Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah kisah-kisah seni yang masyhur berlaku ketika zaman Rasulullah SAW?.  Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih. 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan sebuah hadith sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

إِنَّ اللَّهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ 

Maksudnya“Sesungguhnya Allah itu Maha Indah dan menyukai yang indah”

Riwayat Muslim (91)

Ibn Uthaimin ketika mensyarahkan hadith ini menyatakan bahawa: Iaitu Allah mencintai keindahan bererti seseorang dianjurkan untuk berhias dan menjaga penampilannya dalam pakaian, kasut, tubuh badan, serta dalam semua aspek kehidupannya. (Lihat Syarh Riyadh al-Salihin, 3/542)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa seni telah menjadi sebahagian daripada kehidupan manusia sejak dahulu lagi, termasuk pada zaman Rasulullah SAW. Walaupun Islam datang dengan prinsip akidah dan syariat yang jelas, ia tetap mengiktiraf seni selagi tidak bercanggah dengan nilai-nilai Islam. 

Dalam sirah Rasulullah SAW, terdapat beberapa kisah yang menunjukkan bagaimana seni digunakan dalam kehidupan seharian, sama ada dalam bentuk syair, nasyid, seni bina, atau hiburan yang berlandaskan adab dan kesopanan. Seni pada zaman Baginda bukan sekadar untuk memperindah kehidupan, malah ia turut berperanan dalam menyampaikan mesej dakwah, membangkitkan semangat para sahabat, serta mengukuhkan jalinan ukhuwah dalam masyarakat Islam. 

Pertama: Kisah Nabi SAW mendengar bacaan al-Quran oleh Abu Musa al-Asy’ari lantas Nabi SAW bersabda:

يَا أَبَا مُوسَى، لَقَدْ أُوتِيتَ مِزْمَارًا مِنْ مَزَامِيرِ آلِ دَاوُدَ.

Maksudnya“Wahai Abu Musa, sesungguhnya engkau telah diberi seruling (maksudnya suara yang indah) daripada seruling-seruling Nabi Daud.”

Riwayat al-Bukhari (5048)

Kedua: Hadith Aisyah R.Anha

Daripada Aisyah R.Anha, beliau berkata: 

دَخَلَ عَلَيَّ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَعِنْدِي جَارِيَتَانِ تُغَنِّيَانِ بِغِنَاءِ بُعَاثٍ، فَاضْطَجَعَ عَلَى الفِرَاشِ، وَحَوَّلَ وَجْهَهُ، وَدَخَلَ أَبُو بَكْرٍ، فَانْتَهَرَنِي وَقَالَ: مِزْمَارَةُ الشَّيْطَانِ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَأَقْبَلَ عَلَيْهِ رَسُولُ اللهِ عَلَيْهِ السَّلاَمُ فَقَالَ: «دَعْهُمَا»، فَلَمَّا غَفَلَ غَمَزْتُهُمَا خَرَجَتَا.

Maksudnya“Rasulullah SAW masuk ke dalam rumahku, dan di sisiku ada dua anak perempuan yang melantunkan nyanyian perang Bu‘ath. Lalu Baginda berbaring di atas tempat tidur dan memalingkan wajah Baginda. Kemudian Abu Bakar masuk seraya memarahiku. Beliau berkata: “Seruling syaitan di sisi Nabi SAW?” Maka Nabi SAW berpaling kepada Abu Bakar dan bersabda: “Biarkanlah mereka berdua.” Ketika Baginda tidak perasan maka aku pun memberi isyarat kepada kedua perempuan tersebut lalu keduanya pun keluar.”

Riwayat al-Bukhari (949)

Ketiga: Kisah Nasyid “Tola’ al-Badru ‘Alaina” 

Orang Arab ialah merupakan satu bangsa yang terkenal dengan syair. Mereka menggunakan pelbagai bahasa yang indah untuk menggambarkan sesuatu. Seringkali kita mendengar bahawa sya’ir “Tola’al Baru ‘Alaina” digandingkan dengan kisah Hijrah Nabi SAW dari Makkah ke Madinah. Bahkan ia seringkali dinyanyikan oleh masyarakat kita dan juga di nusantara terutamanya. Saya nukilkan lafaz syair tersebut:

طَلَعَ الْبَدْرُ عَلَيْنَا               مِنْ ثَنِيَّاتِ الْوَداع    

وَجَبَ الشُّكْرُ عَلَيْنَا                       مَا دَعَا لِلَّهِ دَاعٍ                             

“Purnama telah terbit di atas kami, 

dari Thaniyah al-Wada’”, 

“Dan kami wajib bersyukur, 

      atas apa yang diserukan oleh penyeru kepada Allah…”

Hal ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada sanad ‘Ubaidillah bin Muhammad bin Aisyah, katanya:

 لَمَّا قَدِمَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ , الْمَدِينَةَ جَعَلَ  النِّسَاءُ وَالصِّبْيَانُ وَالْوَلاَئِدُ يَقُلْنَ: طَلَعَ الْبَدْرُ عَلَيْنَا … مِنْ ثَنِيَّاتِ الْوَدَاعْ ، وَجَبَ الشُّكْرُ عَلَيْنَا … مَا دَعَا للَّهِ دَاعْ.

Maksudnya: “Ketika mana Rasulullah SAW tiba di Madinah, maka perempuan, kanak-kanak dan budak kecil berkata:  Purnama telah terbit di atas kami, dari Thaniyah al-Wada’”, “Dan kami wajib bersyukur, atas apa yang diserukan oleh penyeru kepada Allah…”

Hadith ini diriwayatkan oleh Abu al-Hasan al-Khal’i di dalam al-Fawaid (2/59), al-Baihaqi di dalam Dalail al-Nubuwwah (752 & 2019).

Syaikh Muhammad bin Abdullah al-‘Usyan menyatakan: “Imam al-Baihaqi meriwayatkan dengan sanad dari ‘Ubaidillah (Ibn ‘Aisyah), katanya, “Ketika Rasulullah SAW tiba di Madinah, para wanita dan anak-anak mengucapkan: Sya’ir dengan lafaz sebagaimana di atas).”  (Lihat Ma Sya’a wa lam Yathbutu fi al-Sirah al-Nabawiyyah, hlm. 87)

Imam al-Baihaqi juga meriwayatkannya di dalam Dala’il al-Nubuwwah pada bab yang lain, iaitu bab orang-orang menyambut Rasulullah SAW ketika pulang dari Perang Tabuk. Kemudian al-Baihaqi menyebutkan:

وَهَذَا يَذْكُرُهُ عُلَمَاؤُنَا عِنْدَ مَقْدَمِهِ الْمَدِينَةَ مِنْ مَكَّةَ وَقَدْ ذَكَرْنَاهُ عِنْدَهُ لَا أَنَّهُ لَمَّا قَدِمَ الْمَدِينَةَ مِنْ ثَنِيَّةِ الْوَدَاعِ عِنْدَ مَقْدَمِهِ مِنْ تَبُوكَ، وَاللهُ أَعْلَمُ فَذَكَرْنَاهُ أَيْضًا هَاهُنَا

Maksudnya: “Ini disebutkan oleh para ulama kami ketika beliau tiba di Madinah dari Makkah, dan kami telah menyebutkan pada tempatnya. Bukan ketika beliau tiba di Madinah melalui bukit Tsaniyatul Wada ketika beliau datang dari Tabuk, wallahu a’lam. Tetapi kami tetap menyebutkannya di sini (dalam bab ini).” (Lihat Dalail al-Nubuwwah, 5/266)

Perkataan Imam al-Baihaqi ini dinukilkan juga oleh Ibn Kathir di dalam al-Bidayah wa al-Nihayah (5/33) dan al-Solehi di dalam al-Sirah al-Syami’ah (5/673).

Keempat: Kisah Semasa Menggali Parit, Para Sahabat R.Anhum mengungkapkan:

اللَّهُمَّ لَا عَيْشَ إِلَّا عَيْشُ الْآخِرَهْ             فَاغْفِرْ لِلْأَنْصَارِ وَالْمُهَاجِرَهْ

 “Ya Allah! Tiada kehidupan kecuali kehidupan akhirat,

Ampunilah kaum Ansar dan Muhajirah.”  

(Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 137)

Kelima: Mereka menyanyi dan bernasyid ketika sambutan pengantin. 

Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW tidak bersetuju apabila pada suatu hari, ketika seorang gadis ingin meraikan majlis perkahwinan ke rumah suaminya dengan majlis perkahwinan yang sepi tanpa disertai dengan hiburan dan nyanyian. Lalu Baginda menyatakan:

هَلَّا كَانَ مَعَهَا لَهْو؟ فَإِنَّ الأَنْصَارَ يُعْجِبُهُمْ اللَّهْوُ، أَو الغَزَلٌ. وَفِي بَعْض الرِّوَايَاتِ: هَلَّا بَعَثْتُمْ مَعَهَا مَنْ  يُغْنِيهِمْ وَتَقُولُ: أَتَيْنَاكُمْ أَتَيْنَاكُمْ فَحَيُّونَا نُحَيِّيكُمْ

Maksudnya“Mengapa tidak disertakan bersamanya sebarang nyanyian? Sesungguhnya golongan Ansar suka nyanyian atau hiburan.” Dalam sebahagian riwayat yang lain menyebutkan: “Mengapakah kamu tidak mahu menyediakan orang yang akan mendendangkan lagu ini? Lalu dia menyanyikan, ‘Kami datang kepada kamu, kami datang kepada kamu. Maka kamu menyambut kami dan kami juga akan mengalu-alukan kamu.’”

