#675 Menolong Ahli Kitab Dalam Urusan Pengebumian

Rated 0 out of 5
RM5.00

Buku Fizikal

Salam Terakhir

Rated 0 out of 5
RM25.00
Rated 0 out of 5
RM25.00
Rated 0 out of 5
RM25.00
-53%

Siri Perkahwinan

[eBook]Baiti Jannati

Rated 0 out of 5
RM20.00
Rated 0 out of 5
RM10.00
-18%

Buku Fizikal

Rahiq Makthum

Rated 0 out of 5
RM65.00RM130.00

Soalan

Apakah  dibolehkan seseorang Islam pergi ke perkuburan ahli kitab untuk menolong perkebumian mereka?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Ahli Kitab di dalam al-Qur’an secara jelasnya merujuk kepada mereka yang beragama Yahudi dan Kristian yang berpegang kepada Taurat dan Injil. Pun begitu, ulama’ berbeza pandangan dalam menentukan definisi ahli Kitab.

Imam al-Syafie mengkhususkan Ahli Kitab kepada keturunan Bani Israel yang beragama Yahudi dan Kristian. Mereka yang bukan daripada keturunan Bani Israel, tidak tergolong dalam Ahli Kitab walaupun menganut agama Yahudi dan Kristian, tidak termasuk dalam golongan Ahli Kitab. Ini kerana, Nabi Musa dan Nabi Isa hanya diutuskan kepada Bani Israel dan bukan kaum lain. Sebagaimana Taurat dan Injil diturunkan hanya kepada mereka, maka al-Qur’an menamakan mereka sebagai Ahli Kitab. [1]

Imam al-Syirazi juga berpandangan sebagaimana Imam al-Syafie. Firman Allah SWT:

أَنْ تَقُولُوا إِنَّمَا أُنْزِلَ الْكِتَابُ عَلَى طَائِفَتَيْنِ مِنْ قَبْلِنَا وَإِنْ كُنَّا عَنْ دِرَاسَتِهِمْ لَغَافِلِينَ

Maksudnya: Supaya kamu tidak mengatakan: “Bahawa Kitab (agama) itu hanya diturunkan kepada dua golongan (Yahudi dan Nasrani) dahulu sebelum kami, dan sesungguhnya kami lalai (tidak faham) akan apa yang dibaca dan dipelajari oleh mereka.”[2]

Menurut Imam al-Syirazi, kalimah “dua golongan” (طَائِفَتَيْنِ) merujuk kepada Yahudi dan Kristian.[3]

Al-Shahrastani pula berpendapat bahawa Ahli Kitab tidak hanya dikhususkan kepada keturunan Bani Israel yang beragama Yahudi dan Kristian tetapi juga sesiapa sahaja yang menerima Taurat dan Injil, samada mereka mengamalkannya atau tidak.[4]

Menurut Imam Abu Hanifah, Ahli Kitab juga adalah mereka yang daripada wilayah Kaskar (daerah utara Kufah) dan Bata’ih (kawasan berpaya di utara Basrah) termasuk dalam penganut Kristian. Walaupun mereka banyak perbezaan daripada agama-agama lain; kerana Kristian itu terdapat banyak aliran seperti al-Marquniyyah, al-Aaryusiyyah, al-Maruniyyah. Ketiga-tiga aliran ini daripada mazhab al-Nisturiyyah dan al-Malkiyyah. Aliran al-Ya’qubiyyah berlepas diri daripada aliran-aliran ini dan mengharamkan mereka. Aliran mereka ini dinisbahkan kepada Yahya bin Zakaria, Shith dan mendakwa kitab-kitabnya kitab-kitab Allah yang diturunkan kepada Shith bin Adam, Yahya bin Zakaria dan Kristian menamakan mereka sebagai Yuhanna. [5]

Berdasarkan pandangan-pandangan di atas, kami melihat bahawa pandangan Imam al-Syafie dan juga Imam al-Syirazi lebih tepat dan menggambarkan apa yang dinyatakan di dalam al-Qur’an. Hal ini dikuatkan lagi dengan keputusan Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-14 yang bersidang pada 14 Julai 1977 yang memutuskan bahawa definisi Kafir Kitabi ialah orang Yahudi atau Nasrani:

Yang berketurunan Nabi Yaakub A.S., jika tidak diketahui datuk neneknya memeluk agama itu selepas dinasakhkan (dibatalkan) oleh agama yang berikutnya seperti agama Yahudi dinasakhkan oleh agama Nasrani dan agama Nasrani dinasakhkan oleh agama Islam; ATAU Yang bukan berketurunan Nabi Yaakub A.S., jika diketahui datuk neneknya memeluk agama itu sebelum dinasakhkan”.[6]

Hukum Seseorang Islam Pergi Ke Perkuburan Ahli Kitab Untuk Menolong Perkebumian Mereka

Firman Allah SWT:

لَّا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

Maksudnya: Allah tidak menghalang kamu terhadap golongan yang tidak memerangi kamu berkenaan agama dan mereka tidak mengeluarkan kamu dari tanahair kamu, dari kamu berbuat kebajikan kepada mereka dan berlaku adil kepada mereka. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.[7]

Ibn Kathir di dalam tafsirnya menyebut: Allah tidak melarang kamu berbuat baik kepada orang-orang kafir yang tidak memerangi kamu kerana agama, seperti kaum wanita dan orang-orang lemah di antara mereka, iaitu dengan berlaku baik kepada mereka serta berbuat adil terhadap mereka. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.[8]

Rasulullah SAW merupakan seorang yang sangat baik dalam urusan dan muamalah dengan jiran baginda dalam kalangan ahli Kitab, terutamanya ketika urusan takziah dan juga kematian. Manusia kebiasaannya memerlukan bantuan daripada jiran dan juga orang sekelilingnya dalam keadaan ini. Justeru, Islam tidak menghalang  untuk membantu jirannya atau kenalan rapatnya untuk membantu mengebumikan mereka selagi mana ia tidak menjejaskan agama dan akidahnya.

Dr. Ahmad al-Syarbasi menyatakan di dalam kitabnya Yas alunaka fi al-Din wa al-Hayah: Islam merupakan agama bersifat sejagat dan kemanusiaan, menyeru untuk bermualamah secara baik, berjiran dan membina hubungan sesama manusia, sekalipun berlainan bangsa, warna kulit dan lain-lain. Golongan masihi adalah ahli kitab yang agama islam memerintahkan untuk melakukan kebaikan kepada mereka dengan adil dan saksama di samping meraikan hubungan kemanusiaan [9]

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa diharuskan seseorang muslim menolong pengebumian ahli kitab. Hal ini bagi meraikan hubungan kemanusian selagi mana ia tidak menjejaskan akidah dan agama kita. Bahkan, ahli kitab merupakan golongan yang agama islam memerintahkan untuk melakukan kebaikan kepada mereka dengan adil dan saksama di samping meraikan hubungan kemanusiaan.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 11 Mac 2022 bersamaan 8 Syaaban 1443H

[1] Lihat al-Umm, 4/182

[2] Surah al-An’am: 156

[3] Lihat al-Muhazzab fi Fiqh al-Imam Syafie, 3/306

[4] Lihat al-Milal wa al-Nihal, 2/13

[5] Lihat Ahkam al-Qur’an, 3/118

[6] Lihat http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/10252

[7] Surah Al-Mumtahanah (8)

[8] Lihat Tafsir Ibn Kathir, 8/90

[9] Lihat Yas alunaka fi al-Din wa al-Hayah, 6/276-277

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *