Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, bolehkah saya membayar kafarah puasa dengan memberi makan orang di masjid dan berapa taksiran bayaran kafarah tersebut?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۚ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ ۖ

Maksudnya: “(Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.”

(Surah al-Baqarah: 184)

Berdasarkan nas di atas seseorang yang meninggalkan puasa sebagai contoh, boleh membayar fidyah atau membayar kaffarah puasa dengan menjamu makan sejumlah orang miskin seperti 60 orang atau pun kurang daripada itu. 

Berdasarkan persoalan tuan, memberi makan orang di masjid adalah dibolehkan kecuali disyaratkan orang tersebut adalah miskin. Ini berdasarkan nas فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ . Justeru, asingkan daripada menjamu orang berbuka puasa yang kita lakukan dengan tanggungjawab memberi makan orang miskin sama ada dalam bentuk fidyah atau kaffarah yang menjadi kewajipan untuk diselesaikannya.

Berkenaan taksiran bayaran kaffarah melalui makan minum, pernah kami tetapkan (semasa menjawat jawatan Mufti Wilayah Persekutuan 2014-2020), di mana seseorang itu boleh makan dalam standard tidak terlalu mewah dan tidak terlalu sedikit. Harga barang dan harga makanan juga meningkat mutakhir ini. Justeru, dicadangkan untuk sekarang bagi satu kepala antara RM10 – RM 15. 

Semoga pencerahan ini memberi sinar kepada kita dalam mencari mardhatillah serta meraih pahala daripada Allah SWT.

Bertarikh:19 April 2023 bersamaan 28 Ramadhan 1444H

Leave a Reply