Soalan

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah bahasa yang ditanya oleh malaikat kepada si mati dalam kubur?

 

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Al-Mubarakfuri dan al-Munawi berkata: Sesungguhnya Munkar dan Nakir merupakan malaikat yang menyoal hamba-hamba apabila mereka keluar daripada dunia (sesudah mati). Sebab dinamakannya kerana dia mengingkari hamba yang ditanya kedua-duanya dalam bentuk tidak mengenalinya serta tidak melihatnya sebelum itu seperti bentuknya. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 8/187; Mirqat al-Mafatih, 1/210)

Terdapat hadith berkenaan dengan soalan di dalam kubur oleh malaikat yang diriwayatkan daripada al-Barra bin ‘Azib RA, katanya:

Kami keluar bersama Nabi SAW menghantar mayat seorang lelaki daripada Ansar. Maka kami tiba di tanah perkuburan.(dan pada masa itu) kubur sedang digali liang lahadnya. Kemudian Rasulullah duduk, dan kami duduk di sekelilingnya. (suasana sangat tenang) seolah-olah ada burung di atas kepala kami. Dan di tangan baginda terdapat sebatang kayu yang dipukulnya ke tanah. Kemudian baginda mengangkat kepalanya dan berkata:

اِسْتَعِيذُوا بِاللَّهِ مِن عَذَابِ القَبرِ مرَّتينِ، أو ثلاثًا، زادَ في حديثِ جريرٍ هاهنا وقالَ: وإنَّهُ ليسمَعُ خفقَ نعالِهم إذا ولَّوا مُدبرِينَ حِينَ يُقَالُ لَهُ: يَا هَذَا، مَن ربُّكَ وَمَا دِينُكَ وَمَن نَبيُّكَ؟…

Maksudnya: Mohonlah perlindungan daripada Allah daripada azab kubur (baginda mengucapkan sebanyak dua kali ataupun tiga kali). Sesungguhnya dia apabila mendengar tapak selipar meninggalkan kuburnya, maka dikatakan kepadanya: wahai kamu, siapa tuhan kamu, apa agama kamu dan siapa Nabi kamu?”

Riwayat Abu Dawud (4753) dan Nasaie (2001), Ibn Majah (1549) dan Ahmad (18557)

Bahasa Yang Ditanya Oleh Malaikat Kepada Si Mati Dalam Kubur

Masalah ini menjadi khilaf dalam kalangan ulama, sebahagian daripada mereka menyebut bahasa yang digunakan adalah bahasa Suryani[1], tetapi tiada nas qat’ie yang menyatakan sedemikian.

Kami faham bahawa malaikat akan bertanya kepada si mati dengan bahasa yang difahaminya. Sekiranya dia seorang lelaki yang soleh, maka jawapannya akan mudah. Jika dia seoranga kafir atau derhaka dlm hidupnya, ia akan jadi sukar dan payah untuk dijawab. Kami berpendapat bahawa si mati akan ditanya di dalam bahasa arab berdasarkan umum hadith Nabi SAW, akan tetapi kami bersetuju dengan pandangan Syeikh Ahmad al-Syarbasi di dalam kitabnya  Yas alunaka fi al-Din wa al-Hayah:Allah SWT sahaja yang mengetahui hakikat sebenar yang berlaku di sana”. (Lihat Yas alunaka fi al-Din wa al-Hayah, 6/277)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa si mati akan ditanya di dalam bahasa arab berdasarkan umum hadith Nabi SAW, namun begitu, Allah SWT sahaja yang mengetahui hakikat sebenar  dan bahasa yang dituturkan dan setiap apa yang  berlaku di sana.

Setiap perkara yang terjadi selepas daripada kematian merupakan perkara ghaibiat yang tidak akan kita ketahui melainkan terdapat dalil daripada al-Quran dan Sunnah yang menceritakannya. Tidak ada yang mengetahui hal ghaib melainkan Allah SWT sahaja sebagaimana firman-Nya:

قُل لَّا يَعْلَمُ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ الْغَيْبَ إِلَّا اللَّهُ ۚ وَمَا يَشْعُرُونَ أَيَّانَ يُبْعَثُونَ ‎

Maksudnya: Katakanlah lagi: Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah!” Dan tiadalah mereka menyedari bilakah masing-masing akan dibangkitkan hidup semula (sesudah mati).”

(Surah al-Naml: 65)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahu a`lam

Bertarikh: 11 Mac 2022 bersamaan 8 Syaaban 1443H

[1] Bahasa Suryani adalah sebuah bahasa Aram Timur yang pernah dipertuturkan di sebahagian besar wilayah Bulan Sabit Subur. Namun secara luas definisi bahasa Suryani ialah semua bahasa Aram Timur yang dipertuturkan oleh komuniti Kristian di Timur Tengah. Bahasa Aram atauoun Bahasa Aramia ialah bahasa Semitik dengan sejarah selama 3,000 tahun. Bahasa ini pernah merupakan bahasa pentadbiran untuk empayar-empayar. Bahasa Aramia ialah bahasa asal untuk sebahagian besar Kitab Daniel dan Uzair dalam Kitab Injil, dan adalah bahasa utama untuk Kitab Talmud.  Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Bahasa_Suryani dan https://ms.wikipedia.org/wiki/Bahasa_Aramia

Leave a Reply