#873 Berbuka Puasa Kerana Kesilapan Azan di Radio

Soalan

Assalamualaikum wbt. Apakah hukum seseorang yang berbuka puasa sekitar 4 minit sebelum azan disebabkan DJ radio tersalah mengumandangkan azan Maghrib lebih awal?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Puasa adalah salah satu ibadat yang difardhukan oleh Allah SWT kepada hamba-hambanya. Maka, setiap ibadat atau perbuatan yang khusus dilakukan kerana Allah SWT memerlukan niat sebagai membezakan di antara ibadat dan adat kebiasaan seperti membezakan di antara orang yang menahan diri daripada makan dan minum kerana berpuasa dengan orang yang tidak mempunyai makanan untuk dimakan.

Puasa yang disyariatkan adalah untuk menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa bermula daripada terbit fajar sadiq hingga tenggelam matahari. Puasa tidak berakhir dengan petanda azan oleh muazzin

Firman Allah SWT:

وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ

Maksudnya: “…dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib);…”[1]

Imam al-Qurtubi dalam al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an berkata: “Allah jadikan sebutan malam sebagai tempat atau waktu untuk makan, minum, berjima’. Sedangkan siang hari sebagai waktu untuk berpuasa.[2]

Imam al-Bukhari meriwayatkan hadith dalam menafsirkan ayat ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada ‘Adi bin Hatim RA, katanya:

قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، مَا الخَيْطُ الأَبْيَضُ مِنَ الخَيْطِ الأَسْوَدِ؟ أَهُمَا الخَيْطَانِ؟ قَالَ: «إِنَّكَ لَعَرِيضُ القَفَا، إِنْ أَبْصَرْتَ الخَيْطَيْنِ»، ثُمَّ قَالَ: «لاَ، بَلْ هُوَ سَوَادُ اللَّيْلِ وَبَيَاضُ النَّهَارِ».

Maksudnya: “Aku berkata: Wahai Rasulullah,  apakah (yang dimaksudkan dengan) benang putih dan benang hitam? Apakah kedua-duanya betul-betul benang?” Baginda bersabda: “Sesungguhnya kamu orang yang sangat lebar tengkuk (ia adalah kiasan bagi orang yang tidak cerdik atau tidak faham) jika kamu melihat kedua-dua benang itu.” Kemudian Baginda bersabda: “Tidak, bahkan (maksudnya ialah) ia adalah gelapnya malam dan terangnya siang.”

Berbuka Puasa Kerana Tersilap

Para ulama’ berbeza pandangan dalam hal berkenaan orang yang berbuka puasa kerana menyangka matahari telah terbenam kepada dua pendapat, iaitu:

Pertama, jumhur ulama’ dari kalangan mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan ramai di kalangan ulama’ Hanbali menyatakan bahawa puasa tersebut batal dan wajib diqadha’.

Kedua, hukumnya tidak batal puasa. Inilah pendapat sebahagian mazhab Hanbali, al-Muzani dan Ibn Khuzaimah daripada ashab al-Syafie dan juga pandangan ulama’ Zahiri.

Hujah Jumhur Yang Mengatakan Batal Puasa

Imam Al Kasani daripada kalangan Hanafiah menyebutkan di dalam kitabnya Bada’i al-Sana’i fi Tartib al-Syarai’ berkata: “Jika seseorang bersahur dengan menyangka bahawa fajar belum terbit, sedangkan sebenarnya sudah terbit atau berbuka dengan menyangka bahawa matahari telah tenggelam, padahal sebenarnya ia belum tenggelam, maka wajib baginya mengqadha puasanya tersebut tanpa perlu membayar kaffarah. Ini kerana dia tidak membatalkan puasanya tersebut secara sengaja tetapi tersilap.”[3]

Ibn Abdi al-Barr daripada kalangan Malikiyah menyebutkan dalam kitabnya Al-Kaafi Fi Fiqhi Ahli Al-Madinah: “Daripada sunnah ialah menyegerakan berbuka dan menta’khirkan sahur. Pada siang hari maka wajib baginya berpuasa bermula daripada terbit fajar sehingga tenggelam matahari. Apabila ia yakin telah tenggelamnya matahari, maka halallah baginya berbuka. Sebaliknya diwajibkan baginya mengqadha puasa sesiapa yang berbuka dengan sangkaan matahari telah tenggelam dengan sebab lindungan awan atau lainnya padahal belum tenggelam.”[4]

Imam al-Nawawi pula menjelaskan:

وَلَوْ أَكَلَ ظَانًّا غُرُوبَ الشَّمْسِ، فَبَانَتْ طَالِعَةً، أَوْ ظَنَّ أَنَّ الْفَجْرَ لَمْ يَطْلُعْ، فَبَانَ طَالِعًا، أَفْطَرَ عَلَى الصَّحِيحِ الْمَنْصُوصِ، وَبِهِ قَطَعَ الْجُمْهُورُ.

Maksudnya“Sekiranya, seseorang makan kerana menyangka tenggelamnya matahari, ternyata belum tenggelam atau menyangka fajar belum timbul, ternyata telah timbul, dikira batal puasanya atas nas yang sahih dan ianya diputuskan oleh jumhur ulama’.”[5]

Ibnu Qudamah dari kalangan Hanabilah menyebutkan dalam kitabnya Al-Mughni: “Dan setiap yang berbuka sedangkan puasa wajib baginya seperti orang yang berbuka tanpa uzur, dan yang berbuka dalam sangkaan bahawa fajar belum terbit, sedangkan sudah terbit atau sangkaan matahari telah tenggelam padahal belum, atau orang yang lupa niat puasa dan seumpamanya maka dia wajib untuk melanjutkan puasanya tersebut, tanpa ada khilaf sepengetahuan kami berkaitan hal ini.”[6]

Hujah dan Dalil Yang Menyatakan Tidak Batal

Al-Mardawi dari kalangan Hanabilah mengatakan dalam kitabnya Al-Insaf Fi Ma’rifati al-Rajih Min al-Khilaf:“Dan jika seseorang makan dengan menyangkakan telah tenggelam matahari, kemudian syak dan sentiasa dalam syaknya, maka tidaklah perlu dia qadha’ puasa tersebut. Dan inilah yang dijazamkannya. Dia berkata pada kaedah 159: Harus berbuka puasa dengan sebab sangkaan berat matahari telah tenggelam pada zahir mazhab.”[7]

Ibnu Hazm pula menyebutkan dalam kitabnya Al-Muhalla Bi Al-Athar: “Siapa yang menyangka bahawa masih malam lantas dilakukan sesuatu daripada makan atau minum, sedangkan sebenarnya sudah waktu Subuh atau pagi, atau dia menyangka matahari telah tenggelam, lantas dia makan atau minum, tetapi sebenarnya belum tenggelam lagi, maka puasanya setiap mereka yang kami nyatakan adalah sempurna. Ini berdasarkan firman Allah SWT: Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya.”[8]

Situasi Yang Pernah Berlaku pada Zaman Rasulullah SAW

Pernah berlaku situasi yang mana para sahabat Rasulullah SAW berbuka sebelum matahari terbenam. Hal ini kerana keadaan langit pada ketika itu mendung dan menyebabkan para sahabat tidak dapat mengetahui apakah matahari sudah terbenam atau belum. Hal ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Asma’ binti Abu Bakar R.Anhuma, katanya:

أَفْطَرْنَا عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ غَيْمٍ، ثُمَّ طَلَعَتِ الشَّمْسُ، قِيلَ لِهِشَامٍ: فَأُمِرُوا بِالقَضَاءِ؟ قَالَ: لاَ بُدَّ مِنْ قَضَاءٍ. وَقَالَ مَعْمَرٌ: سَمِعْتُ هِشَامًا: لاَ أَدْرِي أَقَضَوْا أَمْ لاَ.

Maksudnya:  Kami berbuka puasa pada zaman Rasulullah SAW, ketika cuaca sedang mendung, kemudian matahari muncul (yakni belum terbenam). Ditanya kepada Hisyam: “Adakah mereka diperintahkan untuk menggantikan puasa?” Dia menjawab: “Pastinya wajib qadha’ (menggantinya).” Dan Ma‘mar berkata: Aku mendengar Hisyam (berkata): “Aku tidak tahu adakah mereka menggantikan puasa atau tidak”.[9]

Ibn Hajar al-Asaqalani di dalam Fath al-Bari menyatakan: Zahir riwayat yang menyatakan perlu qadha’ boleh jadi disandarkan kepada dalil yang lain, manakalah pada hadith Asma’ (hadith ini), tidak dithabitkan atau ditetapkan sama ada perlu qadha’ ataupun sebaliknya”.[10]

Syeikh al-Islam Abu al-Abbas Taqiyuddin Ibn Taimiyyah berkata: “Hal ini menunjukkan tidak wajib qadha (bagi yang berbuka kerana menyangka telah tenggelam matahari). Sesungguhnya jika Nabi SAW perintah untuk qadha’ sudah tentu perkara tersebut tersebar sepertimana tersebarnya mereka telah berbuka secara tersilap. Ketikamana tidak dinukilkan hal itu, ia menunjukkan baginda tiada memerintahkan untuk menqadha’kannya. Jika dikatakan: “bukankah telah ditanya kepada Hisyam: “Apakah mereka semua diperintahkan qadha? Lalu Hisyam menjawab: Sudah tentu kena qadha.” Dijawab: Hisyam menyatakan hal ini berdasarkan pandangannya, beliau tidak meriwayatkan daripada hadith. Ini menunjukkan beliau tiada maklumat tentang perkara ini. Ditambah pula Ma’mar ada meriwayatkan daripada Hisyam yang berkata: “Aku ada mendengar Hisyam berkata: “Aku tidak tahu apakah mereka qadha atau tidak.” Imam al-Bukhari menyatakan hal ini daripada Ma’mar. Dan ada juga nukilan daripada Hisyam sendiri daripada bapanya ‘Urwah yang menyatakan mereka tidak diperintahkan untuk qadha. Dan ‘Urwah adalah lebih tahu daripada anaknya (Hisyam).” [11]

