Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, saya dari negeri Sabah. Soalan saya ialah, anak saya baru dapat kerja di satu syarikat besar di negeri Sabah, kerja mining selalu ada OT (overtime).  Yang menjadi kemusykilan saya ialah jumlah bayaran OT yang anak saya terima terlebih sedangkan kerja lebih masa yang anak saya ikut tidak banyak, yang mencatat kerja lebih masa itu dibuat oleh jurutera syarikat tersebut, bagaimana dengan duit lebih yang di bayar itu? Bolehkah anak saya gunakan? Sudah 4 bulan anak saya kerja dan perkara ini  sentiasa ada bayaran lebih pada setiap hujung bulan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, sikap anda ingin bertanya untuk kepastian adalah amat baik. Begitu juga, untuk mendapatkan jawapan dalam isu ini juga adalah terpuji. Ini menandakan masih ada sekelumit perasaan yang mendalam dalam jiwa anda dalam bab halal dan haram. Soalan di atas jelas menunjukkan kepada kita bahawa anak anda amat profesional serta dapat melaksanakan tugas dengan baik. Ini sudah tentu amat disukai oleh Islam itu sendiri. Daripada Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يُحِبُّ إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلًا أَنْ يُتْقِنَهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla mencintai seseorang yang apabila dia mengerjakan sesuatu kerja, dia laksanakan dengan cemerlang.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsath (275) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (4929), (4930) dan (4931).

Al-Munawi berkata: ‘إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلًا أَنْ يُتْقِنَهُ’ (apabila dia mengerjakan sesuatu kerja, dia laksanakan dengan cemerlang), yakni dia menyempurnakannya. (Lihat Faidh al-Qadir, 2/286) Al-San’ani berkata: Yakni, dia melakukan sesuatu dalam bentuk dan keadaannya yang paling sempurna. (Lihat al-Tanwir Syarh al-Jami’ al-Saghir, 2/148)

Saya cadangkan beberapa perkara:

  • Rujuk terlebih dahulu terma overtime yang diamalkan di tempat kerja anak saudara, begitu juga tuntutan dan claimnya.
  • Jika sekiranya benar terlebih maka bolehlah melakukan seperti berikut:
  1. Pulangkan kembali duit lebihan tersebut
  2. Jika sekiranya ia boleh membawa suasana tidak baik, saya syorkan masukkan duit lebihan ke dalam tabung kebajikan syarikat tersebut

III. Gunakan duit tersebut untuk maslahat ‘ammah seperti pembaikan tandas dan lain-lain. 

  1. Begitu juga, saudara boleh bekerja dengan lebih masa untuk mencukupkan apa yang saudara dapat atau perolehi. Buatlah yang terbaik untuk memajukan syarikat saudara ke arah yang lebih cemerlang.
  2. Hendaklah saudara berzakat dan lebihkan zakat, mudah-mudahan ia menghilangkan segala bentuk kelemahan kita selama mana kita berinteraksi dengan harta. 

Saya cukup bimbang dengan satu hadith Nabi SAW:

كُل لَحْمٍ نَبَتَ مِنْ حَرَامٍ فَالنَّارُ أَوْلَى بِهِ.

Maksudnya: “Setiap daging yang tumbuh daripada yang haram, maka neraka lebih utama baginya.”

Riwayat al-Tirmizi (614) dengan lafaz: ‘إِنَّهُ لاَ يَرْبُو لَحْمٌ نَبَتَ مِنْ سُحْتٍ إِلاَّ كَانَتِ النَّارُ أَوْلَى بِهِ’ (“Tidak ada daging yang tumbuh dari al-suht, kecuali neraka lebih layak baginya.”)

Pada akhirnya, marilah sentiasa kita berdoa sebagai mana yang diajar oleh Rasulullah SAW dan diamalkannya setiap kali selesai solat Subuh dengan doa:

اللَّهمَّ إنِّي أسألُكَ عِلمًا نافعًا ورزقًا طيِّبًا وعملًا متقبَّلًا.

Maksudnya: “Ya Tuhan, aku memohon daripada-Mu ilmu yang bemanfaat, rezeki yang baik, dan amalan yang diterima.”

Riwayat Ibn Majah (762) dan Ahmad (26731)

 

Bertarikh:19 April 2023 bersamaan 28 Ramadhan 1444H

Leave a Reply