Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah hakikat seni dalam pandangan islam. Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Islam adalah agama yang mencintai keindahan dan menggalakkan keindahan dalam setiap aspek kehidupan. Nabi SAW bersabda:
إِنَّ اللَّهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah itu Maha Indah dan menyukai yang indah”
Riwayat Muslim (91)
Ibn Uthaimin ketika mensyarahkan hadith ini menyatakan bahawa: Iaitu Allah mencintai keindahan bererti seseorang dianjurkan untuk berhias dan menjaga penampilannya dalam pakaian, kasut, tubuh badan, serta dalam semua aspek kehidupannya. (Lihat Syarh Riyadh al-Salihin, 3/542)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas, seni pada hakikatnya adalah suatu bentuk kreativiti yang berasaskan keindahan, dan Islam tidak menentangnya. Namun, Islam memberikan keutamaan kepada prinsip akhlak berbanding prinsip keindahan semata-mata, iaitu menjadikan keindahan bergantung serta berkaitan dengan nilai moral. Inilah pendirian asas Islam terhadap semua bentuk seni. Terdapat satu kaedah dalam Islam yang menjadi panduan dalam menilai sesuatu bentuk seni, iaitu athar yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad Ibn Hanbal yang diucapkan oleh Abdullah Ibn Mas’ud:
مَا رَآهُ الْمُسْلِمُونَ حَسَنًا فَهُوَ عِنْدَ اللَّهِ حَسَنٌ، وَمَا رَآهُ الْمُسْلِمُونَ قَبِيحًا فَهُوَ عِنْدَ اللَّهِ قَبِيحٌ.
Maksudnya: “Apa yang orang Islam melihat kebaikan maka ia dianggap baik di sisi Allah dan apa yang mereka lihat keburukan maka ia dianggap buruk di sisi Allah.”
Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (3602)
Walau bagaimanapun Allah SWT melarang penciptaan seni yang melampaui batas sehingga membawa kepada kemungkaran. Allah SWT berfirman:
إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang melampaui batas”
(Surah al-A`raf: 31)
Syeikh al-Maraghi berkata bahawa ayat ini menunjukkan bahawa manusia perlu bersikap sederhana dalam melakukan sesuatu kerana Allah tidak suka sama sekali mereka yang melampaui batas. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 4/2174)
Oleh itu, seni dalam Islam haruslah mempunyai matlamat yang baik, halal, dan berlandaskan akhlak. Seni mempunyai hubungan yang erat dengan kebudayaan, sementara kebudayaan pula berkait rapat dengan agama. Islam, sebagai agama yang sempurna, merangkumi unsur kebudayaan dan kesenian yang selari dengan nilai-nilai ketuhanan.
Perbezaan utama antara seni Islam dan seni bukan Islam terletak pada niat, tujuan, serta nilai akhlak yang terkandung dalam karya seni tersebut. Seni Islam bertujuan semata-mata untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Selain itu, seni Islam bukan sahaja mencerminkan keindahan tetapi juga merangkumi aspek akhlak, keimanan, agama, serta falsafah yang mendidik jiwa dan menyampaikan mesej kebaikan kepada manusia.
Kita boleh lihat bahawa al-Quran yang mulia, dalam banyak ayatnya, menarik perhatian manusia terhadap keserasian, keindahan, dan ketelitian yang terdapat dalam alam semesta, yang membawa kegembiraan dan ketenangan kepada sesiapa yang memandangnya. Oleh itu, tidak masuk akal untuk mengatakan bahawa Islam menolak seni selagi ia berlandaskan keindahan yang sebenar.
Namun, jika seni mengandungi unsur keburukan, sama ada dari segi bentuk fizikal atau maknawi, maka Islam menolaknya dan tidak mengakuinya. Yang demikian adalah sebagaimana firman Allah SWT:
وَالَّذِينَ هُمْ عَنِ اللَّغْوِ مُعْرِضُونَ
Maksudnya: “Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia”
(Surah al-Mukminun:3)
Ibn Kathir menyatakan bahawa: iaitu perkara yang batil, yang merangkumi syirik, dan maksiat, serta segala bentuk perkataan dan perbuatan yang tidak membawa sebarang manfaat. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 10/30)
Justeru, sekiranya seni bertujuan untuk memberikan keseronokan intelektual, melembutkan perasaan, dan mendidik emosi, maka tiada bantahan terhadapnya. Namun, jika seni menyimpang daripada tujuan tersebut dengan merangsang naluri rendah manusia dan tidak lagi berperanan sebagai seni yang bermatlamat, maka ia bukan sahaja gagal membina kehidupan, malah berpotensi merosakkannya. Dalam keadaan ini, ia tidak lagi dianggap sebagai seni yang sebenar, sebaliknya menjadi bentuk hiburan yang tercela dan perbuatan sia-sia yang ditolak. Hal seperti ini sama sekali tidak diiktiraf dalam Islam.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ كُلِّ خَيْرٍ أَحَاطَ بِهِ عِلْمُكَ، فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنْ كُلِّ شَرٍّ أَحَاطَ بِهِ عِلْمُكَ، فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ.
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami mohon daripada-Mu dari setiap kebaikan yang menguasai ilmu-Mu di dunia dan akhirat, dan kami minta berlindung dengan-Mu dari setiap kejahatan yang menguasai dengannya ilmu-Mu di dunia dan akhirat.”
Wallahua’lam