar Jabir al-Jaza’iri berkata: Allah SWT berfirman: ‘(نَبِّئۡ عِبَادِيٓ أَنِّيٓ أَنَا ٱلۡغَفُورُ ٱلرَّحِيمُ)’ “Sampaikanlah kepada hamba-hamba-Ku bahawa Aku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” Maksudnya, wahai Rasul Kami, sampaikanlah kepada hamba-hamba Kami yang beriman dan bertauhid bahawa Tuhan mereka Maha Pengampun terhadap dosa-dosa mereka, sekiranya mereka bertaubat dan kembali kepada-Nya. Dia juga Maha Penyayang kepada mereka dan tidak akan menyeksa mereka tanpa sebab yang adil.
Imam al-Nawawi apabila membaca ayat ini dan merenungnya, dia menangis dan bersyukur kepada Allah, lantas ditanya kenapa. Katanya: Allah SWT menggunakan nama-Nya dan sifat-Nya apabila menerangkan sifat keampunan dan rahmat (أَنَا الْغَفُورُ الرَّحِيمُ). Tetapi, sebaliknya apabila menyebut tentang azab-Nya, maka Dia menjadikan azab itu sebagai makhluk-Nya dan tidak menisbahkan kepada nama-Nya seperti al-mu’azzib (yang mengazabkannya). Subhanallah. Itulah kasih sayang dan rahmat Allah kepada kita semua.
Antara pengajaran daripada ayat ini ialah janji Allah SWT untuk mengampuni dosa hamba-hamba-Nya yang bertaubat dengan ikhlas, khususnya dalam kalangan orang beriman, bertakwa, dan bertauhid.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada seksa kubur, daripada azab api neraka, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada fitnah al-Masih al-Dajjal.”