Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Sebuah ambulans membawa seorang pesakit yang cedera kakinya akibat tersekat di mesin pengisar daging khinzir. Adakah perlu disamak ambulans yang membawa pesakit tersebut dan peralatan yang digunakan? Jika perlu disamak, bagaimana pula kaedahnya? Mohon penjelasan.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan sabda Nabi SAW:

الطُّهُورُ شَطْرُ الإِيمَانِ

Maksudnya: “Bersuci itu adalah antara ciri-ciri keimanan.”

Riwayat Muslim (223)

Islam sangat mengambil berat dalam hal bersuci dan kebersihan. Begitu juga, manusia cenderung kepada kebersihan dan secara tabi’i manusia tidak suka serta menjauhkan diri daripada kekotoran. Oleh sebab Islam adalah agama fitrah, maka secara tabi’i ia memerintahkan manusia supaya bersuci dan menjaga kebersihan.

Sudah menjadi satu kewajipan bagi seorang muslim untuk mengambil berat dan meneliti hal ehwal ibadatnya terutamanya yang berkaitan dengan perkara asas seperti bersuci. Ini adalah satu manifestasi melalui firman Allah SWT:

فِيهِ رِجَالٌ يُحِبُّونَ أَن يَتَطَهَّرُوا۟ ۚ وَٱللَّـهُ يُحِبُّ ٱلْمُطَّهِّرِينَ

Maksudnya: “Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya; dan Allah Mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin).

(Surah al-Taubah: 108)

Syeikh Mustafa al-Maraghi di dalam tafsirnya menyebut bahawa mereka-mereka yang beriman itu sentiasa mengambil tentang kebersihan ruh dan tubuh badan kerana amat cinta untuk membersihkan kedua-duanya. Mereka melihat bahawa kebersihan dua perkara tersebut adalah satu kesempurnaan untuk manusia. Oleh itu, mereka amat tidak suka kepada kekotoran dan najis yang ada pada badan dan pakaian bahkan mereka tidak suka kekotoran hati yang berupa maksiat kepada Allah. (Lihat Tafsir Al-Maraghi, 1/2273)

Bagi seorang muslim, bersuci adalah merupakan syarat wajib untuk melakukan ibadah khususnya solat. Sebelum menunaikan solat, Islam meletakkan bab tentang bersuci terlebih dahulu. Ini dapat dilihat apabila Islam memerintahkan umatnya agar bersuci dalam tiga perkara utama iaitu, memastikan kesucian diri, pakaian dan tempat untuk solat.

Definisi Ambulans

Ambulans merupakan kenderaan yang digunakan khas untuk membawa orang yang sakit atau cedera ke hospital. Ia merupakan kenderaan berkelengkapan alat perubatan untuk mengangkut dan merawat dalam keadaan cemas orang-orang yang sakit atau cedera semasa dalam perjalanan dari tempat kejadian menuju ke tempat rawatan lanjut.[1]

Pembahagian Najis

Pada asasnya, najis terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu Najis Mukhaffafah (ringan), Najis Mutawassitah (sederhana) dan Najis Mughallazah (berat). Perinciannya adalah seperti berikut:

  • Najis Mughallazah ialah anjing dan babi serta apa daripadanya.
  • Najis Mukhaffafah merupakan air kencing bayi lelaki yang hanya minum susu ibunya sahaja dan berumur tidak lebih daripada dua tahun.
  • Najis Mutawassitah pula adalah selain daripada kedua-dua jenis najis di atas. Najis Mutawassitah adalah seperti air kencing, najis haiwan dan darah. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/40-41)

Justeru, berdasarkan keterangan di atas, kita mengetahui bahawa babi termasuk dalam kategori najis mughallazah (berat) dan wajib dicuci mengikut kaedah yang ditetapkan oleh syarak. Hal ini adalah sebagaimana firman Allah SWT:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنزِيرِ

Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya).”

