Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh dato terangkan sedikit bagaimana pemeliharaan sungai menurut Islam?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Alam semesta adalah salah satu tanda kebesaran Allah ‘Azza wa Jalla. Jika kita memerhatikan kejadian alam ini dengan penuh keinsafan, nescaya kita berasa takjub, kagum dan gerun dengan kehebatan Yang Maha Pencipta.
Firman Allah SWT:
أَوَلَمْ يَرَ الَّذِينَ كَفَرُوا أَنَّ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ كَانَتَا رَتْقًا فَفَتَقْنَاهُمَا ۖ وَجَعَلْنَا مِنَ الْمَاءِ كُلَّ شَيْءٍ حَيٍّ ۖ أَفَلَا يُؤْمِنُونَ
Maksudnya: “Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda yang satu), lalu Kami pisahkan antara keduanya? Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup? Maka mengapa mereka tidak mahu beriman?”
(Surah al-Anbiya’: 31)
Dalam Tafsir Imam Ibn Kathir ada dinyatakan, disebabkan langit dan bumi yang bercantum pada asalnya, langit tidak menurunkan hujan, dan di bumi pula tidak ada tumbuh-tumbuhan. Selepas dipisahkan, maka turunlah hujan dari langit dan tumbuhlah segala tanaman di bumi.
Malaysia sangat bertuah kerana dilimpahi dengan sumber air tawar dengan purata tahunan 324 billion meter padu air hujan. Malaysia juga memiliki 189 lembangan sungai yang menyumbang kira-kira 900 billion meter padu sumber air di seluruh negara. Hal ini terjadi disebabkan Malaysia memiliki kawasan bukit dan tanah tinggi yang berperanan sebagai kawasan tadahan air semula jadi, seterusnya membentuk aliran sungai ke kawasan yang lebih rendah.
Sungai adalah sumber air yang sangat penting bagi kehidupan manusia dan ekosistem. Mereka memberikan air untuk minum, pertanian, industri, dan juga memiliki peran ekologis yang besar dalam menjaga keseimbangan lingkungan. Di dalam Islam, pemeliharaan dan pemuliharaan alam, termasuk sungai, memiliki kedudukan yang sangat penting.
Melihat betapa besarnya peranan sungai ini dalam kehidupan, maka tanggungjawab untuk memelihara kelestariannya itu menjadi tanggungjawab bersama, bagi memastikan sumber semula jadi ini kekal dapat dimanfaatkan oleh generasi selepas ini. Islam bukan sekadar satu agama, tetapi satu cara hidup yang sempurna dan menyeluruh, yang memberikan panduan kepada seluruh aspek kehidupan manusia, termasuklah aspek kebersihan.
Firman Allah SWT:
وَلَا تُفْسِدُوا۟ فِى ٱلْأَرْضِ بَعْدَ إِصْلَـٰحِهَا
Maksudnya: “Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya.”
(Surah al-A‘raf: 56)
Allah SWT telah memperbaiki keadaan manusia secara fitrah, serta memberikan mereka kedudukan dengan menganugerahkan akal fikiran, kekuatan jasmani, dan Dia telah menetapkan hukum alam yang penuh kebijaksanaan dan seimbang. Allah juga mengutus para rasul untuk menyempurnakan fitrah tersebut dengan membawakan adab, akhlak, serta prinsip dalam urusan muamalat dan kehidupan bermasyarakat. Selain itu, Allah memberi petunjuk melalui para ilmuwan dan cendekiawan yang menyeru kepada keadilan serta membimbing manusia ke arah kebaikan dalam agama mereka. Begitu juga, para petani, pengusaha, dan pedagang yang jujur serta amanah memainkan peranan dalam memberi manfaat kepada kehidupan duniawi manusia.
Oleh itu, janganlah kita selaku manusia yang berakal, melakukan kerosakan di bumi dengan melakukan kezaliman mahupun penindasan terhadap nyawa, kehormatan, dan akhlak, sama ada dengan melakukan dosa atau perbuatan keji. Jangan juga menyebabkan kerosakan melalui kekacauan, melanggar aturan ilahi, serta menyebarkan kepercayaan karut dan kejahilan, yang akhirnya merosakkan struktur masyarakat. Kerosakan di muka bumi yang dimaksudkan ini meliputi segala bentuk, termasuklah kerosakan terhadap alam semula jadi. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 8/174; Tafsir al-Maraghi, 8/210)
Untuk perbahasan yang lebih lanjut dan terperinci tentang pemeliharaan sungai menurut Islam ini, anda boleh dapatkan e-book kami bertajuk: Islam dan Pemeliharaan Sungai, di aplikasi al-Inarah.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”