Sale!
Original price was: RM28.00.Current price is: RM20.00.
Sale!
Original price was: RM35.00.Current price is: RM20.00.
Sale!

Buku Fizikal

Taufan Al-Aqsa

Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM40.00.Current price is: RM30.00.
Sale!

Buku Fizikal

Hakikat Dajjal

Original price was: RM13.00.Current price is: RM9.10.
Sale!
Original price was: RM70.00.Current price is: RM60.00.

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Kenapa maksiat masih banyak di bulan Ramadhan, sedangkan dalam hadith menyebut bahawa syaitan dibelenggu?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا جَاءَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ، وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ، وَصُفِّدَتِ الشَّيَاطِينُ

Maksudnya: “Apabila datangnya Ramadhan maka dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan.”[1]

Dalam lafaz yang lain, disebutkan:

إِذَا كَانَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الرَّحْمَةِ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ جَهَنَّمَ وَسُلْسِلَتِ الشَّيَاطِينُ

Maksudnya: “Apabila masuk bulan Ramadhan, pintu-pintu rahmat dibuka, pintu-pintu Jahannam ditutup dan syaitan-syaitan pun dibelenggu.”[2]

Dalam menjelaskan hadith di atas, Syeikh al-Izz bin Abd al-Salam berkata: Adapun yang dimaksudkan dengan terbukanya pintu syurga pada bulan Ramadhan adalah satu perumpamaan daripada banyaknya ketaatan, yang dapat menjadi penyebab terbukanya pintu-pintu syurga. Yang dimaksudkan dengan ditutupnya pintu neraka adalah perumpamaan daripada sedikitnya maksiat (pada bulan Ramadhan), yang menjadi penyebab tertutupnya pintu neraka. Sedangkan maksud daripada terbelenggunya syaitan adalah perumpamaan kepada terlepasnya orang-orang yang sedang melakukan puasa daripada bisikan-bisikan syaitan, kerana orang yang berpuasa tidak akan terlalu berkeinginan untuk melakukan maksiat.[3]

Menurut al-Qadhi ‘Iyadh, hadith di atas boleh ditafsir secara zahir dan secara hakikat, di mana pintu-pintu syurga memang dibuka, pintu-pintu neraka memang ditutup dan syaitan-syaitan dirantai sebagai tanda kemuliaan dengan masuknya bulan Ramadan. Di samping syaitan dirantai untuk menegah mereka daripada mengganggu dan memperdaya orang yang beriman.[4]

Menurut beliau, terbukanya pintu syurga, tertutupnya pintu neraka dan terbelenggunya syaitan adalah tanda masuknya bulan Ramadhan, mulianya bulan tersebut dan syaitan juga terhalang daripada mengganggu orang beriman. Ini juga isyarat bahawa pahala dan keampunan daripada Allah SWT begitu banyak pada bulan Ramadhan. Hasutan dan godaan syaitan terhadap manusia juga berkurangan kerana mereka bagaikan para tahanan ketika itu.[5]

Kata al-Qadhi ‘Iyadh lagi: Boleh juga membawa maksud bahawa terbukanya pintu syurga kerana Allah SWT memudahkan pelbagai ketaatan terhadap hamba-Nya pada bulan Ramadhan seperti puasa dan solat malam. Hal ini berbeza dengan bulan-bulan yang lain. Pada bulan Ramadhan, orang akan lebih sibuk melakukan kebaikan daripada melakukan maksiat. Inilah sebab mereka dapat memasuki syurga dan pintunya. Sedangkan tertutupnya pintu neraka dan terbelenggunya syaitan, inilah yang menjadikan seseorang lebih mudah menjauhi maksiat ketika itu.[6]

Bagaimana dengan maksud syaitan yang dibelenggu dalam hadith ini?

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menukilkan bahawa al-Hulaimi berkata: “Ada kemungkinan bahawa yang dimaksudkan adalah syaitan yang mencuri berita langit. Belenggu ini berlaku pada malam-malam Ramadhan, bukan pada siang harinya, kerana pdaa masa turunnya al-Quran, syaitan-syaitan telah dihalang daripada mencuri berita. Kemudian mereka dibelenggu untuk lebih menjamin keamanan. Ada juga kemungkinan yang dimaksudkan adalah syaitan tidak dapat mengganggu umat Islam kerana mereka sibuk melaksanakan ibadah puasa, di mana dalam puasa tersebut, mereka berusaha untuk mengalahkan nafsu syahwat. Di samping itu, mereka juga sibuk berzikir dan membaca al-Quran.”

Menurut al-Hafiz Ibn Hajar lagi: “…Berdasarkan sebahagian pandangan, yang dimaksudkan syaitan dalam hadith ini merujuk kepada sebahagiannya, iaitu mereka yang ganas lagi menentang (bukan semua syaitan). Sebab itulah Ibnu Khuzaimah membuat judul bab dalam kitab Sahihnya untuk hadis berkaitan, lalu beliau menyebutkan hadis diriwayatkannya sendiri dan juga diriwayatkan oleh at-Tirmidzi, an-Nasaa’i, Ibnu Majah, dan al-Hakim… (sebagaimana di atas).”[7]

Jika diteliti, terdapat satu bab dalam Sahih Ibn Khuzaimah yang dinamakan:

