Soalan

Seorang sahabat saya sempat berpuasa 4 hari sahaja pada bulan syawal. Apakah masih boleh untuk dia meneruskan puasa 6 hari tersebut yang berbaki 2 hari walaupun bulan syawal telah berakhir?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Apabila tibanya Syawal, antara amalan sunat yang boleh dilakukan ialah dengan melakukan ibadah puasa sunat 6 hari di bulan Syawal. Hal ini sebagaimana hadith yang menyebutkan mengenai kelebihan berpuasa 6 hari di bulan Syawal iaitu bersamaan pahalanya dengan berpuasa sepanjang tahun. Ini berdasarkan riwayat daripada Abu Ayub al-Ansari RA, Rasulullah SAW telah bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ

Maksudnya: Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan kemudian diikuti dengan enam hari di bulan Syawal, ianya bersamaan dengan berpuasa sepanjang tahun.

Riwayat Muslim (1164)

Imam al-Nawawi di dalam syarahya menyebutkan: hadith ini menjadi dalil bagi mazhab Syafi’e, Hanbali dan juga Dawud al-Zahiri bahawa disunatkan untuk berpuasa enam hari pada bulan Syawal manakala fadhilat seumpama berpuasa sepanjang tahun adalah berdasarkan hadith Nabi SAW yang lain yang mana menyebutkan bahawa setiap kebaikan itu dibalas dengan 10 kali ganda (أَنَّ الْحَسَنَةَ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا  ) (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 8/56)

Pahala berpuasa sepanjang tahun diibaratkan dengan setiap amalan kebaikan digandakan dengan 10 dan ini bermakna 30 hari pada bulan Ramadhan digandakan dengan 10 kebaikan bersamaan 300 dan puasa sunat syawal 6 hari bergandaan dengan  10 kebaikan bersamaan 60. Ini menjadikan jumlahnya 360 dan daripada perkiraan inilah dikatakan seumpama berpuasa sepanjang tahun  (mengikut kiraan hijriyyah).

Meneruskan Puasa 6 Hari Syawal walaupun bulan Syawal telah berakhir

Para ulama berselisih pendapat dalam beberapa pendapat berkenaan puasa enam hari yang dilakukan di luar bulan Syawal disebabkan oleh keuzuran ataupun faktor yang tertentu, adakah akan mendapat kelebihan berpuasa 6 hari pada bulan tersebut ataupun tidak.

Pendapat pertama:

Sebahagian ulama Malikiyah dan sebahagian Hanabilah berpendapat bahawa fadhilat puasa 6 hari di bulan Syawal boleh diperolehi bagi orang yang melaksanakannya pada bulan Syawal atau bulan selepasnya. Manakala hadith yang menyebut bulan Syawal hanya untuk menjadikannya lebih mudah untuk semua orang kerana puasa selepas ramadhan lebih mudah berbanding selepas syawal.

Al ‘Adwi berkata dalam Hasyiahnya pada Syarh al-Khurshi: “Rasulullah SAW menyebut “Pada bulan Syawal” untuk memudahkan pelaksanaan puasanya, bukan sebagai pengkhususan hukum untuk melaksanakannya pada waktu itu, maka tidak mengapa jika dilaksanakan pada awal 10 hari Dzulhijjah beserta riwayat yang menyatakan bahawa puasa pada hari-hari tersebut lebih utama, cita-citanya tercapai disertai dengan keutamaan 10 hari pertama Dzulhijjah, bahkan melaksanakannya pada bulan Dzulqaedah juga adalah baik. Justeru, sesuatu yang dilakukan setelah masanya telah berlalu mempunyai banyak pahala kerana tahap kesukarannya semakin berat. (Lihat Hasyiah al-Adwi ‘ala Syarh al-Khurshi, 2/234)

Muhammad bin Ali bin Husain merupakan seorang mufti bermazhab Malik di Makkah, menukilkan daripada Ibn ‘Arabi al-Maliki dalam kitabnya “Tahzib Furuq al-Qarafi” katanya: “Bahawa sabda Nabi SAW “pada bulan Syawal” hanyalah sebagai contoh sahaja, maksudnya puasa Ramadhan itu bersamaan dengan 10 bulan, dan puasa 6 hari Syawal bersamaan dengan 2 bulan, itulah mazhab Imam Malik, jika selain bulan Syawal maka hukumnya sama dengan itu. (Lihat Tahzib Furuq al-Qarafi, 2/191)

Ibn Muflih berkata di dalam kitabnya al-Furu’: “Ada beberapa kemungkinan mengapa masih mendapat kelebihan walaupun selain bulan Syawal, menurut pendapat sebahagian ulama, disebutkan oleh Al-Qurtubi ialah kerana keutamaan itu dilipat gandakan sepuluh kali ganda, sebagaimana menurut hadith Thauban, bahawa keterikatannya pada bulan Syawal adalah untuk memudahkan pelaksanaannya, kerana membiasakan diri dengan rukhsah dan mengambil rukhsah itu lebih utama”. (Lihat al-Furu’, 3/108)

Pengarang kitab al-Insaaf menyatakan: “Pendapat saya ialah yang sedemikian adalah lemah. Hal ini kerana ia bercanggah dengan hadith, puncanya berkaitan dengan keutamaan bulan Ramadhan kerana Syawal adalah hari (dekatnya) bukan kerana kebaikan itu dilipat gandakan 10 kali ganda, dan kerana puasa di bulan Syawal itu setimpal dengan Ramadhan daripada sudut keutamaan kewajipan. (Lihat al-Insaf, 3/334)

Pendapat kedua:

Sebahagian ulama Syafi’iyyah berpendapat sesiapa yang lewat berpuasa 6 hari pada bulan Syawal boleh mengqadha’nya pada bulan Dzul Qaedah. Namun pahalanya lebih sedikit berbanding orang yang berpuasa di bulan Syawal, maka sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian diikuti dengan 6 hari di bulan Syawal, ia sama seperti berpuasa selama setahun, berbeza dengan orang yang berpuasa pada bulan Ramadhan kemudian diikuti dengan 6 hari dalam bulan selain bulan Syawal, maka dia akan mendapat pahala puasa Ramadhan dan pahala puasa sunat.

Ibnu Hajar al-Makki berkata di dalam Tuhfah al-Muhtaj: “Sesiapa yang melakukannya (6 hari di bulan Syawal) dengan Ramadhan setiap tahun, maka samalah dengan puasa fardhu selama setahun tanpa dilipat gandakan pahalanya, dan sesiapa yang berpuasa 6 hari selain pada bulan Syawal, maka sama dengan puasa sunat selama satu tahun dan tanpa dilipatgandakan pahalanya.” . (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 3/465)

Pendapat ketiga:

Tidak mendapat fadhilat dan kelebihan kecuali dengan berpuasa 6 hari pada bulan Syawal, ini adalah pendapat Hanabilah.

Al-Bahuti al-Hanbali menyatakan dalam Kasyf al-Qana‘: “Tidak mendapat fadhilat puasa 6 hari di bulan Syawal, jika dilakukan di luar bulan Syawal, berdasarkan zahir hadith”. (Lihat Kasyf al-Qana’, 2/338)

Namun, diharapkan bagi seseorang yang berpuasa sebahagian dan belum menyempurnakannya, disebabkan oleh terdapat keuzuran tertentu, dia tetap akan mendapat pahala dan kebaikan.

Mantan Mufti Besar Arab Saudi menyatakan: “Tidak disyariatkan menggantikan puasa 6 hari syawal di luar bulan Syawal. Hal ini kerana ia adalah sunnah yang telah berlalu masa dan tempatnya, sama ada dengan alasan yang syar’i atau tidak”. Beliau berkata kepada seseorang yang telah berpuasa 4 hari di bulan Syawal dan tidak menyempurnakannya sehingga 6 hari kerana beberapa syarat: “Puasa 6 hari di bulan Syawal adalah ibadah yang sunnah dan tidak wajib dilakukan, maka kamu akan mendapat pahala daripada puasa yang kamu kerjakan, dan mudah-mudahan mendapat pahala yang sempurna, jika yang menghalangi kamu dari puasa itu adalah sebab-sebab yang syar’ie. Hal ini kerana berdasarkan sabda Rasulullah SAW:

إِذَا مَرِضَ العَبْدُ، أَوْ سَافَرَ، كُتِبَ لَهُ مِثْلُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا

Maksudnya: “Apabila seorang hamba sakit atau bermusafir maka dituliskan kepadanya  pahala sama seperti yang dia kerjakan ketika mukim dalam keadaan sihat.”

Riwayat al-Bukhari (2996)

Justeru, tidak diwajibkan untuk menggantikan apa yang telah anda tinggalkan untuk baki dua hari tersebut dan sesungguhnya Allah SWT adalah Pemberi Taufik.” (Lihat Majmu’ Fatawa li Ibn Baz, 15/389-395)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan berkenaan puasa sunat 6 hari di luar bulan Syawal, sebahagian ulama mengharuskannya, manakala sebahagian lagi berpendapat bahawa melakukannya pada luar bulan syawal masih mendapat fadhilatnya tetapi kurang berbanding mereka yang melakukannya pada bulan Syawal. Terdapat juga dalam kalangan mereka berharap bahawa perbuatan tersebut masih mendapat pahala bagi orang yang tidak sempat untuk menyelesaikan puasa 6 hari pada bulan syawal kerana fadhilat Allah itu luas dan pemberian-Nya itu tidak terbatas.

Justeru, kami menasihati bagi mereka yang tidak sempat untuk menyelesaikan puasa 6 hari pada bulan syawal dengan hanya sempat berpuasa 4 hari sahaja, maka dia boleh terus menyelesaikan baki puasa 2 harinya itu pada bulan Dzul Qaedah sebagai ganti atas keterlambatannya di bulan syawal. Dan ini ialah perbuatan yang baik, dan semoga ia masih mendapat pahala dengan rahmat  dan fadhilat daripada Allah SWT.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 16 Mei 2022 bersamaan 15 Syawal 1443H

Leave a Reply