Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh dato ceritakan sedikit tentang kisah seorang yang pemurah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ تَبَوَّءُوا الدَّارَ وَالْإِيمَانَ مِن قَبْلِهِمْ يُحِبُّونَ مَنْ هَاجَرَ إِلَيْهِمْ وَلَا يَجِدُونَ فِي صُدُورِهِمْ حَاجَةً مِّمَّا أُوتُوا وَيُؤْثِرُونَ عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ وَلَوْ كَانَ بِهِمْ خَصَاصَةٌ ۚ وَمَن يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.”

(Surah al-Hasyr:9)

Syeikh Abdullah al-Bassam menyatakan, perkataan al-Ithar (الإيثار) dalam ayat di atas bermaksud mendahulukan orang lain yang memerlukan berbanding dirinya sendiri, dalam keadaan mereka juga sebenarnya benar-benar berhajat kepada perkara tersebut. Ini adalah tahap yang lebih tinggi daripada mereka yang memberikan sebahagian daripada harta mereka yang mana mereka tidak memerlukan kepada harta itu ataupun tidak berada dalam keadaan darurat. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/392).

Ibn Kathir menyebutkan, ungkapan ‘خَصَاصَةٌ’ ertinya adalah hajat dan keperluan. Maksudnya, mereka lebih mendahulukan orang-orang yang memerlukan daripada hajat dan keperluan diri mereka sendiri. Mereka memulakan untuk orang lain dahulu sebelum diri mereka sendiri.

Sabit di dalam hadith, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “أفْضَلُ الصَّدقَةِ جَهْدُ المُقِلِّ” (Sebaik-baik sedekah adalah sedekah (hasil) jerih payah orang yang kekurangan). Darjat ini lebih tinggi daripada orang-orang yang bersedekah seperti yang Allah berfirman tentang mereka: “وَيُطْعِمُونَ الطَّعَامَ عَلَى حُبِّهِ” (Dan mereka memberikan makanan yang disukainya…). (Surah al-lnsan: 8) Juga firman-Nya: ‘وَآتَى الْمَالَ عَلَى حُبِّهِ’ (dan seseorang memberikan harta yang dicintainya…) (Surah al-Baqarah: 177)

Orang-orang yang memberikan harta yang mereka cintai itu, maksudnya mereka bersedekah sedangkan mereka mencintai harta yang disedekahkan itu. Terkadang mereka tidak memerlukannya, serta tidak pula dalam keadaan darurat. Adapun orang-orang yang mendahulukan orang lain daripada diri mereka sendiri, maka mereka memberikan harta mereka kepada orang lain, sedangkan mereka sendiri memerlukannya. lni adalah darjat yang lebih tinggi. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 8/71).

Kisah Hakim Bin Hizam

Hakim bin Hizam adalah sahabat Nabi SAW yang mempunyai hubungan kekeluargaan yang akrab dengan Saidatina Khadijah R.Anha. Beliau memeluk Islam agak kelewatan, tetapi dapat menebusnya dengan amalan soleh yang banyak. Antaranya, beliau suka menolong orang, beribadat dan berinfak. Bahkan, beliau banyak berinfak tanpa merasa takut akan jatuh miskin atau kekurangan harta. Inilah yang terjadi kepadanya. Beliau meninggal dunia pada zaman pemerintahan Muawiyah dan sesungguhnya beliau di antara orang Quraisy yang paling kaya sekalipun beliau banyak berinfak.

Antaranya ketika beliau melaksanakan ibadat haji, beliau telah menghadiahkan atau berinfak 1,000 ekor unta dan 1,000 ekor kambing. Ketika beliau berwukuf di Arafah, bersamanya terdapat 100 orang hamba sama ada lelaki atau perempuan pada leher-leher mereka rantai yang diperbuat daripada perak yang tertulis padanya “Mereka yang dimerdekakan oleh Allah daripada Hakim bin Hizam.”

Begitu juga, beliau selepas masuk Islam, bangunan Darul Nadwah menjadi miliknya. Lantas, dijualnya kepada Muawiyah dengan harga 100 ribu dirham dan beliau bersedekah semua duitnya tersebut. Beliau berkata, “Aku beli dengan bangunan tersebut dengan bangunan dalam syurga.

Tatkala ia dicela oleh Abdullah bin Zubair seraya berkata, “Kamu menjualnya sebagai tanda kamu bangsawan Quraisy.” Lantas jawabnya, “Wahai anak saudaraku, telah hilanglah segala kemuliaan kecuali dengan taqwa.”

Hakim bin Hizam telah membeli Zaid bin Harithah selepas ditawan dari Syam. Kemudian, beliau telah menghadiahkan Zaid bin Harithah kepada ibu saudaranya, Khadijah. Al-Zubair bin al-Awwam pernah berkata, “Islam datang dan pada tangan Hakim terdapat sekumpulan manusia di bawahnya. Beliau telah melakukan perkara yang makruf dan baik di samping memelihara hubungan silaturrahim.”

Dalam riwayat yang sahih, beliau pernah bertanya kepada Rasulullah SAW, “Perkara (kebaikan) yang aku lakukannya pada zaman jahiliyyah, adakah aku akan diberi pahala? Jawab Baginda SAW:

أَسْلَمْتَ عَلَى مَا سَلَفَ مِنْ خَيْرٍ

Maksudnya: “Engkau memeluk Islam bersama dengan pahala kebaikan yang lalu (yang telah engkau kerjakan sebelum ini).”

Riwayat al-Bukhari (5992) dan Muslim (123)

Dalam menjelaskan hadis di atas, Ibn Battal dalam Syarh Sahih al-Bukhari (9/209) menyebut: Dalam hadis ini, Allah SWT memberikan keutamaan kepada orang yang masuk Islam dari golongan Ahli Kitab dengan memberikannya pahala atas kebaikan-kebaikan yang pernah dilakukannya ketika masa Jahiliah. Hal ini juga sesuai dengan hadis Nabi yang lainnya, iaitu: “Apabila seorang yang kafir masuk Islam dan berislam dengan baik, maka Allah akan mencatat semua amal kebaikan yang pernah ia lakukan (sebelum masuk Islam).”

Di tempat yang lain, beliau turut menjelaskan: Sebahagian ulama’ berkata: Maksud hadis di atas ialah bahawa setiap orang musyrik yang masuk Islam, akan dicatat semua pahala dari amal kebaikan yang pernah dia lakukan sebelum masuk Islam. Dan tidak dicatat semua kejahatannya kerana Islam telah menghapus segala bentuk kesyirikan sebelumnya dan mencatat semua kebaikannya. (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari oleh Ibn Battal, 9/209)

Semoga Allah SWT kurniakan kepada kita sifat pemurah sebagaimana dalam Islam menggesanya.

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ أَعْطِ مُنْفِقًا خَلَفًا، وَأَعْطِ مُمْسِكًا تَلَفًا

Maksudnya: “Ya Allah! Kurniakanlah kepada pemberi sedekah, gantian. Dan jadikanlah kepada yang kedekut, kehilangan.