Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa kesan daripada seseorang terlalu was-was?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Waswas adalah satu sikap yang memberikan kesan yang buruk terhadap individu yang menghadapinya. Di antara akibat daripada waswas adalah:
Pertama: Mengganggu Orang yang Berhampiran
Sikap waswas boleh menyebabkan orang yang berada di sekelilingnya menjadi tidak selesa. Apatah lagi jikalau individu yang waswas itu solat secara berjemaah mengulangi bacaan dalam solat dalam keadaan waswas dan berulang kali, ia akan mengakibatkan ketidakselesaan orang disekeliling yang turut solat berjemaah, bahkan mungkin menyebabkan kekhusyukkan solat mereka hilang. Bahkan perbuatan mengganggu orang yang sedang mendirikan solat adalah dilarang oleh Rasulullah SAW. Rasulullah SAW sendiri telah melarang orang menguatkan bacaan al-Quran dalam masjid sehingga mengganggu jamaah lain. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Sa‘id al-Khudri, katanya:
اعْتَكَفَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْمَسْجِدِ، فَسَمِعَهُمْ يَجْهَرُونَ بِالْقِرَاءَةِ، فَكَشَفَ السِّتْرَ، وَقَالَ: أَلَا إِنَّ كُلَّكُمْ مُنَاجٍ رَبَّهُ، فَلَا يُؤْذِيَنَّ بَعْضُكُمْ بَعْضًا، وَلَا يَرْفَعْ بَعْضُكُمْ عَلَى بَعْضٍ فِي الْقِرَاءَةِ
Maksudnya: “Ketika Nabi SAW beriktikaf (beribadah dalam masjid), Baginda mendengar mereka mengangkat suara bacaan (al-Quran) sedangkan ketika itu Nabi SAW berada di tempat ibadah Baginda. Lalu Baginda mengangkat langsir dan bersabda: ‘Ketahui setiap kamu bermunajat kepada Tuhannya, jangan sebahagian kamu menyakiti sebahagian yang lain. Jangan kamu mengangkat suara bacaan melebihi yang lain dalam solat.’”
Riwayat Abu Daud (1332); Ahmad (11915) dan al-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra (8092) dengan sedikit perbezaan lafaz. Imam al-Nawawi dalam al-Majmu‘ (3/392) menilai sanadnya sebagai sahih. Begitu juga Imam Abu Daud turut mendiamkan diri mengenainya, dan beliau pernah menyebutkan dalam risalahnya kepada penduduk Makkah bahawa apa-apa riwayat yang beliau mendiamkan diri mengenainya adalah soleh (yakni baik — menurutnya).
Ibn Hajar al-Haitami menyebutkan: “(Dan diharamkan) ke atas setiap seorang untuk menguatkan bacaan semasa solat atau diluar solat (jika mengganggu/mengacau orang lain) seperti orang yang sedang bersolat, yang sedang membaca al-Quran, atau tidur, kerana mendatangkan mudharat, dan merujuk bagi ucapan yang mengacau itu sekalipun terhadap fasiq kerana tidak diketahui melainkan daripadanya. Apa yang disebut daripada hukum haram itu adalah yang zahir (daripada nas al-Muqaddimah al-Hadhramiyyah), tetapi dinafikan pengharaman itu dengan kalam (Imam al-Nawawi) dalam al-Majmu‘ dan selainnya. Maka bahawasanya hal itu seakan-akan yang sarih (yang jelas) ialah bukan hukum haram, melainkan jika cuba dihimpunkan (kedua-dua pendapat itu). (Lihat al-Minhaj al-Qawim, hlm. 125-126).
Kedua: Menyebabkan Pembaziran
Sikap waswas juga boleh mengakibatkan pembaziran seperti pembaziran masa dan juga material. Sebagai contoh, individu yang mengalami waswas ketika berwuduk sehingga mengulanginya dengan kekerapan yang banyak menyebabkan pembaziran masa dan juga material, iaitu air yang banyak. Bahkan Allah SWT telah melarang kita untuk melakukan pembaziran. Firman Allah SWT:
وَلَا تُبَذِّرْ تَبْذِيرًا (26) إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ ۖ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورًا (27)
Maksudnya: “Janganlah kamu membazir dengan pembaziran yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”
(Surah al-Isra’: 26-27)
Ibn Kathir dalam tafsirnya menyebutkan, maksud saudara syaitan adalah seperti menyerupai sifat mereka, (yang suka membazir dan boros). (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/48).
Tambahan lagi, Nabi SAW juga pernah berpesan dalam hadith yang menyebutkan berkenaan larangan israf (berlebihan) dalam menggunakan air bagi tujuan berwuduk. Ini berdasarkan riwayat daripada Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW melalui suatu kawasan dan melihat Sa‘d sedang berwuduk. Lalu Baginda SAW bersabda:
مَا هَذَا السَّرَفُ. فَقَالَ: أَفِي الْوُضُوءِ إِسْرَافٌ؟ قَالَ: نَعَمْ وَإِنْ كُنْتَ عَلَى نَهَرٍ جَارٍ
Maksudnya: “Kenapakah berlebihan guna air ini?” Maka Sa‘d menjawab: “Adakah pada wuduk juga terdapat berlebihan — yakni melampaui batas sehingga membazir? Baginda menjawab: “Ya, sekalipun kamu berada di sungai yang mengalir.”
Riwayat Ibn Majah (425). Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam al-Talkhis al-Habir (1/224) menyatakan sanadnya adalah dhaif. Manakala Imam ‘Alau al-Din dalam Syarh Sunan Ibn Majah(1/325) juga menyatakan, sanadnya adalah dhaif, tetapi pada makna hadith sanadnya adalah sahih.
Hadith ini jelas menunjukkan bahawa perbuatan berlebihan dan membazir dalam berwuduk itu jelas dilarang dan tidak dibenarkan. Sekalipun kuantiti air itu berada dalam jumlah yang banyak seperti di laut, sungai, dan seumpamanya.
Al-Mulla Ali al-Qari apabila mensyarahkan hadith ini, beliau menyebutkan, israf dalam wuduknya sama ada dalam perbuatan wuduk seperti menambah bilangan basuhan lebih daripada tiga kali basuhan, ataupun israf pada kadarnya seperti menambah lebih dari kadar yang diperlukan dalam penggunaan air.
Beliau juga menyebutkan, tidak ada kebaikan dalam israf (berlebihan), dan tidak ada israf pada kebaikan. Beliau (Abdullah bin ‘Amr) menyangka bahawa tidak ada israf pada hal ketaatan dan ibadah. Lalu Baginda bersabda: “Ya ada israf padanya. Sekalipun kamu berada di sungai yang mengalir.”
Ini kerana pada perbuatan tersebut terdapatnya israf pada waktu dan mensia-siakan umur. Atau melampaui had syar‘i (dalam wuduk) seperti yang telah disebutkan. (Lihat Mirqah al-Mafatih, 2/421).
Lebih-lebih lagi, sebahagian ulama menyatakan bahawa israf dan membazir itu adalah suatu perkataan yang sama maksudnya. Namun terdapat juga para ulama yang membezakan maksud keduanya itu. Ini seperti yang dinyatakan oleh Imam al-Jurjani iaitu: Israf merupakan penggunaan ke atas sesuatu yang perlu secara berlebihan dari kadar keperluan. Manakala membazir pula penggunaan ke atas sesuatu yang tidak perlu. (Lihat al-Ta‘rifat, hlm. 24).
Ketiga: Melambatkan Amalan dan Menghilangkan Ketenangan
Waswas juga boleh mengakibatkan amalan dan ibadah kita tertangguh dan terlewat serta menghilangkan ketenangan. Jikalau seseorang itu waswas dan ragu-ragu terhadap wuduknya dan acap kali atau kerap kali mengulanginya, secara tidak langsung akan menyebabkannya terlewat untuk menunaikan solat pada waktunya atau di awal waktu, bahkan mungkin juga mengakibatkannya terlepas untuk solat secara berjemaah. Sedangkan Islam telah memerintahkan supaya sentiasa berkeyakinan dan juga bertenang dalam setiap situasi.
Keempat: Tidak Khusyuk dalam Solat dan Ibadah
Kekhusyukan dalam ibadah juga akan hilang akibat daripada sikap waswas. Hal ini kerana individu yang mempunyai waswas tidak dapat menghayati ibadahnya, tetapi hanya menfokuskan kepada apa yang diwaswaskannya itu seperti bacaan dalam solat, dan seumpamanya. Sedangkan ibadah ini memerlukan kekhusyukan dan penghayatan. Bahkan Allah SWT memuji orang yang beriman yang khusuk dalam solat mereka. Hal ini adalah sebagaimana firman-Nya:
الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ
Maksudnya: “Mereka yang khusyuk dalam solat mereka.”
(Surah al-Mukminun: 2)
Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya menyebutkan, khusuk tempatnya di dalam hati. Apabila khusyuknya hati, maka khusyuklah juga semua perbuatannya, kerana hati itu yang mengendalikan perbuatannya. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 12/103).
Kami akhiri dengan surah al-Nas:
قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ (1) مَلِكِ النَّاسِ (2) إِلَٰهِ النَّاسِ (3) مِن شَرِّ الْوَسْوَاسِ الْخَنَّاسِ (4) الَّذِي يُوَسْوِسُ فِي صُدُورِ النَّاسِ (5) مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ (6)
Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku berlindung kepada (Allah) Pemulihara sekalian manusia. “Yang Menguasai sekalian manusia, “Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia, “Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam, – “Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia, – “(Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia”.
(Surah al-Nas: 1-6)