Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah wakaf ada disebutkan di dalam al-Quran atau hadith?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَمَثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمُ ابْتِغَاءَ مَرْضَاتِ اللَّـهِ وَتَثْبِيتًا مِّنْ أَنفُسِهِمْ كَمَثَلِ جَنَّةٍ بِرَبْوَةٍ أَصَابَهَا وَابِلٌ فَآتَتْ أُكُلَهَا ضِعْفَيْنِ فَإِن لَّمْ يُصِبْهَا وَابِلٌ فَطَلٌّ ۗ وَاللَّـهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

Maksudnya: “Dan bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredhaan Allah dan kerana meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) yang timbul dari jiwa mereka, adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat maka hujan renyai-renyai pun (cukup untuk menyiramnya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa melihat akan apa yang kamu lakukan.”

(Surah al-Baqarah: 265)

Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebutkan, gambaran infaq mereka ini sama ada yang banyak mahupun sedikit adalah bagaikan kebun yang memiliki tanah yang baik dan subur. Pepohondan tumbuhannya berkembang dengan baik. Kebun ini terletak di dataran yang tinggi, yang memperoleh sinar matahari dan pengudaraan yang baik serta disirami oleh hujan yang lebat sehingga tumbuh-tumbuhannya menghasilkan buah dua kali ganda lebih banyak berbanding yang lain. Jika kebun itu disirami oleh hujan gerimis, maka hal itu pun sudah mencukupi dan mampu menjadikan pohon-pohonnya tumbuh dengan baik dan tetap menghasilkan buah yang melimpah. Hal ini disebabkan tanahnya yang subur dan kedudukannya yang strategik. Manakala sebab kenapa kebun yang dijadikan perumpamaan di sini adalah kebun yang berada di rabwah (dataran tinggi), kerana pohon dan tumbuhan yang ada di kawasan tinggi lebih baik dan buah yang dihasilkannya juga lebih baik.

Allah SWT dengan kemurahan-Nya mengembangkan infaq yang dikeluarkan oleh orang-orang yang ikhlas dan memberi mereka balasan yang lebih banyak seperti sebuah kebun yang menghasilkan buah dua kali ganda lebih banyak berbanding buah yang dihasilkan kebun-kebun yang lain. Hal ini bertujuan memujuk hati dan fikiran kita. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 2/80)

Wakaf  pada bahasa bererti menahan dari dijual beli dan lain-lain (الْحَبْسُ عَنِ التَّصَرُّفِ). Perkataan wakaf, tahbis (تَحْبِيسُ) dan tasbil (تَسْبِيل) adalah membawa makna yang sama. Dengan makna itu, di kebanyakan negara Arab, Kementerian Hal Ehwal Wakaf disebut (وِزَارَةُ الاَوْقَافِ). Hanya negara Maghribi sahaja dipanggil (وِزَارَةُ الاَحْبَاسِ).

Para fuqaha telah bersepakat memberi takrif wakaf dari sudut bahasa dengan “al-Habs” yang bererti menahan kerana ia lebih hampir kepada pengertian syarak. Ini adalah berdasarkan kepada hadith daripada Saidina Umar R.A, sabda Rasulullah SAW:

إِنْ شِئْتَ حَبَسْتَ أَصْلَهَا وَتَصَدَّقْتَ بِهَا

Maksudnya: “Sekiranya engkau mahu, tahanlah (wakafkanlah) pokoknya dan bersedekah (di jalan Allah) akan buahnya (hasilnya).”

Riwayat al-Bukhari (2772)

Al-Hafiz Ibn Hajar menjelaskan: “Iaitu mewakafkannya dan bersedekah dengan manfaat (yang terhasil) daripadanya.” (Lihat Fath al-Bari, 5/401)

Wakaf dari segi syarak pula bermaksud menahan harta itu pada jalan Allah untuk diberi manfaatnya kepada golongan fakir dan musafir dengan mengekalkan ainnya (asal) sebagai pemilik pemberi wakaf.

Pengertian wakaf sepertimana ditakrifkan oleh ulama mazhab Syafi’i adalah:

حَبْسُ مَالٍ يُمْكِنُ الاِنْتِفَاعُ بِهِ مَعَ بَقَاءِ عَيْنِهِ بِقَطْعِ التَّصَرُّفِ فِي رَقَبَتِهِ عَلَى مَصْرِفٍ مُبَاحٍ مَوْجُودٍ

Maksudnya: “Penahanan harta yang boleh diambil manfaatnya dan berkekalan ‘ain harta itu. Dengan gugurnya hak milik pewakaf ke atas permannfaatan perkara-perkara yang mubah (tidak haram)”. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/376)

Pensyariatan Wakaf

Wakaf adalah suatu amalan yang telah disyariatkan, bahkan ia merupakan salah satu cara mendekatkan diri dengan Allah. Amalan ini sangat digalakkan oleh syarak. Al-Quran dan al-Sunnah telah menyebut dalil-dalil yang memperakui amalan ini.

