Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh tafsir surah al-’Adiyat, daripadda ayat 1-5?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَالْعَادِيَاتِ ضَبْحًا ﴿١﴾ فَالْمُورِيَاتِ قَدْحًا ﴿٢﴾ فَالْمُغِيرَاتِ صُبْحًا ﴿٣﴾ فَأَثَرْنَ بِهِ نَقْعًا ﴿٤﴾ فَوَسَطْنَ بِهِ جَمْعًا
Maksudnya: “Demi Kuda Perang yang tangkas berlari dengan kedengaran kencang nafasnya, Serta mencetuskan api dari telapak kakinya, Dan meluru menyerbu musuh pada waktu subuh, Sehingga menghamburkan debu pada waktu itu, Lalu menggempur ketika itu di tengah-tengah kumpulan musuh.”
(Surah al-’Adiyat: 1-5)
Allah SWT membuka surah ini dengan sumpah-Nya yang mulia. Dia bersumpah dengan kuda-kuda perang yang sedang berlari dengan laju sedang dengusan nafas mereka jelas kedengaran, begitu juga Dia bersumpah dengan ciri-ciri kuda. Kuda-kuda ini bergerak dengan begitu laju sehingga terlihat percikan api di kaki mereka saat ia bergeser dengan batu di tanah. Ini adalah gambaran kepada kuda-kuda yang ditunggang oleh para mujahidin yang berjuang di jalan Allah SWT. Allah SWT memberikan perhatian khusus kepada kuda-kuda ini kerana terdapat kebaikan yang khusus pada haiwan ini yang tidak terdapat pada haiwan-haiwan yang lain. Dalam sebuah hadith daripada ‘Urwah al-Bariqi R.A, sesungguhnya Nabi SAW bersabda:
الْخَيْلُ مَعْقُودٌ فِي نَوَاصِيهَا الْخَيْرُ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ الأَجْرُ وَالْمَغْنَمُ.
Maksudnya: “Kebaikan akan kekal pada ubun-ubun kepala kuda yang digunakan dalam medan jihad sehingga hari kiamat, kerana mereka mendatangkan pahala pada hari akhirat dan juga harta rampasan perang setelah peperangan.”
Riwayat al-Bukhari (4/28)
Selain itu, kuda juga merupakan satu aset penting di dalam peperangan di sisi orang Arab pada zaman itu. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 30/370)
Allah SWT menggambarkan keadaan kuda-kuda ini pada satu masa yang khusus iaitu pada waktu subuh. Pada waktu ini, kuda-kuda ini digunakan oleh para mujahidin untuk menyerang pihak musuh saat mereka berada dalam keadaan lalai dan tidak bersedia. Sejarah Islam menunjukkan bahawa banyak peperangan berlaku pada waktu subuh dan disebabkan itu Islam memperoleh kemenangan. Ini juga merupakan satu strategi peperangan yang digambarkan oleh al-Quran, kerana pada waktu malam para tentera berada dalam kegelapan dan tidak dapat melihat apa-apa. Pada waktu siang pula, golongan musuh berada dalam keadaan bersedia untuk berperang dan serangan balas. Maka waktu yang terbaik adalah pada waktu subuh. (Lihat Jami’ al-Bayan, 16/281)
Pergerakan pantas kuda-kuda itu menghasilkan debu-debu yang berterbangan, lalu ia menuju dengan pantas ke kawasan musuh sehingga berada di pertengahan kawasan musuh; memporak-perandakan dan menghancurkan mereka. Ini adalah satu gambaran yang agung dan juga menggerunkan dalam masa yang sama. Ia adalah agung buat pihak yang menyerang dan menggerunkan bagi pihak musuh. Fenomena ini menunjukkan betapa hebat ciptaan Allah pada seekor kuda. Kekuatan dan ketangkasannya menjadi satu kemegahan buat pemiliknya. Justeru, manusia berlumba-lumba untuk memiliki kuda yang hebat untuk dijadikan sebagai satu aset buat dirinya. Al-Zuhaili mengatakan ayat-ayat ini menunjukkan kepada fadilat amalan memelihara kuda dengan tujuan melatihnya untuk berjihad pada jalan Allah dan bukannya untuk menunjuk-nunjuk dan berbangga. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 30/370)
Namun mereka yang mempunyai sifat kufur nikmat dan cintakan dunia yang melampau akan tenggelam dalam kenikmatan ini. Mereka sentiasa berusaha untuk memiliki kuda-kuda yang hebat tanpa ada sebarang niat untuk mempersediakan kuda tersebut untuk berperang di jalan Allah, walhal Allah SWT telah menjadikan kuda-kuda tersebut mempunyai kekuatan dan ketangkasan yang boleh membantu golongan mujahidin untuk memperoleh kemenangan. Golongan ini enggan mengiktiraf pemberian Allah kepada mereka sebagai satu kurniaan daripada-Nya lalu mereka enggan mensyukuri-Nya. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 7/162)
Inilah sifat manusia yang ingin diketengahkan Allah SWT di dalam surah ini iaitu sifat kufur terhadap kurniaan Allah SWT dengan tidak mengembalikan kurniaan itu kepada Allah SWT dan juga tidak menggunakan nikmat itu pada jalan-Nya. Ini adalah satu sifat yang wujud pada setiap manusia dengan kadar yang berbeza kecuali para Anbiya dan golongan solihin. Sifat ini berpunca daripada sifat penting diri dan ia adalah satu sifat yang wujud secara azali pada manusia dan hanya mereka yang sentiasa mengawasi dirinya dan ingat kepada hak orang lain lalu mampu membebaskan diri daripada sifat buruk ini. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 30/503)
Al-Zuhaili menjelaskan bahawa sikap seorang manusia terhadap nikmat Allah SWT adalah selalu mengingkarnya, enggan menerima tanggungjawab yang datang bersama nikmat tersebut iaitu syukur kepada Tuhan Pemberi Nikmat dan juga enggan tunduk terhadap tuntutan syariat dan hukum-hakam Allah. Golongan yang terkecuali daripada sikap sedemikian adalah mereka yang bergelut melawan nafsu dirinya, berfikir tentang hakikat dunia dan akhirat, lalu membawa dirinya kepada ketaatan dan kemuliaan dan menghalang dirinya daripada maksiat dan kehinaan. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 30/370)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”