#913 Kaffarah Jimak; Suami Sahaja atau Kedua-duanya Sekali

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Adakah isteri yang berjimak pada siang Ramadhan turut dikenakan kaffarah sebagaimana suaminya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمۡ لَيۡلَةَ ٱلصِّيَامِ ٱلرَّفَثُ إِلَىٰ نِسَآئِكُم

Maksudnya:Telah dihalalkan buat kamu pada malam hari puasa itu untuk bersama dengan isteri kamu.”[1]

Cara memahami hukum berdasarkan ayat ini adalah dengan menggunakan kaedah mantuq dan juga mafhum dalam usul fiqh. Mantuq bermaksud perkara yang dituturkan manakala mafhum pula bererti sesuatu yang difahami daripada ayat yang dituturkan. Oleh itu, apabila Allah SWT menyatakan bahawa telah dihalalkan bagi kita untuk bersama dengan isteri pada malam hari puasa, maka ini merupakan mantuq (yang dituturkan). Manakala mafhum — yakni yang difahami — daripada ayat ini pula adalah haramnya bersama dengan isteri di siang hari bulan puasa.

Bersetubuh dengan isteri pada siang hari Ramadhan, termasuk dalam perkara yang membatalkan puasa. Mengenai hal ini, Dr. Muhammad al-Zuhaili menyebutkan, persetubuhan pada siang hari Ramadhan secara sengaja membatalkan puasa secara ijmak ulama, sekalipun tidak berlaku inzal — yakni keluar air mani. Manakala persetubuhan yang dilakukan pada malam hari Ramadhan tidak menjejaskan puasanya berdasarkan ayat di atas kerana perkataan “ٱلرَّفَثُ” dalam ayat itu bermaksud jimak.[2]

Selain itu, dinyatakan dalam al-Fiqh al-Manhaji bahawa sesiapa yang sengaja membatalkan puasa Ramadhan dengan melakukan persetubuhan, dengan syarat dia menyedari bahawa dirinya berpuasa, mengetahui perbuatannya itu haram dan bukan dalam bermusafir yang diberikan keringanan, maka dia wajib dikenakan kaffarah. Justeru, mereka yang terlupa dirinya sedang berpuasa Ramadhan, jahil tentang haramnya membatalkan puasa selain puasa Ramadhan dengannya, sengaja membatalkan puasa Ramadhan selain persetubuhan atau dalam musafir yang diharuskan berbuka, lalu dia melakukan persetubuhan, dalam semua keadaan tersebut, dia wajib qadha’ sahaja puasanya yang ditinggalkan itu tanpa kaffarah.[3]

Seterusnya, kaffarah yang wajib — secara tertib dan tidak boleh pergi kepada yang seterusnya melainkan tidak mampu pada yang sebelumnya — kerana membatalkan puasa Ramadhan dengan persetubuhan ialah:

  1. Membebaskan seorang hamba sahaya yang beragama Islam sama ada lelaki atau perempuan.
  2. Sekiranya tidak mampu, dia hendaklah berpuasa dua bulan berturut-turut.
  3. Dan jika tidak mampu, dia hendaklah memberi makan 60 orang miskin setiap orang secupak makanan kebiasaan penduduk negeri itu.

Jika tidak mampu juga, kaffarah tetap menjadi tanggungannya sehinggalah dia mampu melakukan satu daripadanya.[4] Hal ini adalah berdasarkan kepada hadith daripada Abu Hurairah R.A, beliau berkata:

بَيْنَمَا نَحْنُ جُلُوسٌ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، إِذْ جَاءَهُ رَجُلٌ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ هَلَكْتُ. قَالَ: «مَا لَكَ؟» قَالَ: وَقَعْتُ عَلَى امْرَأَتِي وَأَنَا صَائِمٌ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «هَلْ تَجِدُ رَقَبَةً تُعْتِقُهَا؟» قَالَ: لاَ، قَالَ: «فَهَلْ تَسْتَطِيعُ أَنْ تَصُومَ شَهْرَيْنِ مُتَتَابِعَيْنِ»، قَالَ: لاَ، فَقَالَ: «فَهَلْ تَجِدُ إِطْعَامَ سِتِّينَ مِسْكِينًا». قَالَ: لاَ، قَالَ: فَمَكَثَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَبَيْنَا نَحْنُ عَلَى ذَلِكَ أُتِيَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِعَرَقٍ فِيهَا تَمْرٌ – وَالعَرَقُ المِكْتَلُ – قَالَ: «أَيْنَ السَّائِلُ؟» فَقَالَ: أَنَا، قَالَ: «خُذْهَا، فَتَصَدَّقْ بِهِ» فَقَالَ الرَّجُلُ: أَعَلَى أَفْقَرَ مِنِّي يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ فَوَاللَّهِ مَا بَيْنَ لاَبَتَيْهَا – يُرِيدُ الحَرَّتَيْنِ – أَهْلُ بَيْتٍ أَفْقَرُ مِنْ أَهْلِ بَيْتِي، فَضَحِكَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَتَّى بَدَتْ أَنْيَابُهُ، ثُمَّ قَالَ: أَطْعِمْهُ أَهْلَكَ

