Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan tentang konsep wakaf dalam Islam?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَمَثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمُ ابْتِغَاءَ مَرْضَاتِ اللَّـهِ وَتَثْبِيتًا مِّنْ أَنفُسِهِمْ كَمَثَلِ جَنَّةٍ بِرَبْوَةٍ أَصَابَهَا وَابِلٌ فَآتَتْ أُكُلَهَا ضِعْفَيْنِ فَإِن لَّمْ يُصِبْهَا وَابِلٌ فَطَلٌّ ۗ وَاللَّـهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

Maksudnya: “Dan bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredhaan Allah dan kerana meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) yang timbul dari jiwa mereka, adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat maka hujan renyai-renyai pun (cukup untuk menyiramnya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa melihat akan apa yang kamu lakukan.”

(Surah al-Baqarah: 265)

Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebutkan, gambaran infaq mereka ini sama ada yang banyak mahupun sedikit adalah bagaikan kebun yang memiliki tanah yang baik dan subur. Pepohondan tumbuhannya berkembang dengan baik. Kebun ini terletak di dataran yang tinggi, yang memperoleh sinar matahari dan pengudaraan yang baik serta disirami oleh hujan yang lebat sehingga tumbuh-tumbuhannya menghasilkan buah dua kali ganda lebih banyak berbanding yang lain. Jika kebun itu disirami oleh hujan gerimis, maka hal itu pun sudah mencukupi dan mampu menjadikan pohon-pohonnya tumbuh dengan baik dan tetap menghasilkan buah yang melimpah. Hal ini disebabkan tanahnya yang subur dan kedudukannya yang strategik. Manakala sebab kenapa kebun yang dijadikan perumpamaan di sini adalah kebun yang berada di rabwah (dataran tinggi), kerana pohon dan tumbuhan yang ada di kawasan tinggi lebih baik dan buah yang dihasilkannya juga lebih baik.

Allah SWT dengan kemurahan-Nya mengembangkan infaq yang dikeluarkan oleh orang-orang yang ikhlas dan memberi mereka balasan yang lebih banyak seperti sebuah kebun yang menghasilkan buah dua kali ganda lebih banyak berbanding buah yang dihasilkan kebun-kebun yang lain. Hal ini bertujuan memujuk hati dan fikiran kita. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 2/80)

Wakaf  pada bahasa bererti menahan dari dijual beli dan lain-lain (الْحَبْسُ عَنِ التَّصَرُّفِ). Perkataan wakaf, tahbis (تَحْبِيسُ) dan tasbil (تَسْبِيل) adalah membawa makna yang sama. Dengan makna itu, di kebanyakan negara Arab, Kementerian Hal Ehwal Wakaf disebut (وِزَارَةُ الاَوْقَافِ). Hanya negara Maghribi sahaja dipanggil (وِزَارَةُ الاَحْبَاسِ).

Para fuqaha telah bersepakat memberi takrif wakaf dari sudut bahasa dengan “al-Habs” yang bererti menahan kerana ia lebih hampir kepada pengertian syarak. Ini adalah berdasarkan kepada hadith daripada Saidina Umar R.A, sabda Rasulullah SAW:

إِنْ شِئْتَ حَبَسْتَ أَصْلَهَا وَتَصَدَّقْتَ بِهَا

Maksudnya:Sekiranya engkau mahu, tahanlah (wakafkanlah) pokoknya dan bersedekah (di jalan Allah) akan buahnya (hasilnya).”

Riwayat al-Bukhari (2772)

Al-Hafiz Ibn Hajar menjelaskan: “Iaitu mewakafkannya dan bersedekah dengan manfaat (yang terhasil) daripadanya.” (Lihat Fath al-Bari, 5/401)

Wakaf dari segi syarak pula bermaksud menahan harta itu pada jalan Allah untuk diberi manfaatnya kepada golongan fakir dan musafir dengan mengekalkan ainnya (asal) sebagai pemilik pemberi wakaf.

Pengertian wakaf sepertimana ditakrifkan oleh ulama mazhab Syafi’i adalah:

حَبْسُ مَالٍ يُمْكِنُ الاِنْتِفَاعُ بِهِ مَعَ بَقَاءِ عَيْنِهِ بِقَطْعِ التَّصَرُّفِ فِي رَقَبَتِهِ عَلَى مَصْرِفٍ مُبَاحٍ مَوْجُودٍ

Maksudnya: “Penahanan harta yang boleh diambil manfaatnya dan berkekalan ‘ain harta itu. Dengan gugurnya hak milik pewakaf ke atas permannfaatan perkara-perkara yang mubah (tidak haram)”. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/376)

Menurut Mazhab Hanafi pula, wakaf bermaksud menahan sesuatu aset atau harta yang sah pemilik pewakaf dan bersedekah manfaatnya ke jalan kebajikan. (Lihat Syarh Fath al-Qadir ‘ala al-Hidayah Syarh Bidayah al-Mubtadi’, 5/416)

Pendapat dua sahabat Abu Hanifah serta difatwakan di dalam mazhab Hanafi, Syafie dan Hanbali menyatakan: Wakaf ialah menahan barangan serta harta yang boleh dimanfaatkan serta kekal asetnya dengan memutuskan guna pakai ke atas aset itu dari pihak pewakaf atau lainnya ke arah kegunaan yang harus atau diguna pakai penghasilannya ke arah kebaikan dan kebajikan kerana mendampingkan diri kepada Allah. (Lihat Sharh Mukhtasar al-Karkhi, 4/268)

Wakaf di sisi mazhab Maliki pula tidak memutuskan hak pemiliknya pada aset yang diwakafkan, hanya memutuskan hak guna pakai sahaja. Dengan erti kata lain, menyedekahkan manfaat sesuatu harta selama mana harta itu wujud dan kekal pemilikan harta tersebut kepada pewakaf secara taqdiridengan satu aqad (lafaz ijab) mengikut kehendak pewakaf. (Lihat Hashiyah ‘ala Kifayah al-Talib al-Rabbani Li Risalah Ibn Abi Zaid al-Qairawani, hlm. 210) Dengan itu, pemilik menjadikan manfaat yang dimilikinya sekalipun dimiliki dengan menyewa ataupun dijadikan penghasilan seumpama wang kepada yang memerlukan dengan jalan berlafaz untuk jangka masa yang ditetapkan oleh pewakaf.

Secara ringkas, wakaf boleh difahami sebagai menahan harta benda yang kekal ainnya (zatnya) yang boleh diambil atau digunakan manfaatnya untuk tujuan kebajikan dan diserahkan ke tempat atau pihak yang ditentukan, serta terhalang daripada boleh digunakan secara berleluasa terhadap benda yang diwakafkan dan dimanfaatkan itu dengan harapan ianya dapat mendekatkan dirinya kepada Allah SWT.

Rukun-rukun Wakaf

Wakaf terdiri daripada beberapa rukun, iaitu:

  • Pewakaf
  • Harta yang diwakafkan
  • Penerima wakaf
  • Akad Wakaf

Hukum Mewakafkan Harta

Hukum wakaf  di sisi jumhur ulama selain dari mazhab Hanafi adalah sunat yang digalakkan. Ianya termasuk daripada amalan pemberian sedekah yang digalakkan. Firman Allah SWT:

لَن تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ ۚ

Maksudnya: Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebajikan (yang sempurna), sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai.

(Surah ali-Imran: 92)

Al-Mawardi dalam al-Nukat wa al-Uyun berkata: Berkenaan dengan perkataan lafaz al-bir (الْبِرَّ), ia terbahagi kepada tiga pendapat, iaitu:

  • Pahala di sisi Allah.
  • Perbuatan baik yang melayakkan pahala.
  • Inilah pendapat al-Suddi.

Sedangkan perkataan ‘hingga kamu berinfaq’ (حَتَّىٰ تُنفِقُوا) juga ada tiga pendapat, iaitu:

  • Sedekah yang wajib. Inilah pendapat al-Hasan.
  • Sedekah yang wajib dan sunat. Inilah pendapat Ibn Umar.
  • Semua kebaikan daripada sedekah dan selainnya.

Mengikut riwayat ‘Amr bin Dinar, tatkala turunnya ayat ini, Zaid bin Harithah datang dengan membawa kudanya yang diberi nama Sabal kepada Rasulullah, sambil berkata: “Sedekahlah kuda ini wahai Rasulullah.” Kemudian Baginda SAW memberikannya kepada Usamah, lantas Zaid berkata: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya aku mahu bersedekah dengannya.” Kemudian Baginda SAW menjawab: “Sesungguhnya telah diterima sedekah kamu.” (Lihat al-Nukat wa al-Uyun, 1/408-409)

Dalam ayat yang lain, Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَنفِقُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا كَسَبْتُمْ وَمِمَّا أَخْرَجْنَا لَكُم مِّنَ الْأَرْضِ ۖ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu.

(Surah al-Baqarah: 267)

Syeikh al-Maraghi menafsirkan, dermakanlah harta kamu yang baik daripada hasil perdagangan dan pertanian kamu, sama ada biji-bijian, buah-buahan mahupun lain-lain. (Lihat Tafsir al-Maraghi,2/612)

Ayat-ayat ini pada umumnya memberi mesej tentang menghulurkan harta benda ke jalan kebajikan dan kebaikan, seperti yang terhasil melalui amalan mewakafkan harta.

Kami akhiri dengan doa:

 رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا إِنَّكَ أَنتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ، وَتُبْ عَلَيْنَا إِنَّكَ أَنتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ ‎

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui; dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.”