Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa hukum menghadiri jemputan perkahwinan di rumah ibadat agama lain?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّالْمُقْسِطِينَ

Maksudnya: “Allah tiada melarang kamu untuk berlaku baik dan berbuat adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu karena agama dan tidak mengusirmu dari negerimu.”

(Surah Al-Mumtahanah: 8)

Ibn Kathir telah menafsirkan ayat di atas dengan berkata, bahawa Allah SWT tidak menghalang umat Islam berbuat baik terhadap orang bukan Islam selagi mana mereka tidak menentang dalam hal berkaitan agama, tidak menindas kaum wanita dan orang-orang yang lemah. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 8/90)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa dibolehkan hadir ke rumah ibadah agama lain sekiranya mendapat jemputan perkahwinan. Menurut para ulama’ mazhab Syafi’e, hukum menghadiri jemputan walimah non-Muslim ialah sunat sekiranya jemputan itu datang daripada kaum keluarga dan jiran tetangga atau jika kehadiran kita akan memberi manfaat kepada dakwah Islam. (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 6/371; I’anah al-Talibin, 3/408; Muhammad ibn ‘Umar as-Syathiri, 2015, Syarh al-Yaqut al-Nafis, Beirut: Darul Minhaj, hal. 600 dan Muhammad az-Zuhaily, 2015, al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, Damsyik: Darul Qalam, Cetakan Kelima, 4/77).

Ini juga dipersetujui oleh Imam al-Mardawi dari mazhab Hanbali, yang turut menyebut akan keharusan menghadiri walimah non-Muslim dengan memetik pandangan Imam Ahmad dan Ibn Qudamah. (Lihat al-Insaf, 8/320).

Begitu juga dengan isi perjanjian antara Saidina ‘Umar al-Khattab dengan Ahlu Dzimmah pada zaman beliau yang antara lain menyatakan bahawa mereka tidak akan menghalang kaum Muslimin daripada memasuki gereja sama ada waktu siang atau malam. Ini juga antara dalil yang digunakan oleh Imam Ibn Qudamah dalam mengharuskan Muslim memasuki gereja.  (Lihat al-Syarh al-Kabir ‘ala Matn al-Muqni’, 10/613).

Jawapan saya ini selaras dengan konsep fiqh al-ta’ayush yang telah sekian lama diamalkan oleh Syeikh al-Azhar al-‘Allamah Ahmad al-Thayyib dan juga Darul Iftaa’ Mesir yang mengharuskan seorang Muslim memasuki gereja dan rumah ibadat agama lain, samada untuk melancong, menyaksikan majlis perkahwinan atau penghormatan kepada jenazah, selagimana tidak melanggar batas-batas agama. (Lihat fatwa di laman rasmi Darul Iftaa’ Misriyyah pada pautan https://bit.ly/2C2uY5l )

Kami juga mengingatkan kepada diri kami dan rakan-rakan semua agar sentiasa berpandu kepada nas Ilahi dan Hadyun Nabawi. Antaranya firman Allah SWT:

لَّا تَجِدُ قَوْمًا يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ يُوَادُّونَ مَنْ حَادَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَوْ كَانُوا آبَاءَهُمْ أَوْ أَبْنَاءَهُمْ أَوْ إِخْوَانَهُمْ أَوْ عَشِيرَتَهُمْ ۚ أُولَٰئِكَ كَتَبَ فِي قُلُوبِهِمُ الْإِيمَانَ وَأَيَّدَهُم بِرُوحٍ مِّنْهُ ۖ وَيُدْخِلُهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا ۚ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ ۚ أُولَٰئِكَ حِزْبُ اللَّهِ ۚ أَلَا إِنَّ حِزْبَ اللَّهِ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Maksudnya: Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan RasulNya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka. Mereka (yang setia) itu, Allah telah menetapkan iman dalam hati mereka, dan telah menguatkan mereka dengan semangat pertolongan daripadaNya; dan Dia akan memasukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka tetap kekal di dalamnya. Allah reda akan mereka dan mereka reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. Merekalah penyokong-penyokong (ugama) Allah. Ketahuilah! Sesungguhnya penyokong-penyokong (ugama) Allah itu ialah orang-orang yang berjaya.

(Surah al-Mujadalah: 22)

Imam Ibn Jarir al-Tabari ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan bahawa: Engkau tidak akan mendapati, wahai Muhammad, suatu kaum yang beriman kepada Allah dan membenarkan adanya hari akhirat, menunjukkan kasih sayang kepada mereka yang memusuhi Allah dan Rasul-Nya, menentang perintah-Nya, serta melanggar larangan-Nya. (Lihat Jami’ al-Bayan, 13/257)

Syeikh Abd al-Rahman al-Sa’di berkata: ‘لَّا تَجِدُ قَوْمًا يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ يُوَادُّونَ مَنْ حَادَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ ’, maksudnya, tidaklah menyatu antara orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dengan orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya. Tidaklah seorang hamba beriman kepada Allah dan hari Akhirat dengan sebenarnya, melainkan pasti melaksanakan tuntutan dan kewajipan iman, iaitu mencintai dan setia terhadap orang yang beriman, serta membenci orang yang tidak beriman dan yang memusuhinya meskipun terhadap orang yang dekat dengannnya sekalipun. Inilah iman yang sebenarnya yang bermanfaat dan yang dimaksudkan. (Lihat Tafsir al-Sa’di, hlm. 848)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa.