Soalan
Adakah benar tidur ketika berpuasa adalah ibadah?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Puasa adalah salah satu ibadat yang difardhukan oleh Allah SWT kepada hamba-hambanya. Maka, setiap ibadat atau perbuatan yang khusus dilakukan kerana Allah SWT memerlukan niat sebagai membezakan di antara ibadat dan adat kebiasaan seperti membezakan di antara orang yang menahan diri daripada makan dan minum kerana berpuasa dengan orang yang tidak mempunyai makanan untuk dimakan. Puasa yang disyariatkan adalah untuk menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa bermula daripada terbit fajar sadiq hingga tenggelam matahari.
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ، إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu.”[1]
Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani ketika mensyarahkan hadith ini berkata, yang dimaksudkan dengan keimanan adalah beri’tiqad akan hak kefardhuan puasa. Adapun yang dimaksudkan dengan pengharapan pula adalah memohon ganjaran daripada Allah SWT. Selain itu, Imam al-Khattabi berkata, yang dimaksudkan dengan pengharapan adalah azimah iaitu seseorang itu berpuasa dalam keadaan amat mengharapkan ganjaran yang baik daripada Allah SWT untuk dirinya tanpa merasa berat serta panjang hari-harinya.[2]
Imam al-Nawawi pula berkata makna keimanan adalah seseorang itu membenarkan akan fadhilatnya dan makna pengharapan pula adalah seseorang itu berpuasa kerana menginginkan Allah dan tidak melakukannya disebabkan ingin dilihat oleh manusia atau apa yang bertentangan dengan makna ikhlas.[3]
Status Hadith Tidur Ketika Berpuasa Adalah Ibadah
Terdapat satu hadith yang masyhur dan ia sering ditimbul apabila tibanya bulan Ramadhan sebagaimana yang diriwayatjab daripada Abdullah bin Awfa RA, dikatakan bahawa Nabi SAW bersabda:
نَوْمُ الصَّائِمِ عِبَادَةٌ، وَصَمْتُهُ تَسْبِيحٌ، وَدُعَاؤُهُ مُسْتَجَابٌ، وَعَمَلُهُ مُضَاعَفٌ
Maksudnya: “Tidur seorang yang berpuasa adalah ibadah, diamnya adalah tasbih, doanya mustajab dan amalannya berganda.”[4]
Imam al-Baihaqi menyatakan di dalam sanad hadith ini terdapat dua orang perawi yang dhaif iaitu Ma’ruf bin Hassan dan juga Sulaiman bin ‘Amr al-Nakha’ie tetapi Sulaiman lebih dhaif berbanding Ma’ruf.[5]
Selain itu, Imam al-‘Iraqi menyatakan Sulaiman al-Nakha’ie merupakan salah seorang pendusta. [6] Tambahan pula, Imam al-Suyuthi juga menilai hadith ini sebagai dhaif. [7]
Melihat kepada beberapa pandangan ulama di atas dalam menilai hadith di atas, kami menyatakan bahawa hadith ini bertaraf dhaif kerana di dalam sanadnya terdapat lebih daripada seorang perawi yang dinilai dhaif oleh para ulama.
Walaupun begitu, tidur boleh menjadi ibadah apabila seseorang itu menetapkan di dalam hatinya bahawa dengan tidur tersebut untuk menjadikan dia kuat dalam beribadah kepada Allah SWT seperti membaca al-Qur’an, berzikir, menuntut ilmu dan lain-lain lagi. Justeru itu, tidur seseorang itu boleh menjadi ibadah bergantung kepada niatnya. Secara umumnya, tidur orang yang berpuasa adalah ibadah kerana dia tidur dalam keadaan dia sedang berpuasa. Selain itu juga, sememangnya Allah SWT menggandakan pahala amalan bagi orang yang berpuasa. Ini berdasarkan kepada sebuah hadith yang sahih yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ يُضَاعَفُ، الْحَسَنَةُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا إِلَى سَبْعمِائَة ضِعْفٍ
Maksudnya: “Setiap amalan anak Adam akan digandakan, satu kebaikan digandakan dengan sepuluh kali sehingga tujuh ratus kali ganda.” [Riwayat Muslim (1151)]
Oleh itu, walaupun hadith tersebut dhaif tetapi terdapat banyak lagi hadith lain yang menunjukkan orang yang berpuasa mempunyai banyak kelebihan yang diberikan oleh Allah SWT.
Kesimpulan
Kesimpulannya, kami menyatakan bahawa hadith orang berpuasa yang tidur bertaraf dhaif kerana di dalam sanadnya terdapat lebih daripada seorang perawi yang dinilai dhaif oleh para ulama.
Namun begitu, puasa merupakan salah satu ibadah yang istimewa kerana banyak kelebihan yang diberikan oleh Allah SWT kepada orang yang berpuasa ini. Di samping itu juga, bulan Ramadhan merupakan bulan yang sentiasa dinanti-nantikan oleh mereka yang cinta kepada ibadah. Oleh itu, marilah kita jadikan bulan Ramadhan ini sebagai bulan untuk kita mengumpul sebanyak mungkin kebaikan dan amal soleh untuk kita jadikan bekalan ketika bertemu dengan Allah SWT.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Bertarikh: 8 April 2022 bersamaan 6 Ramadhan 1443H
The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.
[1] Riwayat al-Bukhari (38) dan Muslim (760)
[2] Lihat Fath al-Bari, 4/115
[3] Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 6/39
[4] Riwayat al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman (3654)
[5] Lihat Syu’ab al-Iman, 5/422
[6] Lihat al-Mughni ‘An Haml al-Asfar, 1/182
[7] Lihat al-Jami’ al-Saghir, 2/363