#691 Sewa Beli Penapis Air

Rated 0 out of 5
RM5.00
Rated 0 out of 5
RM25.00
Rated 0 out of 5
RM25.00
Rated 0 out of 5
RM25.00
-64%
Rated 0 out of 5
RM50.00
-53%

Siri Perkahwinan

[eBook]Baiti Jannati

Rated 0 out of 5
RM20.00
Rated 0 out of 5
RM10.00
-18%

Buku Fizikal

Rahiq Makthum

Rated 0 out of 5
RM65.00RM130.00

Soalan

Saya ada ambil pakej sewa beli penapis air yang mana bayaran bulanannya RM 80 termasuk pakej servis tukar penapis air selama 7 tahun dengan jumlah keseluruhannya selama 7 tahun itu adalah RM 7000 . Namun jika saya membeli secara tunai hanya RM 3500 dengan servis tukar penapis selama 2 tahun. Adakah jual beli melalui sistem ini termasuk riba? 

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Ijarah ialah kontrak untuk mendapatkan khidmat (manfaat) tertentu yang boleh dibayar dan dihalalkan dengan barangan tertentu. Maksud kontrak untuk mendapatkan khidmat (manfaat) ialah memindahkan hak milik khidmat (manfaat) tersebut. Ini dinyatakan oleh sesetengah pengertian sebagai pemindahan hak milik suatu khidmat (manfaat) dan dibayar dengan suatu barangan.

Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: Terdapat perbezaan antara kontrak sewa dengan kontrak jual beli iaitu dari sudut kekal dan sementara. Kontrak sewa adalah berbentuk sementara. Setiap kontrak jual beli adalah bersifat kekal sebab ia memindahkan hak milik barang yang dijual. Kontrak sewa adalah satu kontrak yang penting di dalam kehidupan manusia.

Berdasarkan persoalan di atas, isu pertama yang perlu dibincangkan ialah bagaimana bentuk kontrak transaksi itu. Jika ia melibatkan dua kontrak dalam satu transaksi maka, ia akan mendatangkan masalah dalam keabsahan kontrak. Dalam erti kata lain, dua kontrak disebut dalam satu lafaz akad bagi waktu yang sama. Contohnya:

Aku jual tanah ini dengan harga RM1000 tunai, dan dengan RM2000 secara ansuran atau selama setahun.”

Kemudian, pembeli bersetuju dengan kontrak itu sama ada secara tunai atau ansuran. Kontrak ini diharamkan Syarak dan dianggap terbatal kerana harga tidak ditentukan dalam suatu lafaz yang sama. Daripada Abu Hurairah RA:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ بَيْعَتَيْنِ فِي بَيْعَةٍ

Maksudnya: Rasulullah SAW melarang daripada meletakkan dua (harga) akad dalam satu (sighah) akad.[1]

Ada beberapa penafsiran daripada para Ulama’ mengenai makna 2 transaksi dalam satu transaksi, atau sebahagian pihak menerjemahkan sebagai: ‘transaksi 2 harga’. Beberapa penafsiran para Ulama’ terhadap makna hadith tersebut antara lain:

Pertama: yang dilarang ialah menentukan harga jualan dengan harga sedemikian, dan harga jualan ansuran sedemikian dengan harga yang berbeza. Sebagai contoh: saya menjual dengan harga tunai RM1000, tetapi jikalau secara ansuran selama dua bulan harganya RM1500. Kemudian ada pembeli yang setuju membeli barang tersebut, tetapi ketika ingin berpisah antara pembeli dan penjual tidak ditentukan apakah dia membe atau jadi tunai. Adanya ketidakjelasan jenis transaksi mana yang dipilih (tunai atau ansuran), dan berapa harga yang disepakati. Maka dalam situasi ini, ia dilarang.

Namun, jika sebelum pembeli dan penjual berpisah dan telah ada kesepakatan jenis transaksi dan harganya, maka hal ini tidak mengapa. Sebagai contoh, pembeli bersetuju untuk membeli secara tunai dengan harga RM1000, maka dalam situasi ini, ia dibenarkan.

Namun begitu, di dalam al-Fiqh al-Manhaji[2], dinyatakan, jika ditawarkan dua harga kontrak dalam dua sighah akad berbeza bagi satu barang, sama ada secara tunai atau ansuran, maka hukum tawaran itu adalah harus dan sah jika pembeli memilih salah satu daripadanya. Contohnya:

“Aku tawarkan kau untuk membeli tanah ini dengan harga RM1000 tunai,” atau;

“Aku tawarkan kau untuk membeli tanah ini dengan harga RM2000 secara ansuran.”

Penafsiran ini adalah sebagaimana dijelaskan al-Imam al-Tirmidzi di dalam Sunannya setelah meriwayatkan hadith tersebut, katanya:

وَقَدْ فَسَّرَ بَعْضُ أَهْلِ الْعِلْمِ قَالُوا بَيْعَتَيْنِ فِي بَيْعَةٍ أَنْ يَقُولَ أَبِيعُكَ هَذَا الثَّوْبَ بِنَقْدٍ بِعَشَرَةٍ وَبِنَسِيئَةٍ بِعِشْرِينَ وَلَا يُفَارِقُهُ عَلَى أَحَدِ الْبَيْعَيْنِ فَإِذَا فَارَقَهُ عَلَى أَحَدِهِمَا فَلَا بَأْسَ إِذَا كَانَتِ الْعُقْدَةُ عَلَى أَحَدٍ مِنْهُمَا

Maksudnya: Sebahagian Ulama menafsirkan dengan berkata: dua harga dalam satu transaksi adalah: (seorang penjual) mengatakan: Saya menjual baju ini dengan harga bernilai 10 dan secara ansuran dengan harga bernilai 20. Tidaklah penjual dan pembeli itu berpisah dengan menetapkan salah satu transaksi. Jika mereka berpisah dengan kepastian (mana transaksi yang dipilih), maka yang demikian tidak mengapa jika akadnya pada salah satu dari dua pilihan tersebut.[3]

Kedua: menetapkan suatu penjualan dengan harga tertentu dengan syarat tertentu, iaitu pihak pembeli menjual barang tertentu kepadanya dengan harga tertentu pula. Ini adalah penafsiran yang disebutkan juga oleh Imam al-Tirmidzi dengan menisbahkan kepada al-Imam asy-Syafi’i:

قَالَ الشَّافِعِيُّ وَمِنْ مَعْنَى نَهْيِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ بَيْعَتَيْنِ فِي بَيْعَةٍ أَنْ يَقُولَ أَبِيعَكَ دَارِي هَذِهِ بِكَذَا عَلَى أَنْ تَبِيعَنِي غُلَامَكَ بِكَذَا فَإِذَا وَجَبَ لِي غُلَامُكَ وَجَبَتْ لَكَ دَارِي وَهَذَا يُفَارِقُ عَنْ بَيْعٍ بِغَيْرِ ثَمَنٍ مَعْلُومٍ وَلَا يَدْرِي كُلُّ وَاحِدٍ مِنْهُمَا عَلَى مَا وَقَعَتْ عَلَيْهِ صَفْقَتُهُ

Imam al-Syafi’i menyatakan: Termasuk juga makna larangan Nabi SAW tentang transaksi dua harga ialah: (penjual) mengatakan: Aku jual rumahku ini dengan harga sedemikian dengan (syarat) engkau menjual hambamu ini kepadaku dengan harga sedemikian. Jika wajib bagiku hambamu, maka wajib bagimu rumahku. Penjual dan pembeli berpisah dalam transaksi tanpa harga yang jelas, masing-masing tidak tahu transaksi mereka diputuskan dengan transaksi yang mana.[4]

Kontrak Membeli Penapis Air

Berhubung dengan soalan di atas, jika dua harga itu dalam kontrak yang sama maka batallah kontrak itu, manakala jika dua harga itu bagi dua kontrak yang berbeza maka dibenarkan dan sah salah satu kontrak tersebut.

Isu kedua ialah kontrak sewa beli tersebut hendaklah berlaku dalam dua kontrak yang berasingan. Haram dan terbatallah jika sewa beli itu dilakukan dalam kontrak yang sama. Kontrak itu boleh mengambil konsep al-Ijarah thumma al-Bay’ (AITAB) yang diguna pakai dalam fiqh muamalat moden.[5]

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa kedua-dua akad tersebut sah, iaitu kontrak secara jual beli ataupun sewa beli selagimana kedua-dua kontrak tersebut tidak digabungkan di dalam satu akad atau jual beli. Ia akan menjadi sah sekiranya salah satu kontrak dipilih sebelum berpisah daripada majlis jual beli tersebut.

Kaedah Fiqh juga menyebut:

الْأَصْلُ فِي الْمُعَامَلَاتِ الْإِبَاحَة حَتَّى يرد الدَّلِيل عَلَى خِلَافِهِ

Maksudnya: Asal segala sesuatu dalam bidang muamalat ialah harus, sehingga adanya dalil yang menyanggahi dan mengharamkannya.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 16 Mac 2022 bersamaan 13 Syaaban 1443H

[1] Riwayat al-Nasaie (4632)

[2] Lihat al-Fiqh al-Manhaji (6/37)

[3] Lihat Jami’ al-Tirmizi, 5/7

[4] Ibid

[5] Lihat Resolusi Syariah Dalam Kewangan Islam, hlm, 25-26

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *