Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Berkenaan isu was-was, benarkah kita disarankan untuk menghayati surah al-Nas?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Berkenaan isu waswas ini, amat penting untuk kita menekuni dan mentadabbur surah al-Nas. Hal ini berdasarkan kepada lafaz ayat dan permohonan perlindungan kita kepada Allah SWT daripada kejahatan bisikan dan waswas daripada syaitan.

Firman Allah SWT:

قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ (1) مَلِكِ النَّاسِ (2) إِلَٰهِ النَّاسِ (3) مِن شَرِّ الْوَسْوَاسِ الْخَنَّاسِ (4) الَّذِي يُوَسْوِسُ فِي صُدُورِ النَّاسِ (5) مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ (6)

Maksudnya: “(Aku berlindung) daripada kejahatan bisikan al-Khannas, Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia.  (Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia.”

(Surah al-Nas: 1-6)

Ibn Kathir menjelaskan, dalam Surah al-Nas ini, terdapat tiga daripada sifat-sifat Tuhan iaitu: ‘رَبِّ النَّاسِ’ – ‘مَلِكِ النَّاسِ’ – ‘إِلَٰهِ النَّاسِ’. Inilah Allah sebagai Pemelihara, Allah sebagai Raja, dan Allah sebagai Tuhan yang berhak disembah. Dia adalah pemelihara segala sesuatu, penguasa dan Tuhan yang berhak disembah. Segala sesuatu diciptakan untuk-Nya, dikuasai oleh-Nya dan menjadi hamba-Nya.

Orang beriman yang memohon perlindungan telah diperintahkan agar memohon perlindungan kepada Allah yang mempunyai sifat-sifat ini, daripada kejahatan bisikan syaitan yang bersembunyi, iaitu syaitan yang ditugaskan untuk menggoda manusia. Sesungguhnya, tidak ada seorang pun daripada keturunan Adam kecuali dia mempunyai qarin (pendamping) yang mendorongnya supaya melakukan perkara keji dan membuat khayalan padanya. Orang yang terpelihara adalah orang yang dipelihara oleh Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/715)

Bisikan waswas itu dinyatakan berada di dalam dada manusia, kerana sudah lazim dalam bahasa orang Arab mengatakan bahawa gurisan jiwa itu ada di dalam hati, sedang hati itu berada di dalam dada. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 15/7748).

Syeikh Abd al-Rahman bin Nasir al-Sa’di berkata: Surah ini mencakupi perlindungan diri kepada Rabb manusia, Penguasa dan Tuhan mereka, daripada syaitan yang merupakan pangkal dan dasar segala kejahatan. Antara fitnah dan kejahatannya ialah bisikan dalam dada manusia. Keburukan dibuat seolah-olah baik untuk mereka dan diperlihatkan dalam bentuk yang indah, menggerakkan keinginan mereka agar melakukannya, menghalang mereka daripada kebaikan dan kebaikan diperlihatkan pada mereka dengan wujud yang lain.

Syaitan selalu berada dalam keadaan seperti itu, membisikkan kemudian menunda bisikan  apabila manusia mengingati Rabb-nya dan meminta pertolongan dan perlindungan serta berpegang pada pemeliharaan Allah, kerana semua makhluk berada di bawah Uluhiyyah dan kekuasaan-Nya, semua ubun-ubun makhluk yang melata berada dalam genggaman Allah, dan di bawah Uluhiyyah-Nya yang menjadi tujuan penciptaan makhluk. Kerana itu, tidaklah tujuan itu sempurna untuk manusia tanpa menangkal kejahatan musuh mereka yang ingin memutuskan  mereka dan menghalang mereka darinya dan ingin menjadikan mereka sebagai golongannya, agar mereka menjadi penghuni Neraka Sa’ir. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 887)

Seterusnya, menurut Sayyid Qutb, kita tidak mengetahui bagaimana berlakunya bisikan syaitan, tetapi kita merasakan kesan-kesannya di dalam jiwa dan di dalam realiti hidup kita. Kita sedar bahawa pertarungan Adam dan Iblis adalah satu pertarungan yang amat lama.

Walau bagaimanapun, Allah tidak membiarkan manusia mengharungi pertarungan itu tanpa senjata, malah ia telah menjadikan keimanan sebagai perisai untuk mereka, zikir sebagai kelengkapan perang dan doa memohon perlindungan sebagai senjata. Andainya manusia itu lupakan perisai, kelengkapan dan alat senjatanya, maka dialah sahaja yang patut dipersalahkan(Lihat Tafsir Fi Zilalil Quran, 17/604).

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”