Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah sah solat jika semasa duduk Tahiyyat Akhir tetapi cara duduk seperti duduk Tahiyyat Awal (tidak menyerong ke kiri)?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Dalam isu ini, para fuqaha menyatakan bahawa terdapat dua jenis duduk yang dilakukan oleh seseorang ketika tahiyyat akhir atau juga disebut tasyahhud akhir. Yang pertama adalah duduk tawarruk, dan keduanya adalah duduk secara iftirasy.

Kedua-dua cara duduk ini boleh dijelaskan seperti berikut:

  • Duduk Tawarruk (تورك): Seseorang itu duduk dalam keadaan tapak kaki kanannya berdiri tegak, dan jari jemari kaki kanannya menghadap ke arah kiblat. Manakala kaki kirinya dilipat ke arah kaki kanan, dan dia meletakkan bahagian punggungnya di atas lantai atau tanah.
  • Duduk Iftirasy (إفتراش): Seseorang itu duduk dengan meletakkan bahagian punggungnya di atas kaki kirinya. Manakala tapak kaki kanan itu ditegakkan jari jemarinya menghadap ke arah kiblat.

Duduk tawarruk adalah duduk yang disunatkan ketika tasyahhud akhir pada solat empat rakaat seperti Zohor dan Asar, demikian juga disunatkan pada solat tiga rakaat seperti solat Maghrib. Manakala duduk secara iftirash pula, ia disunatkan ketika duduk di antara dua sujud, ketika tasyhahhud awal bagi solat tiga rakaat dan empat rakaat, serta ketika tasyahhud akhir bagi solat dua rakaat seperti solat subuh, solat tahiyyatul masjid, dan selainnya daripada solat-solat sunat.

Dalam mazhab Imam al-Syafi’i, tokoh-tokoh besar mazhab ini berpendapat bahawa duduk secara tawarruk juga turut berlaku pada solat-solat dua rakaat.

Selain itu, ashab mazhab Syafie berkata: Tidak ditentukan cara duduk pada tempat-tempat ini (duduk antara dua sujud, duduk tasyahhud akhir, duduk tasyahhud awal, dan duduk istirehat) suatu cara yang menjadikannya sah, bahkan apa cara duduk yang ditemui maka sah, sama ada tawarruk atau iftirasy, menjulurkan kaki, atau menegakkan kedua-dua lututnya, atau salah satu daripada keduanya, atau bentuk lain selain itu. Tetapi yang menepati Sunnah ialah dengan duduk tawarruk di akhir solat, dan duduk iftirasy selain daripada duduk akhir solat.” (Lihat al-Majmu’, 1/429; al-Mu`tamad, 1/291)

Para fuqaha’ mazhab berbeza pendapat berkenaan cara duduk ketika tasyahhud. Kami nukilkan daripada kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah (16/270), di mana ia boleh diringkaskan seperti berikut:

Pertama, Mazhab Hanafi: Keadaan duduk bagi orang lelaki ketika tasyahhud adalah secara iftirasy. Maka bagi orang perempuan pula adalah duduk secara tawarruk. Sama ada duduk tasyahhud awal ataupun tasyahhud akhir.

Kedua, Mazhab Malik: Keadaan duduk ketika tasyahhud akhir adalah secara tawarruk. Mazhab ini juga turut berpandangan bahawa duduk tawarruk itu lebih didahulukan berbanding duduk iftirasy.

Ketiga, Mazhab al-Syafi’i: Para fuqaha Syafieyyah menjelaskan bahawa tidak ditentukan cara duduk untuk mengatakan bahawa dengannya dianggap sah. Maka cara duduk yang bagaimana pun dianggap sebagai sah. Akan tetapi yang sunnah ketika duduk semasa akhir solat adalah duduk tawarruk, dan duduk yang kedua itu adalah secara iftirasy. Ini sebagaimana yang dikatakan oleh Imam al-Nawawi: “Bahkan apa cara duduk yang mampu dilakukan adalah sah, sama ada secara tawarruk mahupun iftirasy. Tetapi yang menepati sunnah adalah dengan duduk tawarruk pada akhir solat, dan duduk iftirasy pada selainnya.” (Lihat al-Majmu’,1/429)

Mazhab Syafieyyah berpandangan bahawa di antara duduk tawarruk dan iftirasy, terdapat padanya perincian. Iaitu jika ia solat dua rakaat, maka duduk tasyahhud itu adalah secara iftirasy. Begitulah juga tasyahhud awal bagi solat-solat tiga dan empat rakaat. Manakala bagi solat tiga dan empat rakaat, duduk pada tasyahhud akhir adalah secara tawarruk.

Keempat, Mazhab Hanbali: Golongan Hanabilah berpandangan bahawa keadaan duduk bagi orang lelaki semasa tasyahhud awal adalah secara iftirasy, manakala semasa tasyahhud akhir adalah secara tawarruk.

Penutup

Berdasarkan keterangan di atas, hukumnya adalah sah solat tersebut di mana masalah ini menjadi khilaf dalam kalangan ulama berdasarkan sifat solat Nabi SAW.

Kami cenderung kepada pandangan bahawa posisi duduk adalah secara tawarruk ketika tasyahhud akhir bagi solat tiga dan empat rakaat. Manakala bagi solat dua rakaat dan juga ketika tasyahhud awal bagi solat tiga dan empat rakaat, posisi duduk adalah secara iftirasy.

Kami juga menyatakan, hendaklah diraikan juga keadaaan sekeliling semasa duduk tersebut. Sekiranya keadaan saf itu sempit, manakala duduk secara tawarruk ketika tasyahhud akhir itu hanya akan menyempitkan lagi ruang selain akan mengganggu jemaah yang berada di sebelahnya, maka pada ketika itu duduklah secara iftirasy pada tasyahhud akhir.

Wallahu a’lam

Bertarikh: 30 Mac 2022 bersamaan 27 Syaaban 1443H

Leave a Reply