بَابُ ذِكْرِ الْبَيَانِ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّمَا أَرَادَ بِقَوْلِهِ: «وَصُفِّدَتِ الشَّيَاطِينُ» مَرَدَةُ الْجِنِّ مِنْهُمْ، لَا جَمِيعَ الشَّيَاطِينِ «إِذِ اسْمُ الشَّيَاطِينِ قَدْ يَقَعُ عَلَى بَعْضِهِمْ

Maksudnya: “Bab penjelasan terhadap apa yang dimaksudkan dengan Sabda Nabi SAW: ‘Dan dibelenggulah syaitan-syaitan yang ganas (atau besar).” Bukan merujuk kepada seluruh syaitan kerana sebutan (atau istilah) syaitan-syaitan adakalanya digunakan untuk sebahagian dari mereka.[8]

Syeikh Anwar al-Kashmiri menyebut: “(Dibelenggu syaitan-syaitan) di sisi riwayat Tirmidzi: Jin yang ganas. Justeru, tidak lazim bahawa dirantai keseluruhannya.”[9]

Menurut Dr. Muhammad Uqlah pula, maksud tambatan atau ikatan tersebut adalah dengan kurangnya godaan dan menyakiti mereka. Inilah sepertimana dijelaskannya dalam kitab Ahkam al-Siyam.

Berdasarkan apa yang telah dinyatakan di atas, kami cenderung bahawa maksud syaitan yang dibelenggu itu adalah:

  • Hanya sebahagian syaitan sahaja yang dibelenggu iaitu yang besar atau ganas (مَرَدَةُ الْجِنِّ) manakala selebihnya masih ada.
  • Ia juga membawa maksud syaitan tidak bebas menggoda orang-orang yang beriman berbanding bulan-bulan yang lain.

Al-Hafiz Ibn Hajar menukilkan daripada al-Hulaimi yang menyatakan maksud dibelenggu itu mengandungi makna para syaitan tidak dapat sampai memberi ujian/godaan kepada umat Islam sepertimana di luar bulan Ramadhan disebabkan umat Islam menyibukkan diri dengan berpuasa yang berperanan melemahkan syahwat, demikian juga mereka sibuk dengan membaca al-Quran dan berzikir.[10]

Penutup

Berdasarkan persoalan di atas, kami nukilkan kenyataan Imam al-Qurtubi sebagaimana yang disebut oleh Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani: “Sesungguhnya gangguan syaitan hanya berkurang terhadap orang-orang berpuasa yang memelihara syarat-syarat puasa dan adab-adabnya. Atau yang dibelenggu hanya sebahagian syaitan sahaja, iaitu yang ganas dari kalangan mereka, bukan semuanya sebagaimana dinyatakan dalam sebahagian riwayat. Atau yang dimaksudkan adalah berkurangnya kejahatan dalam bulan Ramadhan, dan ini merupakan perkara yang dapat dirasakan, di mana kejahatan ketika bulan Ramadhan lebih sedikit jika dibandingkan dengan bulan-bulan selainnya. Jika semua syaitan dibelenggu (sekalipun), tidak bermakna bahawa tidak akan berlakunya kejahatan dan kemaksiatan, kerana sebab berlakunya kemaksiatan itu juga disebabkan oleh beberapa faktor lain seperti jiwa yang jahat, adat kebiasaan yang tidak baik, dan (pengaruh) syaitan daripada jenis manusia.[11]

Hal ini juga sepertimana dijelaskan oleh Abu al-‘Abbas al-Qurtubi, dimana dalam menjelaskan hadith di atas, beliau menyebut:

  • Syaitan diikat daripada orang yang mengerjakan puasa dengan menjaga syarat dan adab ketika berpuasa. Adapun bagi mereka yang tidak mengerjakan puasa dengan benar, maka syaitan tidaklah terbelenggu daripadanya.
  • Meskipun seandainya kita mengatakan bahawa syaitan tidak mengganggu orang yang berpuasa, tetap sahaja maksiat boleh berlaku disebabkan faktor lain, iaitu dorongan hawa nafsu yang selalu mengajak kepada kejahatan, adat kebiasaan dan gangguan daripada syaitan manusia.
  • Boleh juga dengan maksud bahawa syaitan yang diikat adalah syaitan secara umum dan yang memiliki pasukan, manakala yang tidak memiliki pasukan tidaklah dibelenggu.

Dasarnya, ia membawa maksud bahawa kejahatan itu berkurangan pada bulan Ramadhan dan hal ini jelas berlaku (pada bulan Ramadhan) berbanding pada bulan-bulan yang lain.[12]

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 5 April 2022 bersamaan 3 Ramadhan 1443H

The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.

 

[1] Riwayat al-Bukhari (1898) dan Muslim (1079)

[2] Riwayat al-Bukhari (3277) dan Muslim (1079)

[3] Lihat Fawa’id al-Saum, hlm. 38

[4] Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 7/167

[5] Lihat Fath al-Bari, 4/114 dan Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 7/167

[6] Lihat Fath al-Bari, 4/114 dan Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 7/167)

[7] Lihat Fath al-Bari, 4/114

[8] Lihat Sahih Ibn Khuzaimah, 1/188

[9] Lihat Faidh al-Bari ‘ala Sahih al-Bukhari, 3/327

[10] Lihat Fath al-Bari, 4/114

[11] Lihat Fath al-Bari, 4/114

[12] Lihat al-Mufhim li ma Asykala min Talkhis Kitab Muslim, 3/136

Leave a Reply