#923: Status Puasa Orang Yang Tidur Sebelum Maghrib Sehingga Fajar

Rated 0 out of 5
RM5.00
Rated 0 out of 5
RM25.00
Rated 0 out of 5
RM25.00
Rated 0 out of 5
RM25.00
-64%
Rated 0 out of 5
RM50.00
-53%

Siri Perkahwinan

[eBook]Baiti Jannati

Rated 0 out of 5
RM20.00
Rated 0 out of 5
RM10.00
-18%

Buku Fizikal

Rahiq Makthum

Rated 0 out of 5
RM65.00RM130.00

Soalan

Assalamulaikum wbt. Saya ada persoalan. Semalam ketika sedang menunggu untuk berbuka puasa, saya tertidur sebelum maghrib dan apabila sedar, waktu fajar telahpun masuk, adakah boleh untuk saya meneruskan puasa tersebut?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Puasa adalah salah satu ibadat yang difardhukan oleh Allah SWT kepada hamba-hambanya. Maka, setiap ibadat atau perbuatan yang khusus dilakukan kerana Allah SWT memerlukan niat sebagai membezakan di antara ibadat dan adat kebiasaan seperti membezakan di antara orang yang menahan diri daripada makan dan minum kerana berpuasa dengan orang yang tidak mempunyai makanan untuk dimakan.

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ، إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu.”[1]

Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani ketika mensyarahkan hadith ini berkata, yang dimaksudkan dengan keimanan adalah beri’tiqad akan hak kefardhuan puasa. Adapun yang dimaksudkan dengan pengharapan pula adalah memohon ganjaran daripada Allah SWT. Selain itu, Imam al-Khattabi berkata, yang dimaksudkan dengan pengharapan adalah azimah iaitu seseorang itu berpuasa dalam keadaan amat mengharapkan ganjaran yang baik daripada Allah SWT untuk dirinya tanpa merasa berat serta panjang hari-harinya.[2]

Imam al-Nawawi pula berkata makna keimanan adalah seseorang itu membenarkan akan fadhilatnya dan makna pengharapan pula adalah seseorang itu berpuasa kerana menginginkan Allah dan tidak melakukannya disebabkan ingin dilihat oleh manusia atau apa yang bertentangan dengan makna ikhlas.[3]

Niat merupakan syarat sah berpuasa dan hukumnya adalah wajib. Tanpa niat maka tidak sah puasa seseorang itu. Ini kerana berpuasa itu adalah satu ibadah (ibadah mahdhoh) dan sesuatu ibadah itu tidak sah melainkan disertakan bersamanya niat seperti mana solat. Firman Allah SWT:

وَمَآ أُمِرُوٓاْ إِلَّا لِيَعۡبُدُواْ ٱللَّهَ مُخۡلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ

Maksudnya: “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya”.[4]

Asas kepada kewajipan untuk berniat dalam semua ibadat berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِىءٍ مَا نَوَى

Maksudnya: Sesungguhnya setiap amalan itu bermula dengan niat, dan setiap orang (perbuatannya) dikira berdasarkan apa yang diniatkan.[5]

Maka, niat berpuasa diletakkan sebagai satu syarat sah puasa seseorang itu. Hal ini disebutkan secara jelas di dalam kitab-kitab fiqh, yang antaranya disebutkan Ibn Qasim: Kewajipan-kewajipan puasa itu ada empat perkara: Niat di dalam hati, sekiranya puasa yang fardhu seperti puasa Ramadhan atau puasa nazar, maka mestilah diniatkan pada waktu malam.[6]

Di sisi jumhur fuqaha’, niat puasa Ramadhan hendaklah dilakukan pada setiap hari pada waktu malam seperti yang disebutkan sebelum masuk waktu subuh. Hal ini kerana setiap hari dalam Ramadhan dikira berasingan.[7]

Tidak Berniat Puasa Disebabkan Tidur Sebelum Maghrib Sehingga Terbitnya Fajar

Dalam berniat untuk berpuasa, terdapat beberapa syarat yang perlu dipenuhi agar ia dinamakan dengan berniat. Antara syarat niat untuk berpuasa dalam bulan Ramadhan ialah al-Tabyiit (التبييت) iaitu menetapkan niat pada malam hari. Waktunya ialah selepas tenggelamnya matahari sehinggalah terbitnya fajar sadiq (waktu bersahur juga masih dikira sebagai waktu untuk berniat). Hal ini sebagaimana hadith yang diriwayatkan  daripada Hafsah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ لَمْ يُجْمِعِ الصِّيَامَ قَبْلَ الْفَجْرِ فَلاَ صِيَامَ لَهُ

Maksudnya: Sesiapa yang tidak berniat (pada malam hari) sebelum terbit fajar, maka tiada puasa baginya (pada hari tersebut).[8]

Al-Dimyati menyatakan di dalam I’anah al-Talibin: Hadith ini di tujukan kepada Niat untu Puasa fardhu pada bulan Ramadhan. Iaitu, diwajibkan berniat untuk berpuasa pada setiap harinya, hal itu kerana puasa setiap hari adalah Ibadah yang berdiri dengan sendiri (mustaqil), iaitu untuk memisahkan ibadah yang berbeza pada setiap harinya  – sepertimana Dua Solat yang dipisahkan dengan salam”.[9]

Al-Khiraqi juga menyatakan bahawa tidak diperbolehkan Puasa yang Fardhu sehingga dia berniat puasa pada malam harinya”.[10]

Ibnu Qudamah berkata: “Niat puasa Ramadhan itu akan dikira untuk setiap hari, hal ini juga menjadi pendapat Abu Hanifah, al-Syafi’ie, dan Ibn al-Mundzir. Dan daripada Ahmad, bahawa beliau membolehkan satu kali niat untuk sepanjang bulan sekiranya dia telah berniat untuk berpuasa pada kesemua harinya. Ini juga menjadi pendapat dalam mazhab Malik dan Ishak. Hal ini kerana dia telah berniat pada waktu untuk semisalnya dengan niat puasa, maka dibolehkan sebagaimana jika dia telah berniat setiap hari pada malam harinya. Menurut kami, dalam puasa wajib, maka dia wajib untuk berniat setiap harinya pada waktu malam, seperti puasa qadha’. Hal ini kerana hari-hari tersebut merupakan ibadah yang bersendiri yang tidak akan rosak dengan rosaknya sebahagian hari yang lain. [11]

Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin menyatakan: “Jika seseorang telah berniat pada hari pertama bulan Ramadhan bahawa dia akan berpuasa  selama satu bulan penuh, maka puasanya sah untuk satu bulan seluruhnya, selama tidak ada keuzuran yang memutuskan puasanya tersebut. Namun, jika dia bermusafir dan berbuka puasa, di tengah Ramadhan, maka jika apabila dia kembali berpuasa, maka dia wajib memperbaharui niatnya kembali. Inilah pendapat yang sahih disisiku, hal ini kerana umat Islam semuanya jika anda bertanya kepada mereka, maka masing-masing akan berkata:  “Saya berniat untuk berpuasa dari awal bulan Ramadhan sehingga ke akhir bulan. Dan atas dasar ini, maka jika seseorang niat tidak berniat pada setiap malamnya, maka secara hukumnya dia meneruskan puasanya, Hal ini kerana hukum asal pada niatnya tidak terputus. Oleh sebab itu, kami katakan bahawa jika berurutan puasanya dan terputus disebabkan oleh perkara yang harus, lalu dia kembali berpuasa, maka dia mesti memperbaharui niatnya. [12]

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa dalam situasi seseorang yang tertidur sebelum maghrib dan tersedar setelah masuknya waktu fajar, maka dia boleh meneruskan puasanya jika dia telah berniat untuk berpuasa sebulan pada awal malam Ramadhan sebagaimana pendapat Imam Malik. Namun begitu, sebagai langkah berhati-hati, dia boleh meneruskan puasa tersebut kemudian mengqadha’kan puasanya tersebut pada masa akan datang sebagai langkah keluar daripada khilaf.

Namun sekiranya dia tidak berniat untuk sebulan penuh dan tidak dapat berniat pada malam harinya disebabkan tertidur dari sebelum Maghrib sehingga masuknya waktu fajar, maka tidak sah untuk dia berpuasa pada hari tersebut.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 8 April 2022 bersamaan 6 Ramadhan 1443H

 

[1]  Riwayat al-Bukhari (38) dan Muslim (760)

[2] Lihat Fath al-Bari, 4/115

[3] Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 6/39

[4] Surah Al-Bayyinah: 5

[5] Riwayat al-Bukhari dalam permulaan kitab Sahihnya, Muslim (1907), Abu Daud (2201), al-Tirmizi (1646), Ibn Majah (4227), al-Nasaie (1/59-60), Ahmad dalam al-Musnad (1/25 dan 43), al-Daruqutni, Ibn Hibban dan al-Baihaqi.

[6] Lihat Fath al-Qarib, 1/136

[7] Lihat alMausuah al-Fiqhiyyah, 28/26

[8] Riwayat Abu Daud (2454). Syeikh Syuaib al-Arnout di dalam Takhrij Sunan Abi Dawud (2454) menyatakan hadith ini sahih.

[9] Lihat ‘I’anah al-Talibin, 2/249

[10] Lihat Mukhtasar al-Khiraqi, hlm. 49

[11] Lihat al-Mughni, 3/23

[12] Lihat al-Syarh al-Mumti’, 6/356

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *