Soalan

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada persoalan. Mengikut sunnah, Rasulullah SAW pada 10 terakhir Ramadhan, baginda akan mengikat ketat kainnya serta tidak menggauli isteri-isteri baginda dan bersungguh-sungguh beribadah pada malamnya. Jadi soalan saya, apakah hukum sekiranya seseorang itu bersetubuh dengan isterinya pada 10 malam terakhir ramadhan dan adakah ia mengurangi pahalanya?

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Dalam bulan Ramadhan ini, sebagai orang Islam kita hendaklah bersungguh-sungguh dalam perkara ketaatan dan ibadah kita dalam bulan Ramadhan secara keseluruhannya dan mempertingkatkannya lagi pada sepuluh malam terakhir daripadanya, khususnya pada malam-malam ganjil dan malam yang diharapkan padanya lailatul qadar. Inilah pentunjuk Nabi SAW. Apatah lagi, terdapat riwayat daripada Aisyah R.Anha, katanya:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ العَشْرُ شَدَّ مِئْزَرَهُ، وَأَحْيَا لَيْلَهُ، وَأَيْقَظَ أَهْلَهُ

Maksudnya: “Biasanya Nabi SAW apabila memasuki hari kesepuluh (terakhir Ramadhan), Baginda mengetatkan ikatan kainnya, menghidupkan malamnya (dengan ibadah) dan membangunkan keluarganya.”

Riwayat al-Bukhari (2024), Muslim (1174), Abu Dawud (1376), al-Nasaie (1639), Ibn Majah (1768) dan Ahmad (24131)

Begitu juga dalam riwayat lain daripada Aisyah R.Anha, beliau berkata:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَجْتَهِدُ فِيْ العَشْرِ الأَوَاخِرِ، مَا لَا يَجْتَهِدُ فِيْ غَيْرِهِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW sangat bersungguh-sungguh (dalam melaksanakan ibadahnya) pada sepuluh malam terakhir berbanding pada waktu lain.”

Riwayat Muslim (2009)

Berdasarkan hal ini, para ulama’ berselisih pendapat berkenaan maksud sebenar ungkapan tersebut. Kami nukilkan pandangan para ulama berkenaan tafsiran bahawa Rasulullah SAW mengetatkan kainnya ketika masuk 10 malam terakhir.

Pertama: Ungkapan tersebut adalah kinayah. Ia menunjukkan bahawa Nabi saw bersungguh-sungguh di dalam Ibadat khususnya pada 10 malam terakhir. Ini berdasarkan hadith lain yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad di dalam Musnadnya. Kata Aisyah R.Anha :

كَانَ يَخْلِطُ فِي الْعِشْرِينَ الْأُولَى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ نَوْمٍ وَصَلَاةٍ فَإِذَا دَخَلَتْ الْعَشْرُ جَدَّ وَشَدَّ الْمِئْزَرَ

Maksudnya : “Pada 20 hari yang awal Nabi saw akan mencampurkan malamnya dengan tidur dan solat. Apabila masuk 10 malam terakhir, Baginda akan bersungguh-sungguh dan mengetatkan kainnya.”

Riwayat Ahmad di dalam al-Musnad (24390)

Jika dilihat bahawa ungkapan bersungguh-sungguh digandingkan dengan perlakuan mengetatkan kain. Ini menunjukkan adanya kesungguhan. Pandangan ini adalah pandangan yang dikemukakan oleh al-Qadhi yang dinukilkan al-Munawi di dalam Faidh al-Qadir (5/132).

Kedua: Ungkapan tersebut bermakna bahawa Nabi SAW pada malam tersebut tidak menggauli isteri-isteri Baginda. Ini adalah pandangan yang dikemukakan oleh sebahagian ulama silam seperti Sufian al-Thauri. Pandangan ini dikeluarkan ditafsirkan berdasarkan hadith riwayat Aisyah R.Anha, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ رَمَضَانَ شَدَّ مِئْزَرَهُ، ثُمَّ لَمْ يَأْتِ فِرَاشَهُ حَتَّى يَنْسَلِخَ

Maksudnya: “Nabi saw apabila masuknya Ramadan, Baginda akan mengetatkan kainnya kemudian Baginda tidak akan mendatangi tempat tidurnya sehingga bulan tenggelam (waktu siang).”

Riwayat Ibnu Khuzaimah (2216) di dalam Sahihnya.

Ia juga ditafsirkan melalui riwayat Ali R.A, katanya:

كَانَ النَّبِىُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم إِذَا كَانَ الْعَشْرُ الأَوَاخِرُ مِنْ رَمَضَانَ شَمَّرَ الْمِئْزَرَ وَاعْتَزَلَ النِّسَاءَ

Maksudnya : “Nabi saw apabila sampai 10 malam terakhir daripada Ramadan, Baginda akan mengetatkan kain dan menjauhi isteri-isterinya.”

Riwayat al-Baihaqi dalam Sunan al-Kubra (8825)

Pandangan ini juga mengatakan bahawa Nabi SAW secara kebiasaannya akan beriktikaf pada 10 malam terakhir Ramadan. Dan orang yang beriktikaf dilarang untuk menggauli isterinya berdasarkan nas al-Quran. Ini bermakna bahawa pada malam hari puasa, dibenarkan menggauli isteri. Akan tetapi Nabi SAW mengetatkan kainnya pada 10 malam terakhir untuk memberi isyarat bahawa malam itu perlu dipenuhkan dengan ibadat untuk mencari Lailatul Qadar bukannya menggauli isteri walaupun pada hakikatnya itu adalah perkara yang harus.

Pandangan yang kedua ini jugalah adalah pandangan yang ditarjihkan juga oleh Ibnu Rajab al-Hanbali di dalam kitabnya Lataif al-Ma’arif  (hlm. 184)

Justeru, kedua-dua makna tersebut boleh digabungkan dan diharmonikan yang membawa makna bahawa pada 10 malam terakhir Nabi SAW akan bersungguh-sungguh beribadah dan Baginda juga tidak menggauli isterinya kerana ingin fokus sepenuhnya pada malam-malam tersebut.

Bersetubuh Dengan Isteri Pada 10 Malam Terakhir Ramadhan

Berdasarkan persoalan di atas, tidak ada masalah bagi seseorang itu untuk bersetubuh dengan isterinya pada malam hari Ramadhan walaupun pada 10 malam terakhir Ramadhan. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:

Firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ لَيْلَةَ الصِّيَامِ الرَّفَثُ إِلَىٰ نِسَائِكُمْ ۚ هُنَّ لِبَاسٌ لَّكُمْ وَأَنتُمْ لِبَاسٌ لَّهُنَّ ۗ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu, pada malam hari puasa, bercampur (bersetubuh) dengan isteri-isteri kamu. Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka….”

Surah al-Baqarah (187)

Menurut al-Qurtubi dalam tafsirnya, lafaz ( أُحِلَّ لَكُمْ) itu menunjukkan bahawa bercampur dengan isteri merupakan suatu hal yang diharamkan sebelumnya, dan kemudian ia dinaskhkan (dihapuskan). Diriwayatkan oleh al-Bukhari dari al-Barra bahawa Qais bin Shirmah al-Ansari bertanya kepada isterinya, “Adakah engkau mempunyai makanan?” lalu isterinya berkata, “Tidak, akan tetapi aku akan meminta (makanan) untukmu. Namun begitu, pada siang hari tersebut, Qais Bin Shirmah bekerja keras dan tidak dapat menahan matanya, lalu tertidur, Pada malam itu, isterinya melihat suaminya tertidur, maka dia berkata, “ Alangkah malangnya engkau.” Keesokan harinya, pada waktu tengahari, Qais Bin Shirmah pengsan. Peristiwa ini diceritakan kepada Nabi Muhammad SAW, lalu turunlah ayat: (أُحِلَّ لَكُمْ لَيْلَةَ الصِّيَامِ الرَّفَثُ إِلَىٰ نِسَائِكُمْ). Maka, apabila mendengar berita tersebut, mereka bergembira. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 2/314).

Dalam Fatawa al-Syabakah al-Islamiah dinyatakan bahawa sekiranya seseorang itu bersetubuh dengan isterinya pada 10 malam terakhir Ramadhan, ia dibenarkan dan hal ini tidak mengurangi pahala puasa atau solatnya. Nabi SAW kebiasaannya mengasingkan diri baginda daripada isteri-isteri baginda pada sepuluh malam terakhir dan beriktikaf di Masjid. Maka sesiapa yang melakukan seperti itu dengan mengikut teladan dan baginda SAW, maka itu adalah yang paling sempurna. Dan sesiapa yang tidak melakukannya, maka tidak ada masalah baginya dan dia hanya hilang sebahagian kebaikan, dan ada dalam kalangan para sahabat yang beri’tikaf dan ada juga yang tidak melakukannya, dan tidak ada seorangpun daripada mereka yang membantah sebahagian yang lain. (Lihat Fatawa al-Syabakah al-Islamiah, 11/18089)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami nyatakan bahawa tidak ada masalah bagi seseorang itu jika ingin bersetubuh dengan isterinya pada 10 malam terakhir sebagaimana hujah yang disebutkan. Kami juga mengambil kesempatan di sini mengajak semua, marilah kita sama-sama mencari dan berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam mendapatkan kelebihan-kelebihan dan fadhilat-fadhilat yang berbaki pada akhir-akhir Ramadhan ini, terutamanya dalam mengejar lailatul qadar. Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ قَامَ لَيْلَةَ القَدْرِ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang berqiyam pada malam al-Qadar (lailatul qadar) dengan penuh keimanan dan penuh pengharapan, maka akan diampunkan baginya dosa yang telah lalu.”

Riwayat al-Bukhari (1901)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh:19 April 2023 bersamaan 28 Ramadhan 1444H

Leave a Reply