Hadith ini dinilai hasan berdasarkan Irwa’ al-Ghalil (1995). Hal ini kerana terdapat jalan riwayat yang menguatkannya. (Lihat Adab al-Zafaf, hlm. 109).

Daripada Aisyah R.Anha berkata:

 أَنَّهَا زَفَّتِ امْرَأَةً إِلَى رَجُلٍ مِنَ الأَنْصَارِ فَقَالَ نَبِيُّ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:‏‏ يَا عَائِشَةُ! مَا كَانَ مَعَكُمْ لَهْوٌ؟ فَإِنَّ الأَنْصَارَ يُعْجِبُهُمُ اللَّهْوُ ‏‏‏.‏

Maksudnya: “Bahawasanya beliau membawa seorang pengantin perempuan untuk dihantar kepada seorang lelaki daripada kaum Ansar, kemudian Nabi SAW bersabda: “Wahai ‘Aisyah, apakah kamu semua tidak mempunyai hiburan untuk dimainkan? Sesungguhnya orang-orang Ansar menyukai hiburan.”

Riwayat al-Bukhari (5162)

Ibn ‘Abbas R.Anhuma berkata:

أَنْكَحَتْ عَائِشَةُ ذَاتَ قَرَابَةٍ لَهَا مِنَ الأَنْصَارِ، فَجَاءَ رَسُولُ اللَّهِ  صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ،  فَقَالَ :‏ أَهْدَيْتُمُ الْفَتَاةَ؟‏ قَالُوا: نَعَمْ .‏ قَالَ ‏:‏ أَرْسَلْتُمْ مَعَهَا مَنْ يُغَنِّي؟ قَالَتْ: لاَ ‏.‏ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏:‏ إِنَّ الأَنْصَارَ قَوْمٌ فِيهِمْ غَزَلٌ، فَلَوْ بَعَثْتُمْ مَعَهَا مَنْ يَقُولُ: أَتَيْنَاكُمْ أَتَيْنَاكُمْ… فَحَيَّانَا وَحَيَّاكُمْ. 

Maksudnya“Aisyah R.Anha pernah mengatur satu upacara perkahwinan salah seorang kerabatnya daripada kaum Ansar. Lalu datang Rasulullah SAW bertanya kepadanya: Apakah sudah engkau berikan hadiah kepada pengantin perempuan itu? Jawabnya: Sudah. Baginda SAW bertanya lagi: Sudahkah kamu aturkan seseorang untuk menyanyi di sana? Jawabnya: Tidak. Maka Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya kaum Ansar itu suka kepada nyanyian Ghazal (sambut menyambut), kalau dapat seorang yang bernyanyi seperti, “Kami datang kepada kamu! Kami datang kepada kamu! Selamat bagi kami, selamat bagi kamu!”

Riwayat Ibn Majah (1900)

Keenam: Kisah Hassan bin Thabit penyair Rasulullah dengan syairnya yang dipuji oleh Rasulullah SAW.

Al-Bara’ R.A berkata: Rasulullah SAW bersabda kepada Hassan: 

اهْجُهُمْ – أَوْ هَاجِهِمْ – وَجِبْرِيلُ مَعَكَ.

Maksudnya: “Celalah mereka dengan menggunakan syair – atau kata perawi: sahutlah syair celaan mereka – sedangkan Jibril ada bersamamu.”

Riwayat al-Bukhari (4123, 4124)

Daripada al-Bara’ bin Azib katanya: Rasulullah SAW bersabda kepada Hassan bin Thabit pada peristiwa Quraizah: 

اهْجُ المُشْرِكِينَ، فَإِنَّ جِبْرِيلَ مَعَكَ.

Maksudnya“Celalah kaum Musyrikin dengan melantunkan syair, sesungguhnya Jibril bersamamu.”

Riwayat al-Bukhari (4123, 4124)

Justeru, daripada kisah-kisah ini, dapat disimpulkan bahawa seni dalam Islam bukan sahaja dibenarkan, malah boleh menjadi alat untuk memperkukuh akidah, ukhuwah, dan semangat juang dalam kalangan umat Islam. 

Seni juga boleh menjadi penyampaian dakwah yang berkesan, seperti syair dan nasyid yang digunakan untuk mengajak kepada kebaikan dan mempertahankan agama. Hiburan yang dibolehkan dalam Islam ialah yang tidak melalaikan, tidak mengandungi unsur maksiat, serta selaras dengan prinsip syariat. 

Oleh itu, seni haruslah dimanfaatkan sebagai satu bentuk ekspresi yang membangkitkan semangat keimanan, menyampaikan mesej dakwah, dan memperkukuh nilai-nilai Islam dalam kehidupan masyarakat. Untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai seni menurut perspektif Islam, anda dialu-alukan untuk merujuk kepada eBath Ilmi kami dalam platform al-Inarah yang bertajuk: “Pandangan Islam Terhadap Seni: Keindahan Berlandaskan Syariat.”

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Wallahua‘lam