Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah peranan hiburan dalam pembentukan jiwa manusia. Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَمِنَ النَّاسِ مَن يَشْتَرِي لَهْوَ الْحَدِيثِ لِيُضِلَّ عَن سَبِيلِ اللَّهِ بِغَيْرِ عِلْمٍ وَيَتَّخِذَهَا هُزُوًا ۚ أُولَٰئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ مُّهِينٌ
Maksudnya: “Dan ada di antara manusia: orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari agama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan; dan ada pula orang yang menjadikan agama Allah itu sebagai ejek-ejekan; merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan.”
(Surah Luqman: 6)
Imam Ibn Kathir mengatakan di dalam tafsirnya, Allah SWT menceritakan di dalam surah al-Zumar ayat 23 perihal orang-orang yang bahagia, iaitu mereka yang diberi petunjuk dengan al-Quran dan mendapat manfaat apabila mendengarnya. Kemudian Allah SWT menyebut pula perihal orang-orang yang malang, iaitu mereka yang enggan mengambil manfaat dengan mendengar bacaan al-Quran, akan tetapi mendengar tiupan seruling dan nyanyian berserta alat lagu, seperti tafsiran Ibn Mas‘ud bagi surah Luqman ayat 6 katanya: “Demi Allah yang dimaksudkan adalah lagu.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/295)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas, dalam Islam, hiburan yang bermanfaat berperanan menghidupkan jiwa, menenangkan hati serta mendekatkan diri kepada Allah SWT. Oleh itu, memahami keseimbangan antara hiburan dan pembentukan jiwa adalah kunci kepada kehidupan yang harmoni dan sejahtera.
Memetik lantunan puisi Jalaluddin al-Rumi:
“Irama seruling menyembuhkan kesakitan perpisahan
Melodinya menghilangkan tabir-tabir keterdesakan”
“Apakah yang mampu menjadi racun dan penyembuh sekaligus? Hanya seruling!
Siapakah yang mampu menjadi penenang dan perindu sekaligus? Hanya seruling!”
(Lihat Mathnawi, 1/11-12)
Di sini kita melihat Jalaluddin al-Rumi sendiri mengakui sifat muzik yang bersifat serampang dua mata, dan mampu membawa kesan positif dan negatif.
Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi menyatakan bahawa; Islam adalah agama yang realiti, tidak tenggelam di dalam dunia khayalan atau terikat dengan contoh-contoh yang tidak jelas. Tetapi, Islam tertegak di atas hukum dan hakikat yang nyata. Islam juga tidak menganggap manusia itu seperti malaikat yang mempunyai dua, tiga dan empat sayap. Akan tetapi, Islam menganggap manusia itu sebagai makhluk Allah SWT yang memerlukan makan dan minum serta berjalan menuju ke pasar.
Justeru, Islam tidak mewajibkan manusia agar semua perkataan yang diucapkan sehari-hari sebagai zikir, semua renungannya sebagai berfikir, semua pendengarannya hanyalah al-Quran al- Karim dan semua masa lapangnya mesti berada di dalam masjid. Bahkan Islam mengiktiraf kewujudan manusia itu dengan fitrah dan tabiatnya yang tersendiri sebagaimana yang diciptakan Allah SWT buat mereka. Allah SWT menciptakan manusia supaya mereka senang, ketawa dan bermain-main sebagaimana diciptakan bagi manusia itu keinginan untuk makan dan minum.
Pada hakikatnya, sebahagian sahabat Nabi SAW telah mencapai tahap kerohanian yang tinggi dalam hidup mereka sehingga mereka menyangka bahawa bersungguh-sungguh dan kekuatan beribadat yang jitu menjadi sifat mereka di dalam kehidupan. Bahkan mereka perlu mengenepikan semua kesenangan hidup dan keindahan dunia sehingga mereka tidak boleh lagi bersuka-ria. Malah segala pemikiran mereka mestilah ditujukan hanya kepada akhirat semata-mata serta terhindar daripada dunia dan kesenangannya. Benarkah sebegitu?
Marilah kita hayati kisah seorang sahabat yang bernama Hanzhalah al-Usaidi – seorang daripada penulis wahyu Rasulullah SAW– beliau berkata: “Abu Bakar bertemu denganku lalu bertanya: ‘Bagaimana keadaanmu, wahai Hanzhalah?’ Aku menjawab: ‘Hanzhalah telah berlaku munafik!’ Abu Bakar berkata: ‘Subhanallah! Apa yang kau katakan itu?’ Aku menjawab: ‘Apabila kami berada di sisi Rasulullah SAW, Baginda mengingatkan kami tentang neraka dan syurga sehingga seolah-olah kami melihatnya dengan mata kepala sendiri. Namun, apabila kami keluar dari sisi Rasulullah SAW, kami disibukkan dengan isteri, anak-anak, dan harta benda sehingga banyak perkara kami lupakan.’”