Kami kemukakan dalil-dalil pensyariatannya seperti berikut:

Pertama: Daripada al-Quran

Firman Allah SWT:

لَن تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ ۚ وَمَا تُنفِقُوا مِن شَيْءٍ فَإِنَّ اللَّهَ بِهِ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.”

 (Surah Ali ‘Imran: 92)

Terdapat satu kisah yang menarik berkaitan reaksi sahabat apabila diturunkan sahaja ayat di atas. Dalam hadith Anas bin Malik R.A, katanya:

كَانَ أَبُو طَلْحَةَ أَكْثَرَ أَنْصَارِيٍّ بِالْمَدِينَةِ مَالًا مِنْ نَخْلٍ، أَحَبُّ مَالِهِ إِلَيْهِ بَيْرُحَاءَ، مُسْتَقْبِلَةَ المَسْجِدِ وَكَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَدْخُلُهَا وَيَشْرَبُ مِنْ مَاءٍ فِيهَا طَيِّبٍ، قَالَ أَنَسٌ: فَلَمَّا نَزَلَتْ: (لَنْ تَنَالُوا البِرَّ حَتَّى تُنْفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ) [آل عمران: 92]، قَامَ أَبُو طَلْحَةَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّ اللَّهَ يَقُولُ: (لَنْ تَنَالُوا البِرَّ حَتَّى تُنْفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ) [آل عمران: 92] وَإِنَّ أَحَبَّ أَمْوَالِي إِلَيَّ بَيْرُحَاءَ، وَإِنَّهَا صَدَقَةٌ لِلَّهِ أَرْجُو بِرَّهَا وَذُخْرَهَا عِنْدَ اللَّهِ، فَضَعْهَا حَيْثُ أَرَاكَ اللَّهُ، فَقَالَ: «بَخْ، ذَلِكَ مَالٌ رَابِحٌ أَوْ رَايِحٌ – شَكَّ ابْنُ مَسْلَمَةَ – وَقَدْ سَمِعْتُ مَا قُلْتَ، وَإِنِّي أَرَى أَنْ تَجْعَلَهَا فِي الأَقْرَبِينَ»، قَالَ أَبُو طَلْحَةَ: أَفْعَلُ ذَلِكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ، فَقَسَمَهَا أَبُو طَلْحَةَ فِي أَقَارِبِهِ، وَفِي بَنِي عَمِّهِ

Maksudnya: “Abu Talhah ialah orang Ansar yang paling banyak memiliki harta di Madinah berupa kebun kurma, dan harta yang paling disukainya ialah [kebun] Bairuha’ yang berhadapan dengan masjid. Nabi SAW pernah masuk ke dalamnya dan minum daripada airnya yang segar.” Anas berkata: “Ketika turunnya (ayat 92 Surah Ali ‘Imran yang bermaksud): ‘Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebajikan (yang sempurna) sebelum kamu menafkahkan harta yang kamu cintai.’ Abu Talhah berdiri dan berkata: ‘Wahai Rasulullah! Sesungguhnya Allah berfirman (yang bermaksud), ‘Kamu sekali-kali tidak akan sampai kepada kebajikan (yang sempurna) sebelum kamu menafkahkan harta yang kamu cintai,’ dan sungguh harta yang paling aku cintai ialah Bairuha’, dan sesungguhnya ia adalah sedekah untuk Allah. Aku mengharapkan kebaikannya dan perbendaharaannya di sisi Allah. Letakkanlah (bahagikanlah) ia menurut apa yang Allah tunjukkan kepadamu.’ Baginda bersabda: ‘Wah, ia adalah harta yang menguntungkan atau harta yang baik – Ibn Maslamah merasa syak antara kedua-dua kalimah tersebut – aku telah mendengar apa yang engkau katakan, dan aku berpandangan supaya engkau berikannya kepada kaum kerabat.’ Abu Talhah berkata: ‘Aku melakukannya, wahai Rasulullah.’ Lalu Abu Talhah membahagikannya di antara kaum kerabatnya dan anak-anak bapa saudaranya.”

Riwayat al-Bukhari (2769)

Selain itu, perintah untuk membelanjakan harta di jalan Allah ta‘ala disebut dalam beberapa ayat, antaranya firman-Nya:

وَمَا يَفْعَلُوا مِنْ خَيْرٍ فَلَن يُكْفَرُوهُ ۗ وَاللَّهُ عَلِيمٌ بِالْمُتَّقِينَ

Maksudnya: “Dan apa sahaja kebajikan yang mereka kerjakan, maka mereka tidak sekali-kali akan diingkari (atau disekat dari mendapat pahalanya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui akan keadaan orang-orang yang bertaqwa.”

(Surah Ali ‘Imran: 115)

Lafaz “min khair” (مِنْ خَيْرٍ) dalam ayat ini bersifat menyeluruh lagi umum, mencakupi semua bentuk kebaikan, termasuklah wakaf di jalan Allah ta‘ala. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 3/600).

Untuk perbahasan yang lebih lanjut dan terperinci tentang wakaf bertempoh ini, anda boleh dapatkan e-book kami bertajuk: Wakaf Bertempoh: Konsep, Hukum dan Aplikasi dalam Islam, di aplikasi al-Inarah.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”