Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh dato ceritakan sedikit latar belakang berkenaan Syeikh Muhammad Abu Zahrah

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Ulama’ ialah pemimpin agama yang telah mencapai kedudukan besar dengan sebab mereka berijtihad, sabar dan sempurna keyakinan, seperti firman Allah SWT:

وَجَعَلْنَا مِنْهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا لَمَّا صَبَرُوا ۖ وَكَانُوا بِآيَاتِنَا يُوقِنُونَ

Maksudnya: “Dan Kami jadikan daripada kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum ugama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami.”

(Surah al-Sajdah: 24)

Ibn Kathir berkata: Iaitu tatkala mereka sabar dalam melaksanakan perintah-perintah Allah dan dalam menjauhkan larangan-larangan-Nya, membenarkan para Rasul-Nya dan mengikuti risalah yang diberikan kepada mereka, nescaya mereka menjadi pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk kepada kebenaran dengan perintah kami, mengajak kepada kebaikan, memerintahkan yang makruf dan melarang kemungkaran. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/430)

Ulama’ ialah golongan yang masyarakat dan umat ini belajar dan bertafaqquh dalam ilmu agama yang kemudian menyampaikan dakwah serta peringatan.

Ulama’ ialah petunjuk kepada manusia yang sentiasa wujud di sepanjang zaman untuk membela agamanya.

Ulama’ ialah ketua Jemaah yang diperintahkan kita beriltizam dengannya dan melarang kita daripada berpisah daripadanya.

Mulianya para ulama berdasarkan kepada penyaksian ketauhidan bersama dengan Allah dan para malaikat adalah para ulama. Firman Allah SWT:

شَهِدَ اللَّهُ أَنَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ وَالْمَلَائِكَةُ وَأُولُو الْعِلْمِ قَائِمًا بِالْقِسْطِ ۚ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

Maksudnya: “Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

(Surah Ali ‘Imran: 18)

Persoalan seterusnya, bagaimana cara kita mengenali ulama? Antaranya, ialah:

  • Dengan ilmu mereka.
  • Dengan kedalaman kefahaman mereka dalam bab syubhah sehingga dapat membezakan dengan jelas.
  • Mereka dapat diketahui melalui jihad dan dakwah mereka serta penggunaan masa mereka pada jalan Allah.
  • Mereka dikenali kerana kuat ibadat dan takutnya mereka kepada Allah.
  • Mereka dikenali dengan mulianya mereka daripada dikalahkan oleh dunia.

Ulama’ dikenali berdasarkan syahadah dan pengakuan guru-gurunya tentang ilmu. Dengan sebab itu, Imam Malik berkata: “Tidak seyogia seseorang merasa dirinya hebat dan berkeahlian sehingga ditanya kepada orang yang lebih alim daripadanya.”

Semoga dengan takrifan dan definisi serta pengenalan ulama’ ini maka sudah pasti masyarakat benar-benar akan mengenali dhawabit ulama sejati. Kami tertarik dengan kenyataan ulama al-Azhar ketika kami berada di Kaherah yang menyebut: ‘Ilmu (علم), kemudian ‘Amal  (عمل) dan natijah daripada pelaksanaan kedua-duanya akan memperolehi Lama‘ (لمع) yang memberi makna bercahaya. Maksudnya orang yang berilmu dan beramal sentiasa dilihat sebagai pedoman kepada khalayak masyarakat. (Lihat Tinta Nasihat untuk Penuntut Ilmu, hlm. 39-42).

Biografi Syeikh Muhammad Abu Zahrah

Nama lengkapnya ialah Muhammad Ahmad Mustafa Abu Zahrah, yang dilahirkan pada 29 Mac 1898M di Mahallah al-Kubra, Mesir. Beliau berasal daripada sebuah keluarga yang menjunjung tinggi nilai-nilai Islam serta menjaga adab-adab agama. Persekitaran yang penuh dengan didikan agama ini membentuk jati diri serta keperibadiannya sejak kecil.

Pada usia sembilan tahun, beliau telah berjaya menghafal al-Quran di bawah bimbingan para gurunya, antaranya Syeikh Muhammad Jamal (Imam Masjid Dahaniah), Syeikh Muhammad Hika (Imam Masjid Hanafi), dan Syeikh Mursi al-Misri (Imam Masjid Syeikh Abu Rabah). Muhammad Abu Zahrah sendiri mengakui bahawa perjalanan ilmunya bermula dengan pembelajaran serta hafalan al-Quran, yang menjadi asas penting dalam perkembangan intelektual dan spiritualnya.

Pada peringkat pendidikan rendah, Muhammad Abu Zahrah memperoleh ilmu di Sekolah Rendah al-Raqiyyah, di mana beliau mendalami ilmu agama dan bahasa Arab, serta turut mempelajari ilmu moden seperti Matematik sebagai pelengkap kepada asas pendidikannya. Seterusnya, pada tahun 1913, beliau menyambung pengajian di Kolej al-Ahmadi al-Azhari yang berpusat di Masjid Ahmadi, Tanta. Kemudian, pada tahun 1916, beliau melangkah ke Sekolah Kehakiman Syariah, sebuah institusi yang ditubuhkan sejak 1907, yang hanya menerima pelajar-pelajar terbaik. Sekolah ini ditubuhkan dengan tujuan melahirkan pakar fiqh yang memahami tuntutan semasa serta mampu mengaplikasikan hukum secara praktikal bagi memenuhi keperluan masyarakat, khususnya dalam jawatan hakim syar‘i di Mesir.

Kolej ini memiliki sistem pendidikan yang lebih tersusun serta berperanan sebagai pelengkap kepada al-Azhar. Di sinilah Muhammad Abu Zahrah menerima didikan yang bukan sahaja membentuk keperibadian dan akhlaknya melalui bimbingan para gurunya, seperti Abd Wahab Khalaf, tetapi juga mengasah kehidupan ilmiahnya melalui penyelidikan dan penulisan, yang kelak menjadikannya seorang ilmuwan tersohor. Beliau belajar di kolej sehingga tahun 1925. Namun malangnya, kolej ini ditutup pada tahun 1923 dan pelajar-pelajar dipindahkan ke Dar al-‘Ulum, Kaherah. Hanya beberapa pelajar yang dibenarkan tamat sehingga tahun 1925. Apabila  tamat di kolej tersebut, beliau memasuki Institut Latihan Kehakiman untuk menjadi peguam  selama setahun. Pada tahun  1927, beliau belajar di Dar al-‘Ulum selama enam bulan bagi membolehkannya memasuki peperiksaan bagi mendapat Sijil Dar al-‘Ulum.

Untuk perbahasan yang lebih lanjut dan terperinci tentang Syeikh Muhammad Abu Zahrah ini, anda boleh dapatkan e-book kami bertajuk: Biografi Syeikh Muhammad Abu Zahrah, di aplikasi al-Inarah.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”