Abu Bakar berkata: ‘Demi Allah, aku juga mengalami perkara yang sama.’ Maka aku dan Abu Bakar pun pergi menemui Rasulullah SAW. Setelah masuk, aku berkata: ‘Hanzhalah telah berlaku munafik, wahai Rasulullah!’ Rasulullah SAW bertanya: ‘Apa yang telah berlaku?’ Aku menjawab: ‘Wahai Rasulullah, apabila kami berada di sisimu, engkau mengingatkan kami tentang neraka dan syurga sehingga seolah-olah kami melihatnya di hadapan mata kami. Tetapi apabila kami keluar dari sisimu, kami disibukkan dengan isteri, anak-anak, dan harta benda sehingga banyak perkara kami lupakan.’” Lalu Rasulullah SAW bersabda
وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ إِنْ لَوْ تَدُومُونَ عَلَى مَا تَكُونُونَ عِنْدِي وَفِي الذِّكْرِ، لَصَافَحَتْكُمُ الْمَلاَئِكَةُ عَلَى فُرُشِكُمْ وَفِي طُرُقِكُمْ وَلَكِنْ يَا حَنْظَلَةُ سَاعَةً وَسَاعَةً . ثَلاَثَ مَرَّاتٍ .
Maksudnya: “Demi jiwaku yang berada di dalam tangan- Nya! Sesungguhnya jika kamu menepati keadaan seperti yang kamu biasanya berada di sisiku dan ketika dalam berzikir, nescaya kamu akan disamakan dengan malaikat di tempat-tempat duduk kamu dan di jalan-jalan kamu. Tetapi, hai Hanzhalah! Sesaat begini dan sesaat begitu! Disebutkan ungkapan ini sampai tiga kali.”
Riwayat Muslim (2750)
Rasulullah SAW menjelaskan bahawa perkara itu bukanlah satu bentuk kemunafikan yang dilarang, dan mereka tidak dibebani dengan kewajipan untuk sentiasa berada dalam keadaan berfikir dan bermuhasabah secara berterusan, kerana jika demikian, mereka akan menjadi seperti para malaikat dan malaikat akan menemani mereka. Sebaliknya, apa yang dituntut daripada mereka ialah untuk berada dalam keadaan bertakwa dan takut kepada Allah pada suatu waktu, dan pada waktu lain mereka boleh menyibukkan diri dengan urusan dunia yang dibolehkan serta menikmati perhiasannya yang dihalalkan. Namun, dunia tidak seharusnya menguasai hati seorang mukmin sehingga dia menjadi golongan yang rugi. (Lihat Fath al-Mun’im Syarh Sahih Muslim, 10/307)
Maka, dapat disimpulkan bahawa kesibukan seseorang dalam ibadah, tidak menafikan keperluan untuk disertakan hak tubuh badan dan hak jiwa yang memerlukan rehat dan sedikit hiburan yang bersesuaian.
Rasulullah SAW Juga bersifat Manusia. Kehidupan Rasulullah SAW adalah contoh yang menyentuh jiwa bagi kehidupan manusia yang sempurna. Nabi SAW sentiasa bangun sembahyang dengan memanjangkan khusyuknya dan Langisannya. Baginda SAW kerap kali bangun bersembahyang sehingga kedua-dua belah tapak kaki Baginda SAW bengkak.
Tidak kira di dalam kebenaran atau batil, Baginda SAW tidak mempedulikan siapa saja orang itu selagi mana dia berada di sisi Allah SWT. Akan tetapi, di dalam kehidupan seharian dan pergaulan Baginda SAW sesama manusia, Baginda SAW adalah seorang manusia yang sangat suka perkara yang baik. Wajah Baginda SAW sentiasa berseri dan tersenyum, selalu bermain- main dan bergurau, serta tidak suka kecuali perkara yang benar sahaja.
Baginda SAW sangat suka kepada kegembiraan dan apa jua yang berkaitan dengannya. Sebaliknya, Baginda SAW membenci kesedihan dan apa saja perkara yang membawa kepada kesedihan, duka kerana banyak hutang, dan kecewa kerana banyak menanggung kesusahan. Baginda SAW sering memohon perlindungan Allah SWT daripada perkara-perkara ini. Baginda SAW memohon di dalam doanya:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ
Maksudnya: “Ya Allah! Ya Tuhanku! Sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada sifat duka dan sedih!”
Riwayat al-Bukhari (6369), Muslim (2706), Abu Daud (1555), al-Tirmizi (3484), al-Nasa’i (5449) dan al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (305)
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نسْأَلُكَ الْهُدَى ، وَالتُّقَى ، وَالْعَفَافَ ، وَالْغِنَى
Maksudnya: “Wahai Allah! Sesungguhnya kami memohon kepada-Mu petunjuk, ketakwaan, sifat iffah dan kekayaan.”
Wallahua‘lam