Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah hukum ketidakjujuran dalam menyenaraikan ahli waris (sorok ahli waris yang sedia ada) dan apakah implikasinya. Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَخُونُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ وَتَخُونُوا أَمَانَاتِكُمْ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui.”
(Surah al-Anfal: 27)
Al-Alusi berkata dalam Ruh al-Ma`ani: “Asal khianat ialah kekurangan sebagaimana asal menunaikan janji dengan kesempurnaan. Ianya berlawanan dengan maksud amanah. Dikehendaki di sini ialah tidak beramal dengan apa yang disuruh oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW.” (Lihat Ruh al-Ma’ani,4/182)
Kami katakan, ilmu faraidh pada syarak bermaksud pengetahuan mendalam tentang pusaka dan ilmu kira-kira yang membolehkan kita mengetahui bahagian pusaka yang berhak diterima oleh orang-orang yang berhak. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/273)
Hukum pusaka ini telah disyariatkan dalam Islam dan telah dinaskan oleh al-Quran, al-Sunnah serta ijma’ ulama’. Orang-orang yang mengingkari pensyariatan hukum pusaka adalah kafir dan keluar daripada Islam. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ مِمَّا قَلَّ مِنْهُ أَوْ كَثُرَ ۚ نَصِيبًا مَّفْرُوضًا
Maksudnya: “Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).”
(Surah al-Nisa’: 7)
Menurut al-Qasimi, lafaz “لِلرِّجالِ” adalah ayat di atas, adalah merujuk kepada anak-anak lelaki dan kaum kerabat. Manakala “نَصِيبٌ” pula bermaksud bahagian tertentu, daripada apa yang ditinggalkan oleh ibu bapa dan kaum kerabat yang sudah meninggal dunia. Begitulah juga bagi perempuan ada bahagian daripada apa yang ditinggalkan oleh ibu bapa dan kaum kerabat, sama ada sedikit harta atau banyak harta, “sebagai bahagian yang telah ditentukan,” iaitu bahagian yang telah dipastikan dan diwajibkan untuk mereka.
Penyebutan hukum tentang perempuan secara khusus, tanpa menggabungkannya dengan hukum lelaki dalam satu ayat, bertujuan untuk menunjukkan kepentingan urusan perempuan. Ia juga memberikan isyarat sejak awal bahawa terdapat perbezaan dalam bahagian antara lelaki dan perempuan, serta menegaskan pembatalan hukum Jahiliyyah. Pada zaman Jahiliyyah, perempuan dan anak-anak tidak diberikan warisan. Mereka berkata, “Yang mewarisi hanyalah orang yang mampu menggunakan tombak, melindungi tanah air, dan memperoleh harta rampasan.”
Ayat ini juga dijadikan dalil bagi pewarisan mereka yang mempunyai hubungan kekeluargaan (zawi al-Arham) kerana mereka termasuk dalam golongan kaum kerabat yang disebutkan. Ini adalah hujah yang kukuh, dan tiada alasan bagi sesiapa yang cuba menolaknya. (Lihat Mahasin al-Ta’wil, 3/32).
Oleh itu, ayat-ayat berkenaan pusaka di dalam al-Quran jelas mengesahkan bahawa pusaka adalah disyariatkan. Berdasarkan nas di atas, disebut kalimah مِّمَّا تَرَكَ iaitu daripada apa yang ditinggalkan oleh si mati, maka ia dianggap pusaka selama mana ia adalah termasuk dalam harta; sama ada wang ringgit, kenderaan, pakaian, rumah, dan lain-lain.
Dalam menjawab bagi persoalan di ata ketidakjujuran dalam menyenaraikan ahli waris, seperti menyembunyikan kewujudan waris yang sah, adalah satu bentuk pengkhianatan terhadap hak yang telah ditetapkan oleh syariah. Dalam konteks faraid, harta pusaka wajib dibahagikan kepada ahli waris yang berhak mengikut kadar yang telah ditentukan dalam al-Quran dan Sunnah sebagaimana sabda Baginda SAW:
أَلْحِقُوا الفَرَائِضَ بِأَهْلِهَا، فَمَا بَقِيَ فَلِأَوْلَى رَجُلٍ ذَكَرٍ
Maksudnya: “Berikanlah harta warisan kepada orang-orang yang berhak (daripada ahli waris), adapun apa yang berbaki adalah untuk pewaris lelaki yang paling hampir (dari gologan ‘asabah).”
Riwayat al-Bukhari (6737) dan Muslim (1615) dengan sedikit perbezaan lafaz.
Hadith ini bermaksud, Nabi SAW memerintahkan umatnya untuk membahagikan harta pusaka dan membahagikannya kepada mereka yang berhak menerimanya dengan pembahagian yang adil yang selari dengan perintah dan hukum Allah SWT. Oleh itu, sabda Baginda SAW, “أَلْحِقُوا الفَرَائِضَ بِأَهْلِهَا” (Berikanlah harta warisan kepada orang-orang yang berhak dari kalangan ahli waris) bermaksud memulakan pembahagian dengan ashab al-furudh yang mana bahagian mereka sudah ditentukan dalam al-Kitab, al-Sunnah dan Ijma‘ umat. Berikanlah setiap seorang daripada mereka bahagiannya yang telah ditentukan secara syarak. Kemudian, apa-apa yang lebih daripada ashab al-furudh barulah diberikan kepada golongan ‘asabah. (Lihat Manar al-Qari Syarh Mukhtasar Sahih al-Bukhari, 5/321-322).
Justeru, tindakan menyembunyikan ahli waris membawa implikasi yang serius dari sudut hukum Islam, undang-undang, dan sosial. Perbuatan ini bukan sahaja menyalahi prinsip keadilan, malah merupakan suatu kezaliman terhadap hak ahli waris yang sepatutnya mereka peroleh.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”
Wallahu a‘lam