(Surah al-Maidah: 3)

Imam Jalaluddin al-Suyuti menyebut dalam kitab tafsirnya tentang pengharaman khinzir: “Syarak menyebut daging secara khusus kerana itulah subjek yang lebih banyak dan ketara sedangkan bahagian-bahagian lain itu hukumnya mengikut hukum daging itu.” (Lihat Tafsir al-Jalalain, hlm. 35)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebutkan bahawa pengharamkan babi itu meliputi semua bahagiannya sehingga pada lemak dan kulitnya. Adapun dikhususkan dengan menyebut dagingnya sahaja kerana ia merupakan tujuan yang terpenting — yakni untuk dimakan. Sesungguhnya syarak telah melarang untuk mengambil manfaat daripada semua bahagian babi. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 6/77)

Syeikh Dr. Muhammad Zuhaili di dalam kitabnya menyatakan apa yang terdapat pada ain anjing dan khinzir sama ada bangkai, darah, air kencing dan sebagainya adalah najis. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 1/47)

Allah SWT turut berfirman:

أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ

Maksudnya: “Atau daging babi kerana sesungguhnya ia adalah kotor.”

(Surah al-An‘am: 145)

Cara Menyucikan Najis Mughallazah

Sebagaimana maklum, pendapat muktamad dalam mazhab al-Syafie bahawa najis mughallazah hanya boleh disucikan dengan tasbi` iaitu basuhan air mutlak sebanyak tujuh kali, dan tatrib, yakni salah satu daripada basuhan tadi dicampur dengan tanah. (Lihat al-Majmu` Syarh al-Muhazzab, 2/585)

Khinzir merupakan najis berat apabila kita diqiaskan dengan anjing yang juga merupakan najis berat. Ini kerana keadaan khinzir adalah lebih buruk sifat kefasikannya berbanding anjing. Maka cara penyucian najis mughallazah, sepertimana yang difahami daripada hadis Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

طَهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ فِيهِ الْكَلْبُ، أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أُولَاهُنَّ بِالتُّرَابِ

Maksudnya: “Sucinya bekas salah seorang di antara kamu apabila ia (bekas) dijilat anjing adalah dengan cara membasuhnya sebanyak tujuh kali dan yang pertama (basuhan) dengan tanah.”

Riwayat Muslim (279)

Inilah yang disebut dalam Bahasa Malaysia sebagai teknik sertu.

Pengarang al-Fiqh al-Manhaji turut menjelaskan isu ini seperti berikut: Cara-cara bersuci daripada najis mughallazah iaitu anjing dan babi dibasuh dengan air sebanyak tujuh kali, dan satu daripadanya adalah dengan air tanah sama ada najis tersebut najis aini atau hukmi, dan sama ada terkena pada pakaian, badan atau tempat. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/192)

Perlukah Menyertu Ambulans Tersebut?

Ulama’ al-Syafi’eyyah dan al-Hanabilah telah berpandangan bahawa wajib menggunakan tanah bersama air pada menyucikan najis anjing, khinzir dan apa yang lahir daripada keduanya. Mereka beristidlal pada menyatakan pendapat itu dengan apa yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

طَهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ فِيهِ الْكَلْبُ، أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أُولَاهُنَّ بِالتُّرَابِ

Maksudnya: “Sucinya bekas salah seorang di antara kamu apabila ia (bekas) dijilat anjing adalah dengan cara membasuhnya sebanyak tujuh kali dan yang pertama (basuhan) dengan tanah.”

Riwayat Muslim (279) dan Ahmad (9511)

Dalam riwayat-riwayat lain, menyebut “salah satu” dan “akhir basuhan” itu dengan tanah.

Mereka juga mengqiyaskan khinzir dengan anjing, kerana lebih buruk keadaannya dan diharamkan di dalam al-Quran berbanding anjing. Manakala ulama’ al-Hanafiyyah dan al-Malikiyyah berpendapat tidak wajib menggunakan tanah pada menyucikan hal itu (najis anjing atau khinzir).

Tanda-tanda yang perlu diperhatikan dalam bab menyucikan kawasan yang terkena najis ialah sifat ain najis itu sendiri yakni; bau, warna dan rasa. Ini bererti seseorang itu mengetahui sama ada dengan penglihatan, bau dan rasa bahawa berlaku perpindahan najis mughallazah yakni khinzir dan anjing kepada tempat-tempat yang suci seumpamanya, barulah kewajipan menyertu itu wujud.

Justeru, jika perkara itu berlaku secara tidak jelas kerana kesibukan merawat pesakit dan sebagainya, maka ia kembali hukum asal sama ada suci, atau bernajis disebabkan sumber najis yang lain seperti darah pesakit.

Imam al-Suyuti menyebut kaedah dalam kitabnya:

الِاحْتِمَالُ فِي وَقَائِعِ الْأَحْوَالِ يُسْقِطُ الِاسْتِدْلَالَ

Maksudnya: “Jika berlaku kebarangkalian untuk peristiwa yang pelbagai, maka batallah istidlal (pendalilan untuk satu hipotesis hukum).”

Begitu juga dengan kaedah:

الْأَصْلُ فِي كُلِّ حَادِثٍ تَقْدِيرُهُ بِأَقْرَبِ زَمَنٍ

Maksudnya: “Hukum asal bagi satu kejadian perlu dikembalikan kepada waktu yang paling hampir.”

Contohnya seseorang itu berwuduk dengan satu telaga selama beberapa hari sebelum dia sedar dalamnya ada tikus mati. Tidak wajib bagi dirinya untuk menggantikan solat sehinggalah dia yakin solatnya berada dalam keadaan najis.

Ini juga selari dengan kaedah al-istishab (yakni status quo suatu hukum itu kekal sehingga datang dalil yang menunjukkan sebaliknya) dan kaedah:

الْيَقِينُ لَا يُزَالُ بِالشَّكِّ

Maksudnya: “Suatu hukum yang dibina dengan keyakinan tidak akan dihilangkan hanya kerana keraguan.” (Lihat al-Asybah wa al-Nazair, hlm. 50)

Kaedah lain menyebutkan bahawa:

اليَقِينُ لَا يَزٌولٌ إَلاَّ بِاليَقِينِ

Maksudnya: “Apa yang ditetapkan dengan yakin tidak diangkat melainkan dengan suatu yang yakin juga.”

Kaedah ini digunakan pakai dalam mazhab untuk pelbagai kes. Antara masyhur ialah tentang hukum menerima keju dan pakaian yang masyhur dikatakan mengandungi unsur khinzir.

Berkata Imam Ibn al-Solah dalam Fatawa-nya (1/221): “(Beliau ditanya) masalah jukh (sejenis produk fabrik sutera), dikatakan bahawa orang Perancis menggunakan lemak khinzir dalam pembuatannya. Kenyataan ini popular, tetapi bukan melalui kaedah penyaksian secara langsung. Apakah dihukum dengan kenajisannya, atau kenajisan apa-apa yang terkenanya semasa keadaan basahnya, pada jalan-jalan atau selainya, di samping hal itu umm balwa?

Beliau (Ibn Solah) Radhiallahuanhu menjawab: Jika tidak tahqiq (dipastikan secara langsung) pada diri orang yang ada di tangannya (akan jukh) itu akan kenajisannya maka tidak dihukum dengan kenajisannya, dan berpendapat dengan itu adalah sahih. Wallahua’lam.”

Syeikh Zainuddin al-Malibari berkata: “Dan jukh itu masyhur tentang proses pembuatan menggunakan lemak khinzir, dan keju Syam itu masyhur tentang proses pembuatan menggunakan enzim renet khinzir. Sedangkan telah dibawakan kepada (Rasulullah) satu daripada orang Syam lalu baginda makan daripadanya tanpa bertanya tentangnya. Ini yang disebut oleh Syeikh kami (Imam Ibn Hajar al-Haitami) dalam Syarah al-Minhaj.” (Lihat Fath al-Muin, 1/105)

Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari berkata: “Dan jukh itu telah masyhur bahawa pemprosesannya menggunakan lemak khinzir; dihukum dengan suci.” (Lihat Asna al-Matalib, 1/26)

