Sale!
Original price was: RM28.00.Current price is: RM20.00.
Sale!
Original price was: RM35.00.Current price is: RM20.00.
Sale!

Buku Fizikal

Taufan Al-Aqsa

Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM40.00.Current price is: RM30.00.
Sale!

Buku Fizikal

Hakikat Dajjal

Original price was: RM13.00.Current price is: RM9.10.
Sale!
Original price was: RM70.00.Current price is: RM60.00.

Soalan

Apakah iktidal di dalam solat merupakan rukun yang panjang?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

I’tidal merupakan perbuatan berdiri di antara ruku’ dan sujud. Hal ini berdasarkan hadith, daripada Aisyah R.Anha ketika menceritakan cara bersolat Rasulullah SAW, katanya:

كَانَ إِذَا رَفَعَ رَأْسَهُ مِنَ الرُّكُوعِ لَمْ يَسْجُدْ حَتَّى يَسْتَوِىَ قَائِمًا

Maksudnya: Apabila mengangkat kepalanya daripada ruku’, Baginda tidak sujud sehingga telah berdiri tegak.[1]

Hadith seterusnya, Rasulullah SAW bersabda ketika mengajarkan cara-cara bersolat kepada seorang lelaki yang tidak melakukannya:

ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَعْتَدِلَ قَائِمًا

Maksudnya: Kemudian bangunlah hingga engkau berdiri tegak.[2]

Berdasarkan mazhab Syafi’e, syarat-syarat sah i’tidal adalah seperti berikut:

  • Tidak bertujuan lain selain daripada ibadat.
  • Tetap seketika sekadar masa sekali tasbih.
  • Tidak berdiri terlalu lama hingga melebih kadar bacaan fatihah. Hal Ini kerana i’tidal merupakan rukun yang pendek dan tidak harus dipanjangkan.[3]

Namun, para ulama’ berbeza pandangan adakah dibolehkan untuk memanjangkan I’tidal. Sebahagian ulama’ mengatakan ianya dibolehkan, hal ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Anas RA, beliau berkata:

مَا صَلَّيْتُ خَلْفَ أَحَدٍ أَوْجَزَ صَلَاةً مِنْ صَلَاةِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي تَمَامٍ كَانَتْ صَلَاةُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مُتَقَارِبَةً وَكَانَتْ صَلَاةُ أَبِي بَكْرٍ مُتَقَارِبَةً فَلَمَّا كَانَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ مَدَّ فِي صَلَاةِ الْفَجْرِ وَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا قَالَ سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ قَامَ حَتَّى نَقُولَ قَدْ أَوْهَمَ ثُمَّ يَسْجُدُ وَيَقْعُدُ بَيْنَ السَّجْدَتَيْنِ حَتَّى نَقُولَ قَدْ أَوْهَمَ

Maksudnya: “Belum pernah aku solat di belakang seseorang yang lebih ringkas solatnya daripada solat Rasulullah SAW dengan kesempurnaannya. Solat baginda adalah hampir sama (antara satu rukun dengan rukun lainnya), dan solat Abu Bakar adalah saling berdekatan (antara satu rukun dengan rukun lainnya). Lalu ketika Umar mengimami, maka dia memanjangkan dalam solat Subuh. Rasulullah SAW pernah apabila mengucapkan, (سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ), maka baginda berdiri hingga kami mengatakan bahawa baginda telah lupa, kemudian baginda sujud dan duduk di antara dua sujud hingga kami mengatakan bahawa baginda telah lupa’.”[4]

Syeikh Syaraf al-Haq al-‘Azim Abadi dalam syarahnya menyebut: “Hadith ini menunjukkan secara zahir untuk memanjangkan I’tidal dan  duduk di antara dua sujud”.[5]

Imam al-Syaukani mengatakan dalam kitab Nail al-Autar: “Hadith ini menjadi dalil kepada bolehnya memanjangkan i’tidal daripada ruku’ dan duduk antara dua sujud. Sebahagian ulama’ Syafi’iyyah mengatakan batal solat orang yang memanjangkan i’tidal dan duduk antara dua sujud dengan hujjah ianya menafikan sifat al-Muwalat (berturut-turut) dalam solat.

Beliau kemudian menukilkan kalam Ibn Daqiq al-‘Eid.”Hadith ini menunjukkan bahawa i’tidal merupakan rukun yang panjang dan hadith Anas menunjukkan dengan jelas mengenai perkara itu dan ianya merupakan dalil baginya.” [6]

Hal ini dikuatkan lagi dengan hadith yang diriwayatkan daripada Huzaifah RA, beliau berkata:

فَكَانَ رُكُوعُهُ نَحْوًا مِنْ قِيَامِهِ، ثُمَّ قَالَ: سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ، ثُمَّ قَامَ طَوِيلًا قَرِيبًا مِمَّا رَكَعَ، ثُمَّ سَجَدَ، فَقَالَ: سُبْحَانَ رَبِّيَ الْأَعْلَى، فَكَانَ سُجُودُهُ قَرِيبًا مِنْ قِيَامِهِ

Maksudnya: Ruku’ baginda SAW panjangnya hampir sama dengan berdiri baginda, kemudian baginda berkata, (سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ), kemudian baginda berdiri lama hampir sama dengan ruku’ baginda, kemudian baginda sujud dan baginda berkata, (سُبْحَانَ رَبِّيَ الْأَعْلَى). Sujud baginda hampir sama tempohnya dengan berdirinya baginda.[7]

Imam al-Nawawi mengatakan: “Pada hadith ini menunjukkan dengan jelas bahawa harus memanjangkan i’tidal dengan zikir”.[8]

Pandangan utama dalam mazhab Syafi’e pula mengatakan bahawa memanjangkan rukun yang pendek di dalam solat merupakan di antara perkara yang membatalkan solat. Antara rukun pendek adalah I’tidal (bangun daripada ruku’). Disyaratkan agar orang yang solat tidak memanjangkan I’tidalnya selepas daripada ruku’ dengan pemanjangan yang ketara iaitu tidak melebihi kadar bacaan al-Fatihah. Ini kerana, I’tidal merupakan rukun yang pendek, maka tidak dibolehkan untuk memanjangkannya melainkan pada qunut dan solat Tasbih.[9]

Imam al-Nawawi juga menukilkan pandangan ashab al-Khurasan bahawa I’tidal daripada ruku’ merupakan rukun yang pendek serta dituntut agar diringankan (dipendekkan) rukun tersebut. Jika dia memanjangkan dengan sengaja seperti diam (diam yang panjang), membaca qunut yang tidak disyariatkan (tidak warid daripada Nabi SAW) atau dengan zikir yang lain, maka ketiga wajah ini yang paling sahihnya di sisi Imam al-Haramain dan ia juga diputuskan oleh al-Baghawi bahawa perbuatan ini membatalkan solatnya  melainkan apa yang warid (datang) dalam syariat.[10]

Kesimpulan

Kesimpulannya, berdasarkan nas dan hujah di atas, kami menyatakan bahawa pandangan mazhab Syafi’e mengatakan rukun i’tidal termasuk dalam rukun yang pendek. Namun, kami cenderung mengatakan bahawa harus untuk memanjangkan I’tidal sekiranya bacaan yang dibaca di dalamnya merupakan bacaan yang warid daripada Nabi SAW serta tidak membebankan makmum sekiranya dia menjadi imam

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 4 April 2022 bersamaan 2 Ramadhan 1443H

The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.

 

[1] Riwayat Muslim (498)

[2] Riwayat al-Bukhari (724) dan Muslim (397)

[3] Lihat al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’e, 1/134-135

[4] Riwayat Muslim (473) , dan Abu Dawud (853)

[5] Lihat ‘Aun al-Ma’bud Syarh Sunan Abi Dawud, 3/64

[6] Lihat Nail al-Autar, 2/304

[7] Riwayat Muslim (772)

[8] Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/127

[9] Lihat al-Muktamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 273/1

[10] Lihat: al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 126/4

Leave a Reply