Tarjih & Kesimpulan

Setelah menilai dan meneliti kedua-dua pendapat, kami lebih cenderung kepada batalnya puasa dan wajib bagi mereka untuk mengqadha’kan puasa disebabkan tersalah berbuka awal kerana syak matahari sudah tenggelam, sedangkan matahari sebenarnya belum tenggelam. Namun begitu, kesilapan yang dilakukan tersebut tidak dikira berdosa. Hal ini berdasarkan beberapa hujah:

  • Umum nas al-Qur’an di dalam Surah al-Baqarah ayat 187.
  • Kaedah fiqh menyebutkan:

الْأَصْلُ فِي كُلِّ حَادِثٍ تَقْدِيرُهُ بِأَقْرَبِ زَمَنٍ

Maksudnya: Asal bagi sesuatu perkara ditentukan dengan waktu yang paling hampir.

Berbuka puasa yang bukan pada waktunya menyebabkan batal puasa kerana waktu yang hampir dengannya ialah masih lagi belum masuk waktu berbuka yakni perlu terus berpuasa.

  • Ini juga selari dengan kaedah fiqh yang menyatakan:

لَا عِبْرَةَ بِالظَّنِّ الْبَيِّنِ خَطَؤُهُ

Maksudnya: Tidak diiktibarkan dengan zhan atau sangkaan yang nyata salahnya

Dalam isu ini, selepas diberitahu waktu Maghrib belum masuk, dan ternyata benar, makan zhan atau ghalabat al-zhan yang berlaku sebelum ini iaitu masuk waktu berbuka telah nyata salah dan silapnya. Maka yang berbuka sebelum waktu hendaklah mengqada’kan puasa yang terbatal itu selepas berakhirnya Ramadhan.

  • Imam Malik menyatakan di dalam satu riwayat di dalam al-Muwatta’, yang diriwayatkan daripada Khalid bin Aslam, katanya:

أَنَّ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ أَفْطَرَ ذَاتَ يَوْمٍ فِي رَمَضَانَ فِي يَوْمٍ ذِي غَيْمٍ، وَرَأَى أَنَّهُ قَدْ أَمْسَى وَغَابَتِ الشَّمْسُ. فَجَاءَهُ رَجُلٌ فَقَالَ: يَا أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ طَلَعَتِ الشَّمْسُ، فَقَالَ عُمَرُ: «الْخَطْبُ يَسِيرٌ وَقَدِ اجْتَهَدْنَا» قَالَ مَالِكٌ يُرِيدُ بِقَوْلِهِ: «الْخَطْبُ يَسِيرٌ» الْقَضَاءَ، فِيمَا نُرَى، وَاللَّهُ أَعْلَمُ

Maksudnya:  Umar Ibn al-Khattab pernah berbuka ketika mendung di petang bulan Ramadhan kerana menyangka saat itu matahari sudah tenggelam. Lalu datanglah seseorang mengkhabarkan bahawa matahari masih ada. Umar pun berkata: ‘Masalah yang mudah. Kita pun hanya berijtihad”’. Imam Malik menjelaskan pandangannya berkenaan kata-kata Umar iaitu ‘masalah yang mudah’ adalah bermaksud qadha’. Wallahua’lam.”[12]

Kami tegaskan di sini bahawa dalam era moden ini, boleh dikatakan tidak ada yang tidak mempunyai jam, takwim, mahupun aplikasi dalam telefon pintar yang menyatakan waktu berbuka. Maka sewajarnya kita lebih berhati-hati dan tidak terburu-buru berbuka puasa sebelum disahkan dengan yakin.

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata: “Para ulama sepakat bahawa waktu berbuka adalah apabila telah dipastikan matahari terbenam, baik dengan cara melihatnya mahupun dengan khabar daripada dua orang yang adil” [13]

Justeru, kami berpendapat bahawa usaha pihak radio mengumandangkan azan sebagai tanda masuk waktu dan berbuka puasa adalah amat baik. Tetapi, perlulah bagi pihak penyiaran radio atau TV lebih teliti dan cermat pada masa akan datang supaya kejadian seperti ini tidak lagi berlaku. Wallahua’lam.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 5 April 2022 bersamaan 3 Ramadhan 1443H

[1] Surah al-Baqarah: 187

[2] Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an, 2/321 

[3] Lihat Bada’i al-Sana’i fi Tartib al-Syarai’, 2/100

[4] Lihat Al-Kaafi Fi Fiqhi Ahli Al-Madinah1/350

[5] Lihat Raudhah al-Talibin, 2/363. Lihat juga Nihayat al-Muhtaj, 3/174Fath al-Mu’in, hlm. 269Mughni al-Muhtaj, 2/161.

[6] Lihat Al-Mughni, 3/145

[7] Lihat Al-Insaf Fi Ma’rifati al-Rajih Min al-Khilaf, 3/310

[8] Lihat Al-Muhalla Bi Al-Athar4/356

[9] Riwayat al-Bukhari (1959)

[10] Lihat Fath al-Bari, 4/200

[11] Lihat Majmu’ al-Fatawa, 25/231

[12] Lihat al-Muwatta’, 1/303

[13] Lihat Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 4/199

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *