#692 Talak Selepas Talak

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah talak selepas talak jatuh?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Talak berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, bermaksud pelepasan ikatan nikah dengan ucapan talak, cerai, dan sebagainya oleh suami.

Firman Allah SWT :

ٱلطَّلَـٰقُ مَرَّتَانِ ۖ فَإِمْسَاكٌۢ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌۢ بِإِحْسَـٰنٍ

Maksudnya: Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik.”

(Surah al-Baqarah: 229)

Syeikh al-Maraghi menyatakan di dalam syarahnya: Ayat ‘sesudah itu bolehlah ia memegang terus’ membawa makna rujuklah kembali bukan dengan niat untuk melukainya. Akan tetapi dengan niat untuk melakukan islah (tambah baik) dan bergaul dengan cara yang baik. Dan ayat ‘melepaskan dengan cara yang baik’ selepas berlaku 3 kali talak,maka berikanlah haknya.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/169)

Para ulama membahagikan talak dari segi kejelasan lafaz talak kepada dua, iaitu sorih yang bermakna jelas dan kinayah iaitu yang berkemungkinan membawa maksud talak atau tidak. Bagi lafaz sarih ada tiga perkataan yang jika disebutkan jatuhlah talak, Perkataan tersebut ialah cerai, pisah dan lepas.

Contoh lafaz sorih ialah ‘aku lepaskan engkau’ , ‘engkau tertalak’ atau ‘aku lepaskan engkau’. Jika lafaz-lafaz ini disebutkan oleh si suami maka jatuhlah talak bagi si isteri Contoh bagi lafaz kinayah pula ialah ‘pergilah ke ahli keluarga engkau’ , ‘jauhkan diri dari aku’ dan lain-lain lagi. Cumanya, lafaz kinayah ini memerlukan kepada niat si suami. Jika dia berniat mentalakkan maka jatuhlah talak. (Lihat al-Fiqh al-Minhaji, 4/123)

Talak akan jatuh jika dilafazkan oleh suami kepada isteri sama ada secara sarih (jelas), sekalipun tanpa niat dan juga secara kinayah (samar-samar) jika disertakan dengan niat. Tiada pengecualian di dalam syara’ jika talak berkenaan disebutkan ketika waktu normal, bergaduh mahupun bergurau-senda. Ini berdasarkan sebuah hadith:

  • Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ثَلاَثٌ جِدُّهُنَّ جِدٌّ وَهَزْلُهُنَّ جِدٌّ النِّكَاحُ وَالطَّلاَقُ وَالرَّجْعَةُ

Maksudnya: “Tiga perkara yang dilakukan secara serius atau main-main memberi kesan; nikah, talak, dan rujuk.”

Riwayat Abu Dawud (2194), al-Tirmidzi (1184) dan Ibnu Majah (2039)

Sebagaimana yang kami nyatakan di atas, lafaz talak terbahagi kepada dua iaitu sarih (jelas) dan kinayah (samar-samar). Bagi lafaz sarih ada tiga perkataan yang jika disebutkan jatuhlah talak, Perkataan tersebut ialah cerai, pisah dan lepas. Kata Imam al-Baijuri :

“Talak yang sarih tidak memerlukan kepada niat.Iaitu niat jatuhnya talak. Kerana tidak dihtimal kepada selain daripada talak.” (Lihat Hasyiah al-Baijuri ‘ala Syarh Ibn al-Qasim ‘ala Matan Abu Syuja’, 2/263)

Manakala lafaz kinayah adalah lafaz yang samar-samar. Sama ada jatuh atau tidak talak adalah bergantung kepada niat si suami. Kata Ibnu al-Qasim al-Ghazzi:

“Kinayah ialah setiap lafaz yang membawa makna talak ataupun selain daripada itu. Dan ianya memerlukan kepada niat. Jika berniat untuk menceraikan ketika melafazkan lafaz kinayah maka jatuhlah talak. Jika tidak, talak tidak jatuh.” (Lihat Syarh Ibnu al-Qasim ‘ala Matan Abi Syuja, 2/264)

Talak Selepas Talak

Dalam menjawab persoalan ini, kami datangkan gambaran masalah yang ditanya. Gambarannya, seorang suami telah menceraikan isterinya dengan talak satu, kemudian dalam tempoh iddah tersebut dia melafazkan talak lagi sama ada dengan talak satu atau dengan talak dua.

Maka dalam hal ini, talak yang pertama itu jatuh, begitu juga dengan sighah yang kedua atau ketiga yang keluar daripada mulut suami, sedangkan isteri dalam talak raji’ie yang pertama, maka ia dikira talak kedua, jika disebut talak dua, maka jadilah talak bain kubra dan tidak halal baginya berkahwin dengan bekas isterinya kecuali jika bekas isterinya berkahwin dengan lelaki lain dengan akad yang sah dan telah melakukan hubungan jima’ bersama suami barunya, kemudian dia bercerai dan tamat iddahnya,  maka selepas daripada itu, bekas suaminya boleh bernikah semula dengan akad yang baru bersama bekas isterinya. Ini adalah sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran:

فَإِن طَلَّقَهَا فَلَا تَحِلُّ لَهُ مِن بَعْدُ حَتَّىٰ تَنكِحَ زَوْجًا غَيْرَهُ ۗ فَإِن طَلَّقَهَا فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا أَن يَتَرَاجَعَا إِن ظَنَّا أَن يُقِيمَا حُدُودَ اللَّـهِ

Maksudnya: Sesudah (diceraikan dua kali) itu, jika diceraikan pula (bagi kali yang ketiga) maka perempuan itu tidak halal lagi baginya sesudah itu, sehingga ia berkahwin dengan suami yang lain. Setelah itu kalau ia diceraikan (oleh suami baharu itu dan habis idahnya), maka mereka berdua (suami lama dan bekas isterinya) tidaklah berdosa untuk kembali (maskahwin semula), jika mereka kuat menyangka akan dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah SWT.”

(Surah al-Baqarah: 230)

Jika talak sighah yang kedua dan ketiga itu berlaku setelah tamatnya iddah isterinya, maka ia tidak dikira jatuh talak tersebut kerana perempuan itu bukan tempat untuk dia talakkan, kerana setelah tamatnya iddah, perempuan itu bukan lagi isteri kepadanya, maka harus baginya untuk berkahwin dengan bekas isterinya dengan akad yang baru.

Jawapan ni juga dinukilkan oleh Syeikh Hasanain Muhammad Makhluf di dalam Fatawa Syar’iyyah yang menyatakan hal sedemikian. (Lihat Fatawa Syar’iyyah, hlm. 436)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa talak selepas talak dikira bilangan talaknya sekiranya isterinya tersebut masih di dalam iddah, dan jikalau isterinya sudah tamat iddahnya, maka talak yang disebut selepas daripada itu tidak dikira kerana perempuan itu bukan lagi isterinya.

Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman dalam memahami agama ini serta mengurniakan kepada kita keharmonian dalam rumah tangga. Ameen. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: Wahai Tuhan kami, berikanlah kepada kami isteri-isteri dan juga anak pinak yang menjadi penyejuk mata bagi kami, serta jadikanlah kami ini sebagai pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahu a`lam

Bertarikh: 16 Mac 2022 bersamaan 13 Syaaban 1443H

[1] Lihat: https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=talak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *