#872: Mandi Pada Siang Ramadhan

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Bolehkah seseorang itu mandi selain daripada mandi wajib pada siang Ramadhan, terutamanya selepas Asar? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Islam sangat prihatin terhadap soal menjaga kebersihan dan bersuci. Ini kerana kebersihan merupakan sebahagian daripada ciri-ciri iman. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abu Malik al-Asy‘ari bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:

الطُّهُورُ شَطْرُ الإِيمَانِ

Maksudnya: “Bersuci itu adalah sebahagian daripada ciri-ciri keimanan.”[1]

Selain itu, perkara ini juga jelas dapat dilihat dalam beberapa hadith Nabi SAW. Antaranya ialah perintah supaya memotong kuku, membersihkan gigi dan pakaian sebagaimana riwayat daripada Abu Hurairah R.A:

الفِطْرَةُ خَمْسٌ، أَوْ خَمْسٌ مِنَ الفِطْرَةِ: الخِتَانُ، وَالِاسْتِحْدَادُ، وَنَتْفُ الإِبْطِ، وَتَقْلِيمُ الأَظْفَارِ، وَقَصُّ الشَّارِبِ

Maksudnya:Fitrah itu lima perkara; – atau beliau berkata: Lima perkara termasuk daripada fitrah; – berkhitan, mencukur bulu kemaluan, mencabut bulu ketiak, memotong kuku, dan memotong misai.”[2]

Begitu juga, gesaan supaya mandi pada keadaan tertentu. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

حَقٌّ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ، أَنْ يَغْتَسِلَ فِي كُلِّ سَبْعَةِ أَيَّامٍ يَوْمًا يَغْسِلُ فِيهِ رَأْسَهُ وَجَسَدَهُ

Maksudnya: Wajib ke atas seseorang Muslim untuk mandi pada setiap tujuh hari, iaitu dengan menyucikan kepalanya dan badannya.”[3]

Tambahan lagi, mandi termasuk dalam perkara bersuci dan juga merupakan salah satu cara membersihkan diri daripada kotoran.

Berbalik kepada soalan yang diajukan, orang yang berpuasa diharuskan untuk mandi dan perkara itu tidak menjejaskan puasanya. Mengenai hal ini, Ibn Qudamah menyebutkan, tidak mengapa orang yang berpuasa itu mandi — pada siang Ramadhan.[4] Di samping itu, Imam al-Nawawi juga ada menyebutkan bahawa hadith-hadith sahih yang menceritakan berkenaan perbuatan Baginda SAW melewatkan mandi janabah sehingga terbitnya fajar, dapat difahami bahawa ia adalah bertujuan bagi menjelaskan mengenai keharusannya — yakni mandi selepas terbitnya fajar.[5] Keharusan untuk mandi di siang Ramadhan, adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Aisyah dan Ummu Salamah bahawa:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُدْرِكُهُ الفَجْرُ وَهُوَ جُنُبٌ مِنْ أَهْلِهِ، ثُمَّ يَغْتَسِلُ، وَيَصُومُ

Maksudnya:Rasulullah SAW mendapati fajar telah pun terbit, sedangkan ketika itu Baginda masih lagi dalam keadaan berjunub setelah bergaul dengan isterinya. Kemudian Baginda mandi dan berpuasa.”[6]

Begitu juga terdapat riwayat daripada Abu Bakar bin ‘Abd al-Rahman, daripada sebahagian sahabat Nabi SAW, katanya:

رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَ النَّاسَ فِي سَفَرِهِ عَامَ الْفَتْحِ بِالْفِطْرِ، وَقَالَ: تَقَوَّوْا لِعَدُوِّكُمْ، وَصَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ أَبُو بَكْرٍ: قَالَ الَّذِي حَدَّثَنِي: لَقَدْ رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالْعَرْجِ يَصُبُّ عَلَى رَأْسِهِ الْمَاءَ، وَهُوَ صَائِمٌ مِنَ الْعَطَشِ، أَوْ مِنَ الْحَرِّ

Maksudnya:Aku melihat Rasulullah SAW memerintahkan orang ramai ketika dalam perjalanannya pada tahun penaklukan Makkah untuk berbuka. Baginda bersabda: ‘Perkuatkanlah tubuh kamu untuk menghadapi musuh,’ sedangkan Rasulullah SAW berpuasa. Abu Bakar berkata: Orang yang menyampaikan kepadaku berkata: ‘Sesungguhnya aku melihat Rasulullah SAW di al-‘Arj menuangkan air ke atas kepalanya kerana haus atau panas, sedangkan ketika itu Baginda sedang berpuasa.’[7]

Hadith ini merupakan dalil yang menunjukkan bahawa orang yang berpuasa diharuskan untuk mengurangkan rasa panas dengan menyiram air pada sebahagian anggota badannya atau pada seluruh badannya. Jumhur ulama berpendapat dengan pendapat ini dan tidak membezakan di antara mandi wajib mahupun mandi sunat atau mandi harus.[8]

Selain daripada itu, Imam al-Bukhari juga ada meletakkan dalam kitab sahihnya, ‘Bab Mandi bagi Orang yang Berpuasa.’ Kemudian beliau menyebutkan di bawah bab tersebut:

وَبَلَّ ابْنُ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا ثَوْبًا، فَأَلْقَاهُ عَلَيْهِ وَهُوَ صَائِمٌ. وَدَخَلَ الشَّعْبِيُّ الحَمَّامَ وَهُوَ صَائِمٌ. وَقَالَ الحَسَنُ: لاَ بَأْسَ بِالْمَضْمَضَةِ، وَالتَّبَرُّدِ لِلصَّائِمِ. وَقَالَ أَنَسٌ: إِنَّ لِي أَبْزَنَ أَتَقَحَّمُ فِيهِ، وَأَنَا صَائِمٌ

Maksudnya:Ibn Umar membasahkan pakaian, lalu memakainya, sedangkan ketika itu beliau sedang berpuasa. Begitu juga, al-Sya‘bi masuk ke tempat mandi, sedangkan ketika itu dia sedang berpuasa. Al-Hasan pula berkata: ‘Tidak mengapa berkumur-kumur dan menyejukkan badan (dengan air) bagi orang yang sedang berpuasa.’ Selain itu, Anas berkata: ‘Sesungguhnya aku memiliki satu takungan air, yang mana aku masuk ke dalamnya, sedangkan aku sedang berpuasa.’[9]

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani  ketika mengulas kenyataan Imam al-Bukhari ini menyebutkan, perkataannya ‘Bab Mandi bagi Orang yang Berpuasa’ bermaksud bagi menjelaskan keharusannya. Al-Zain bin al-Munir menyatakan bahawa perkataan “اغْتِسَال” (mandi) datang dalam bentuk mutlak bagi meliputi mandi sunat, mandi wajib dan mandi harus. Seolah-olah beliau ingin memberi isyarat mengenai kedhaifan hadith yang diriwayatkan daripada Ali berkenaan larangan memasuki tandas bagi orang yang berpuasa. Hadith ini telah diriwayatkan oleh ‘Abd al-Razzaq dan dalam sanadnya terdapat perawi dhaif. Walau bagaimanapun, ulama mazhab Hanafi berpegang dengannya. Oleh sebab itu, mereka berpendapat makruh hukumnya mandi bagi orang yang berpuasa.[10]

Begitu juga, Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari al-Syafi‘i menulis dalam Sabil al-Muhtadin bahawa tidak dimakruhkan bagi orang yang berpuasa mandi, berminyak dan bercelak. Hal ini kerana yang demikian itu hanyalah khilaf aula yakni menyalahi yang terutamanya. Justeru yang terutama bagi orang yang berpuasa bahawa adalah janganlah dia mandi, berminyak dan bercelak kerana menurut mazhab Imam Malik batal puasa kerana bercelak.[11]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa tidak mengapa dan tidak makruh bagi orang yang berpuasa itu untuk mandi pada siang Ramadhan, termasuklah selepas Asar atau mana-mana waktu sekalipun, berdasarkan kepada hadith-hadith yang sahih. Walau bagaimanapun, orang yang berpuasa itu diingatkan agar berhati-hati ketika mandi dan menjaga dengan sebaik-baiknya, supaya air tidak memasuki rongga-rongganya yang terbuka sehingga menyebabkan puasanya terbatal.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 5 April 2022 bersamaan 3 Ramadhan 1443H

 

[1] Riwayat Muslim (223)

[2] Riwayat al-Bukhari (5889); Muslim (257)

[3] Riwayat al-Bukhari (897); Muslim (849)

[4] Lihat al-Mughni, 3/18.

[5] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 6/377.

[6] Riwayat al-Bukhari (1925-1927)

[7] Riwayat Abu Daud (2365)

[8] Lihat ‘Aun al-Ma‘bud, 6/352.

[9] Lihat Sahih al-Bukhari, 3/30.

[10] Lihat Fath al-Bari, 4/153.

[11] Lihat Sabil al-Muhtadin, 2/137.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *