Soalan
Apakah hukum berbohong ketika berpuasa?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Puasa adalah salah satu ibadat yang difardhukan oleh Allah SWT kepada hamba-hambanya. Maka, setiap ibadat atau perbuatan yang khusus dilakukan kerana Allah SWT memerlukan niat sebagai membezakan di antara ibadat dan adat kebiasaan seperti membezakan di antara orang yang menahan diri daripada makan dan minum kerana berpuasa dengan orang yang tidak mempunyai makanan untuk dimakan. Puasa yang disyariatkan adalah untuk menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa bermula daripada terbit fajar sadiq hingga tenggelam matahari.
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ، إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu.”[1]
Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani ketika mensyarahkan hadith ini berkata, yang dimaksudkan dengan keimanan adalah beri’tiqad akan hak kefardhuan puasa. Adapun yang dimaksudkan dengan pengharapan pula adalah memohon ganjaran daripada Allah SWT. Selain itu, Imam al-Khattabi berkata, yang dimaksudkan dengan pengharapan adalah azimah iaitu seseorang itu berpuasa dalam keadaan amat mengharapkan ganjaran yang baik daripada Allah SWT untuk dirinya tanpa merasa berat serta panjang hari-harinya.[2]
Imam al-Nawawi pula berkata makna keimanan adalah seseorang itu membenarkan akan fadhilatnya dan makna pengharapan pula adalah seseorang itu berpuasa kerana menginginkan Allah dan tidak melakukannya disebabkan ingin dilihat oleh manusia atau apa yang bertentangan dengan makna ikhlas.[3]
Berbohong Ketika Berpuasa
Imam Ibn Hajar Al-Asqalani mendefinisikan berbohong seperti berikut: ‘’Memberitahu akan sesuatu berbeza dengan keadaan sebenarnya, sama ada dengan sengaja ataupun tersilap’’.[4]
Manakala Imam Al-Nawawi pula mengatakan bahawa berbohong adalah: ‘’Mengkhabarkan sesuatu berbeza dengan keadaanya yang sebenar, sama ada dengan sengaja atau tidak, dan sama ada perkhabaran itu akan perkara yang telah berlalu atau akan datang’’.[5]
Perbuatan berbohong adalah termasuk dalam himpunan dosa-dosa besar. Ini seperti yang ditunjukkan oleh firman Allah SWT:
فَاجْتَنِبُوا الرِّجْسَ مِنَ الْأَوْثَانِ وَاجْتَنِبُوا قَوْلَ الزُّورِ
Maksudnya : Maka jauhilah kalian akan kotoran berhala dan jauhilah kalian ucapan yang dusta.[6]
Berdasarkan ayat di atas, perbuatan berbohong diselarikan kedudukan dan sebutannya dengan perbuatan menyembah berhala. Oleh yang demikian, keduanya dianggap sebagai sama dari sudut keduanya merupakan perbuatan dosa besar.
Imam Al-Nawawi apabila menjelaskan berkenaan hukum berbohong beliau berkata: ‘’Sesungguhnya telah jelas nas-nas dari Al-Kitab dan juga Al-Sunnah ke atas pengharaman berbohong. Ia adalah antara perbuatan dosa yang buruk serta suatu keaiban yang keji. Ijma’ para ulama telah berlaku ke atas pengharamannya bersama-sama dengan nas-nas yang jelas’’. [7]
Perbuatan berbohong dalam keadaan seseorang itu sedang berpuasa menjadikan dosa orang tersebut bertambah berat. Hal ini kerana, dosa dan pahala seseorang itu boleh berbeza kadar ganjaran dan hukumannya mengikut perbezaan faktor seperti tempat ia dilakukan dan juga masa ia dilakukan. Justeru, melakukan dosa seperti berbohong dalam bulan Ramadhan lebih-lebih lagi dalam keadaan seseorang itu sedang berpuasa menjadikan ianya lebih berat di sisi Tuhan.
Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّورِ وَالْعَمَلَ بِهِ فَلَيْسَ لِلَّهِ حَاجَةٌ فِي أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ
Maksudnya: Sesiapa yang tidak meninggalkan ucapan yang dusta dan beramal dengan pembohongan maka Allah tidak berhajat ke atas perbuatannya yang meninggalkan makan dan juga minum.[8]
Imam Ibn Hajar al-Asqalani menukilkan kata-kata Imam Ibn Batthal dalam menghuraikan makna hadith di atas dengan kata beliau: ‘’Hadith ini bukanlah bermaksud arahan kepada orang yang berpuasa untuk meninggalkan puasanya itu. Bahkan maknanya adalah ancaman terhadap perbuatan berbohong’’. [9]
Berdasarkan hadith di atas para ulama memberikan tafsiran yang berbeza-beza akan maksud sebenar kenyataan Nabi S.A.W. Sebahagian mensyarahkan bahawa maksudnya adalah sesiapa yang berbohong puasanya tidak diterima oleh Allah SWT Manakala sebahagian yang lain pula menyatakan bahawa maksud hadith tersebut adalah sesiapa yang berbohong akan menyebabkan pahala puasanya berkurangan.
Berikut kami kongsikan kenyataan Imam Ibn al-Munir yang menyebut: ‘’Bahkan ucapan Nabi ini adalah kinayah terhadap tidak diterimanya (puasa mereka yang berbohong)’’.
Kenyataan ini dikuatkan lagi oleh Imam Ibn al-‘Arabi yang menyebut: ‘’Intipati hadith ini adalah, sesiapa yang melakukan perbuatan yang telah disebutkan (berbohong) maka dia tidak akan diberikan pahala ke atas puasanya itu’’. Ini bermakna pahala berpuasa tidak akan berada di dalam neraca timbangan amalan yang setara berserta dengan dosa bercakap bohong.
Manakala Imam al-Baidhawi pula berkata: ‘’Bukanlah maksud (tujuan) dari pensyariatan puasa itu untuk menahan diri dari lapar dan dahaga semata-mata. Bahkan ia diikuti dengan memecahkan nafsu syahwat serta mentaatkan nafsu al-ammarah menuju ke arah nafsu al-muthma’innah. Sekiranya yang demikian itu tidak terhasil (melalui puasa), Allah tidak akan melihat ke arahnya dengan pandangan menerima (amalan)’’.
Maka sabda Nabi SAW: ‘’Allah tidak berhajat (kepada puasanya)’’ adalah majaz (kiasan) kepada tidak diterimanya puasa tersebut.
Imam al-Subki pula menyatakan bahawa hadith ini memberikan peringatan kepada kita akan dua perkara: Pertamanya, bertambah keburukan dan keji bagi orang yang berbohong semasa berpuasa berbanding di luar puasa. Keduanya, hendaklah seseorang itu berusaha untuk menyelamatkan puasanya dari perbuatan berbohong.
Kesan darinya adalah, puasa akan sempurna dengan selamatnya ia dari perbuatan berbohong. Sekiranya tidak selamat, maka pahala puasa akan berkurangan.[10]
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa berbohong merupakan perbuatan yang boleh mengurangkan pahala puasa seseorang kerana ia merupakan perbuatan yang mendatangkan dosa dan dilarang dalam Islam. Namun begitu, perbuatan berbohong itu tidaklah termasuk dalam perkara-perkara yang membatalkan puasa.
Meskipun begitu, perbuatan berbohong adalah suatu perkara yang perlu dielakkan lebih-lebih lagi pada bulan Ramadhan. Jadikanlah bulan Ramadhan sebagai suatu medan mentarbiah diri agar menjauhi segala perbuatan dosa dan maksiat.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Bertarikh: 8 April 2022 bersamaan 6 Ramadhan 1443H
The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.
[1] Riwayat al-Bukhari (38) dan Muslim (760)
[2] Lihat Fath al-Bari, 4/115
[3] Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 6/39
[4] Lihat Fath Al-Bari, 1/201
[5] Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 1/69
[6] Surah Al-Hajj (30)
[7] Lihat al-Azkar, hlm. 377
[8] Riwayat Al-Bukhari (1903)
[9] Lihat Fath al-Bari, 4/139
[10] Lihat Fath al-Bari, 4/139