Jika berlaku berlaku keraguan dan kita ingin menghilangkan keraguan tersebut, hukumnya cukup kita basuh sahaja kawasan yang disyaki itu dengan air berdasarkan hadis Rasulullah SAW tanpa sertu yang diriwayatkan oleh Abu Tha`labah al-Khusyani yang bertanya kepada Baginda SAW:

إِنَّا نُجَاوِرُ أَهْلَ الْكِتَابِ وَهُمْ يَطْبُخُونَ فِي قُدُورِهِمُ الْخِنْزِيرَ وَيَشْرَبُونَ فِي آنِيَتِهِمُ الْخَمْرَ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنْ وَجَدْتُمْ غَيْرَهَا فَكُلُوا فِيهَا وَاشْرَبُوا، وَإِنْ لَمْ تَجِدُوا غَيْرَهَا فَارْحَضُوهَا بِالْمَاءِ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا

Maksudnya: “Sesungguhnya kami berjiran dengan Ahli Kitab. Mereka biasa memasak daging khinzir di dalam periuk-periuk mereka dan biasa meminum khamar di dalam bekas-bekas mereka. Rasulullah SAW menjawab: “Jika kalian dapat menggunakan (perkakas-perkakas) yang lain maka makan dan minumlah dalamnya. Jika kalian tidak dapat selainnya maka cucilah ia dengan air kemudian makan dan minumlah.”

Riwayat al-Bukhari (5161) dan Abu Dawud (3839)

Perintah membasuh bejana adalah sunat kerana ia mungkin telah tercemar disebabkan orang kafir menggunakannya untuk minum arak, makan babi dan sebagainya. Demikian juga hukum menggunakan pakaian mereka dan seumpamanya sama dengan hukum menggunakan bejana mereka. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/37)

Suka untuk kami maklumkan di sini, bahawa setelah tahkik bahawa memang ada kawasan-kawasan yang dicemari najis khinzir, tetapi untuk membasuhnya secara tasbi` (tujuh kali basuhan) dan tatrib (mencampurkan air dengan tanah) akan menyebabkan kesukaran atau bahaya kerosakan pada peralatan contohnya, maka boleh bertaqlid kepada qaul kedua Imam al-Syafie seperti yang disebut oleh Imam al-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim (3/185): “Adapun khinzir maka hukumnya sama seperti anjing pada isu ini (tasbi` dan tatrib). Inilah mazhab kami (pendapat muktamad Syafieyyah). Adapun Jumhur ulama berpendapat bahawa khinzir, (penyuciannya) tidak memerlukan kepada basuhan tujuh kali, dan ini juga salah satu pendapat al-Syafie. Dalilnya jua kuat (di sisiku, yakni al-Nawawi).”

Hal ini juga disebutkan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani dalam Talkhis al-Habir (1/192) dan beliau mengatakan dalil yang menyokong pendapat Imam al-Nawawi itu ialah hadis Abu Tha`labah al-Khusyani di atas.

Kesimpulan

Berdasarkan keterangan di atas, kami nyatakan seperti berikut:

  • Wajib menyertu kawasan-kawasan yang terkena najis mughallazah seumpama khinzir yang terdapat pada ambulan dan bilik resusitasi, jika secara pasti terdapat kesan-kesan kewujudan atau perpindahan najis itu, seperti daging, darah atau seumpamanya.
  • Sekiranya tidak dapat dipastikan atau keliru sama ada itu darah dan daging manusia atau khinzir, maka tidak wajib menyertu sebaliknya hanya sunat membasuh dengan air sahaja, seperti kes barang perkakas orang bukan Islam.
  • Sekiranya menyertu akan menyebabkan kesukaran atau kerosakan kepada peralatan, maka diharuskan untuk bertaqlid kepada pendapat kedua mazhab iaitu membasuhnya sekali sahaja.

Wallahu a’lam

Bertarikh: 16 Mac 2022 bersamaan 13 Syaaban 1443H

[1] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Ambulans

Leave a Reply