Soalan
Mengapakah penetapan bulan Ramadhan pada setiap tahun masihi sentiasa berubah dan berganjak semakin awal?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Takwim merupakan satu sistem penyatuan unit pengukuran masa bagi satu jangka masa yang panjang. Pengukuran masa adalah berdasarkan pergerakan objek-objek cakerawala terutamanya bulan atau matahari. Secara ringkas, bulan digunakan kerana perubahan fasanya dapat memberikan petunjuk tentang julat sesuatu masa. Manakala matahari digunakan kerana perubahan musim kesan daripada pergerakan tahunannya. Unsur penting yang terdapat pada takwim ialah hari, bulan dan tahun.
Mengenai pengukuran masa, Allah SWT berfirman:
هُوَ الَّذِي جَعَلَ الشَّمْسَ ضِيَاءً وَالْقَمَرَ نُورًا وَقَدَّرَهُ مَنَازِلَ لِتَعْلَمُوا عَدَدَ السِّنِينَ وَالْحِسَابَ ۚ مَا خَلَقَ اللَّـهُ ذَٰلِكَ إِلَّا بِالْحَقِّ ۚ يُفَصِّلُ الْآيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Dia lah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang-benderang) dan bulan bercahaya, dan Dia lah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-randah) pada tempat-tempat peredarannya masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan adanya faedah dan gunanya yang sebenar. Allah menjelaskan ayat-ayatNya (tanda-tanda kebesaranNya) satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui (hikmat sesuatu yang dijadikanNya).”[1]
Ibnu Kathir berkata, “Dengan matahari diketahui hari-harinya, manakala dengan bulan diketahui bilangan bulan dan tahun.”[2]
Matahari berfungsi untuk menetapkan hari dan malam. Sedangkan bulan Allah SWT jadikan sebagai penetap bulan dan tahun. Sebagaimana firman Allah SWT,
مَنَازِلَ لِتَعْلَمُوا عَدَدَ السِّنِينَ وَالْحِسَابَ
“Serta menetapkan tempat-tempatnya agar kalian mengetahui bilangan tahun dan perhitungan.”[3]
Begitu juga dengan Firman-Nya SWT:
إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِندَ اللَّـهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّـهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ ۚ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنفُسَكُمْ ۚ وَقَاتِلُوا الْمُشْرِكِينَ كَافَّةً كَمَا يُقَاتِلُونَكُمْ كَافَّةً ۚ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّـهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ
Maksudnya: “Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah ialah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu, dan perangilah kaum musyrikin itu semuanya sebagaimana mereka pun memerangi kamu semuanya; dan ketahuilah bahawasanya Allah beserta orang-orang yang bertakwa”.[4]
Al-Qurtubi berkata, “Ayat ini menunjukkan bahawa yang diwajibkan adalah mengaitkan hukum-hukum dalam ibadah dan selainnya dengan bulan dan tahun yang telah dikenal oleh bangsa Arab, bukan bulan yang dikenal oleh bukan Arab, Romawi dan qibti.”[5]
Al-Syaukani berkata: “Ayat ini menyatakan bahawa tidak perlu diberi perhatian kepada bulan-bulan yang digunakan oleh bangsa bukan Arab, Romawi dan Qibti. Sebahagiannya mereka menetapkan bulan berjumlah 30 hari, terkadang lebih dan terkadang kurang.”[6]
Takwim Hijriah merupakan takwim rasmi umat Islam dalam pelbagai urusan terutama dalam aspek ibadah. Ia adalah suatu sistem qamariah tulen berpandukan peredaran bulan mengelilingi bumi dan pengiraannya bermula daripada peristiwa Hijrah Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Yathrib (Madinah) pada tahun 622 Miladiah.
Manakala takwim Miladiah merupakan suatu sistem syamsiah iaitu bepandukan peredaran matahari. Takwim Miladiah berasal daripada takwim Julian (Julius Ceasar) yang diperkenalkan sejak tahun ke-46 sebelum Miladiah dan digunakan oleh orang Rom. Kemudian, tahun kelahiran Isa al-Masih (Nabi Isa A.S) dijadikan permulaan rujukan kitaran takwim oleh orang-orang Kristian dan dinamakan takwim miladiah (milad dalam bahasa Arab bermaksud kelahiran) atau takwim Masihi sempena gelaran al-Masih kepada Nabi Isa A.S. Takwim ini telah diperbaiki oleh Pope Gregory XIII serta dinamakan takwim Gregorian dan mula digunakan secara rasmi pada tahun 1582 Miladiah.
Firman Allah SWT lagi:
يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْأَهِلَّةِ ۖ قُلْ هِيَ مَوَاقِيتُ لِلنَّاسِ وَالْحَجِّ ۗ
Maksudnya : “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (peredaran) anak-anak bulan. Katakanlah: “(peredaran) anak-anak bulan itu menandakan waktu-waktu (urusan dan amalan) manusia, khasnya ibadat Haji”
Syeikh al-Islam Abu al-Abbas Ibn Taimiah berkata, “Allah mengkhabarkan bahawa bulan-bulan ini merupakan tempoh masa yang ditetapkan bagi manusia. Ia bersifat umum dalam semua perkara dan setiap urusan. Maka Allah telah menjadikan tanda-tanda anak bulan untuk menandakan tempoh masa yang ditetapkan berkenaan hukum-hukum yang ditetapkan syariat. Hal ini termasuk puasa, haji, iddah, puasa kafarah.”[7]
Di sini Allah memberitahu kita bahawa ia adalah tanda-tanda untuk menandakan tempoh masa yang ditetapkan bagi manusia. Ini adalah umum dalam pengertian dan terpakai kepada semua urusan mereka. Oleh itu, Allah telah menjadikan tanda-tanda anak bulan untuk menandakan tempoh masa yang ditetapkan berkenaan dengan ketetapan Islam yang ditetapkan… Itu termasuk puasa, haji, ‘iddah, dan puasa kafarat.
Kesimpulan
Sebagaimana diketahui bahawa terdapat pelbagai penetapan tahun dalam masyarakat kita, antara penetapan berdasarkan peredaran matahari (tahun syamsiah) yang jumlah harinya ialah 365 hari, dan penetapan berdasarkan peredaran bulan (tahun qamariah), yang jumlah harinya berjumlah 354 hari.
Tahun syamsiyah dan tahun qamariah mempunyai jumlah bilangan bulan yang sama iaitu 12 bulan, tetapi berbeza pada jumlah harinya. Jumlah harinya lebih banyak 11 hari berbanding tahun qamariah. Disebabkan itu, awal bulan Ramadhan berbeza pada setiap tahun masihi, dan berganjak melalui dan beredar pada empat musim.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Bertarikh: 4 April 2022 bersamaan 2 Ramadhan 1443H
The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.
[1] Surah Yunus: 5
[2] Lihat Tafsir Ibnu Kathir, 4/248)
[3] Surah Yunus: 5
[4] Surah al-Taubah: 36
[5] Lihat al-Jami li Ahkam al-Quran, 8/133
[6] Lihat Fath al-Qadir, 2/521
[7] Lihat Majmu’ al-Fatawa, 25/133)