Maksudnya:Ketika kami sedang duduk di sisi Nabi SAW, tiba-tiba seorang lelaki datang kepadanya, lalu berkata: ‘Wahai Rasulullah! Aku telah binasa.’ Baginda bertanya: ‘Ada apa denganmu?’ Dia menjawab: ‘Aku telah menyetubuhi isteriku, sedangkan aku berpuasa.’ Lalu Nabi SAW bertanya: ‘Adakah engkau boleh mendapatkan hamba untuk dimerdekakan?’ Jawabnya: ‘Tidak.’ Baginda bertanya lagi: ‘Adakah engkau mampu berpuasa dua bulan berturut-turut?’ Jawabnya: ‘Tidak.’ Setelah itu, Baginda bersabda lagi: ‘Adakah engkau mampu memberi makan kepada 60 orang miskin?’ Jawabnya: ‘Tidak.’ Nabi SAW diam seketika. Semasa kami berkeadaan demikian, dibawakan kepada Nabi SAW  satu bakul yang berisi kurma di dalamnya. – “العَرَقُ” ialah “المِكْتَلُ” iaitu bakul – Lalu Baginda bersabda: ‘Di manakah orang yang bertanya tadi?’ Dia menjawab: ‘Aku.’ Baginda bersabda: ‘Ambillah ini dan sedekahkanlah ia (sebagai kaffarah).’ Dia bertanya lagi: ‘Adakah (diberikan) ke atas orang yang lebih fakir daripadaku wahai Rasulullah? Demi Allah, tidak ada antara dua tempat berbatu di Madinah – iaitu maksudnya dua tempat berbatu hitam – penghuni rumah yang lebih miskin daripada penghuni rumahku.’ Nabi SAW tertawa sehingga kelihatan giginya, lalu bersabda: ‘Berilah makan (kurma itu) kepada ahli keluargamu.’[5]

Berbalik kepada soalan yang diajukan, secara umumnya, menurut mazhab Syafi‘i, kaffarah ini hanya diwajibkan ke atas suami yang berjimak sahaja. Oleh itu, ia tidak diwajibkan ke atas isteri atau perempuan yang disetubuhi, sekalipun mereka berpuasa.  Hal ini kerana jenayah atau kejahatan orang yang menyetubuhinya adalah lebih berat. Oleh itu, dia lebih sesuai dikenakan kaffarah tersebut.[6] Dr. Muhammad al-Zuhaili juga ada menyebutkan, diwajibkan kaffarah hanya kepada suami yang berjimak dan tidak ada apa-apa dikenakan ke atas isteri, sekalipun dia berpuasa. Hal ini kerana kaffarah itu merupakan hak harta yang khusus dengan sebab jimak, maka dikhususkan pada lelaki dengannya dan bukannya pada perempuan seperti mahar. Begitu juga kerana perbuatan berjimak itu disandarkan kepada suami, maka dengan sebab itulah diwajibkan ke atasnya kaffarah. Sekalipun begitu, wajib ke atas perempuan menggantikan (qadha’) puasanya sahaja.[7]

Selain daripada itu, terdapat juga dalam kalangan ulama yang berpendapat bahawa isteri yang berjimak pada siang Ramadhan secara sukarela turut dikenakan kaffarah. Perkara ini jelas sebagaimana disebutkan oleh al-Buhuti bahawa, isteri yang berjimak pada siang Ramadhan secara sukarela, tidak jahil akan hukum haramnya dan tidak terlupa bahawa sedang berpuasa adalah seperti lelaki — yakni suaminya — dari segi kewajipan untuk qadha’ (menggantikan puasa) dan kaffarah. Hal ini kerana dia telah mencemari kesucian puasa Ramadhan dengan berjimak (pada siangnya) secara sukarela. Justeru, dia menyerupai lelaki — dari segi hukum dalam hal ini.[8]

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa kaffarah kerana bersetubuh pada siang Ramadhan hanya diwajibkan ke atas suami sebagaimana pendapat dalam mazhab Syafi‘i. Justeru, bagi isteri yang berjimak, hanya diwajibkan untuk qadha’ (menggantikan puasa) dan tidak dikenakan kaffarah.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 8 April 2022 bersamaan 6 Ramadhan 1443H

 

[1] Surah al-Baqarah: 187

[2] Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/184.

[3] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/116.

[4] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/115; al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/204.

[5] Riwayat al-Bukhari (1936)

[6] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/116.

[7] Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/204.

[8] Lihat Syarh Muntaha al-Iradat, 1/486.

One thought on “#913 Kaffarah Jimak; Suami Sahaja atau Kedua-duanya Sekali

  1. Hamba Allah says:

    Assalamualaikum.

    1. Bagaimana jika pasangan yang belum berkahwin,tetapi berjimak di bulan puasa dan mereka tidak mengetahui tentang akibatnya dari segi denda ini, adakah mereka masih dikenakan kaffarah?Dalam erti kata lain mereka jahil tentang hukum hakam ini.

    2. Bagaimanakah kiraan kaffarah ini untuk pasangan yang berzina setelah 10 tahun namun mereka masih tidak membayar kafarah atau qada puasa.

    Mohon pencerahan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *