Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, saya nak tanya, saya nak bayar zakat untuk mak saya di kampung, tapi saya tinggal di Johor. Boleh atau tidak saya bayar zakat di Johor untuk mak saya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Saya mulakan dengan sebuah hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar R.A, katanya:

فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ زَكَاةَ الْفِطْرِ مِنْ رَمَضَانَ صَاعًا مِنْ تَمْرٍ، أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ عَلَى الْعَبْدِ وَالْحُرِّ، وَالذَّكَرِ وَالْأُنْثَى، وَالصَّغِيرِ وَالْكَبِيرِ مِنَ الْمُسْلِمِينَ

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah memfardhukan (mewajibkan) zakat fitrah pada bulan Ramadan segantang kurma atau gandum ke atas orang yang merdeka atau hamba lelaki atau perempuan di kalangan Islam.”

Riwayat al-Bukhari (1503), Muslim (974), Abu Daud (1611), al-Tirmizi (676), al-Nasa’ie (2503), Ibn Majah (1826) dan Ahmad (5339)

Berdasarkan kepada nas di atas, zakat fitrah hendaklah dikeluarkan oleh setiap orang Islam. Memandangkan ibu tuan menjadi tanggungjawab tuan untuk nafkahnya, dan ingin membayar bagi pihak ibu, maka dibolehkan. Ini kerana, tanggungjawab untuk mengeluarkan zakat fitrah dapat ditunaikan oleh tuan walaupun berlainan tempat. 

Walaupun begitu, saya berpendapat, alangkah lebih baik tuan kirimkan duit kepada keluarga yang berdekatan dengan ibu untuk mengeluarkan zakat tersebut. Semoga Allah SWT menerima zakat tuan dan ibu tuan.

Bertarikh:17 April 2023 bersamaan 26 Ramadhan 1444H

Leave a Reply